Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai tinggi kementerian Indonesia disiasat seleweng berbilion rupiah

May 26, 2025 | 11:10 AM
Wang tunai yang dirampas daripada kes pengubahan wang haram berkaitan perjudian dalam talian semasa sidang media di Ibu Pejabat Badan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim) di Jakarta pada 7 Mei.
Wang tunai yang dirampas daripada kes pengubahan wang haram berkaitan perjudian dalam talian semasa sidang media di Ibu Pejabat Badan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim) di Jakarta pada 7 Mei. - Foto INSTAGRAM BADAN SIASATAN JENAYAH POLIS NEGARA (BARESKRIM)

JAKARTA: Beberapa kes rasuah besar telah dibongkar di Kementerian Komunikasi dan Digital (Komdigi) Indonesia, yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo).

Kes-kes ini melibatkan pelbagai pegawai pemerintah termasuk pengarah dan pegawai pentadbiran biasa.

Tiga kes utama telah menarik perhatian ramai kerana membabitkan projek berskala besar yang menelan belanja berbilion rupiah.

Antara kes utama ialah penyelewengan projek Pusat Data Nasional Sementara (PDNS).

Tiga pegawai tertinggi Kominfo yang dinamakan sebagai suspek termasuklah Samuel Abrijani Pangerapan, bekas Ketua Pengarah Aplikasi Informatika (2016–2024); Bambang Dwi Anggono, bekas Pengarah Layanan Aplikasi Informatika (2019–2023); dan Nova Zanda, pegawai yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan PDNS.

Menurut Ketua Kejaksaan Negeri Jakarta Pusat, Encik Safrianto Zuriat Putra, mereka disyaki sengaja mengatur pelaksanaan aktiviti PDNS pada 2019 supaya tidak selaras dengan tujuan Peraturan Presiden No. 95 Tahun 2018.

“Pelaksanaan ini tidak sesuai dengan objektif sebenar,” kata Encik Safrianto ketika sidang media pada 22 Mei 2025.

Bambang dan rakan-rakan didakwa memaksa pelaksanaan projek PDNS bagi kepentingan bersama dengan syarikat swasta.

Projek itu telah dianugerahkan kepada dua syarikat iaitu PT Docotel Teknologi pada 2020 dan PT Lintasarta dari 2020 hingga 2024, dengan jumlah bajet projek mencecah 958 bilion rupiah ($81.8 juta), lapor Tempo.co.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Informatika, Johnny G. Plate, turut disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pembinaan menara Stesen Pemancar Penerima Asas (BTS) 4G.

Projek BTS 4G ini salah satu projek strategik negara di bawah Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional (RPJMN) 2020–2024.

Sasaran asalnya adalah membina 7,904 menara BTS di kawasan 3T (terpencil, terluar dan tertinggal).

Namun begitu, sejak fasa pertama, sasaran pembinaan menara BTS ini gagal dicapai.

Mengikut dokumen yang diperoleh oleh Tempo, sehingga Mac 2022, hanya 46 peratus daripada 4,200 menara yang berjaya dibina.

Keadaan ini memaksa Kominfo memberikan lanjutan masa kepada tiga konsortium pemenang tender.

Namun, sehingga pertengahan 2022, hanya 2,070 menara berjaya dibangunkan.

Hasil siasatan Kejaksaan Agung mendedahkan bahawa kelewatan ini berpunca daripada penyelewengan dana projek, yang menyebabkan kerugian negara sebanyak 8 trilion rupiah.

Pengarah Siasatan Kejaksaan Agung, Encik Kuntadi, berkata: “Perlu difahami bersama bahawa ini bukan sekadar jenayah biasa, tetapi melibatkan penyalahgunaan kuasa yang serius.”

Satu lagi kes rasuah turut menarik perhatian ialah kes perlindungan laman judi dalam talian.

Terdapat empat tertuduh antaranya peniaga Zulkarnaen Apriliantony; pegawai Kominfo Adhi Kismanto; Ketua Pegawai Eksekutif PT Djelas Tandatangan Bersama, Alwin Jabarti Kiemas, dan wakil Kominfo, Muhrijan alias Agus.

Zulkarnaen disyaki menjadi penghubung antara sindiket judi dalam talian dengan pegawai Kominfo.

“Zulkarnaen didakwa menerima komisen 30 peratus daripada bayaran perlindungan laman judi,” menurut keterangan pendakwa raya.

Zulkarnaen sendiri mengaku beliau memperkenalkan Muhrijan kepada pegawai lain, dengan harapan mendapat bayaran 3 juta rupiah bagi setiap laman judi yang dilindungi.

Namun begitu, beliau menafikan tuduhan yang mengaitkan Menteri Kominfo, Encik Budi Arie.

“Saya ingin jelaskan supaya tidak timbul salah faham. Pak Budi Arie tidak menerima apa-apa daripada aktiviti judi,” katanya menafikan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg