Pejabat agama Indonesia guna TikTok, durian percuma tarik minat Gen Z daftar nikah
Pejabat agama Indonesia guna TikTok, durian percuma tarik minat Gen Z daftar nikah
JAKARTA: Pejabat agama di seluruh Indonesia kini menggunakan pendekatan luar biasa kreatif untuk menarik minat generasi muda terhadap perkahwinan, daripada kandungan TikTok hinggalah tawaran durian percuma, ketika jumlah pendaftaran nikah terus merosot di negara itu.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, media sosial dipenuhi video daripada Kantor (Pejabat) Urusan Agama (KUA) yang mempromosikan perkahwinan kepada golongan muda, khususnya generasi Z yang lahir antara 1997 hingga 2012.
Banyak pejabat KUA menggunakan muzik tular TikTok, visual humor dan konsep pemasaran moden bagi membuka perbincangan mengenai kehidupan berumah tangga, lapor The Jakarta Post.
Salah satu video paling tular dimuat naik oleh KUA Simangumban di Tapanuli Utara, Sumatera Utara, yang menawarkan durian percuma kepada pasangan yang mendaftar nikah di pejabat tersebut.
“Promosi Januari. Nikah dapat durian, hanya di KUA Simangumban,” menurut teks video yang dimuat naik pada 14 Januari lalu dan kini meraih jutaan tontonan serta puluhan ribu komen.
Kementerian Agama mengesahkan kandungan tersebut merupakan sebahagian strategi komunikasi bagi menggalakkan kesedaran pendaftaran nikah menerusi program Gerakan Kesedaran Pencatatan Nikah (GAS Nikah) yang dilancarkan Julai tahun lalu.
Langkah itu diambil ketika jumlah perkahwinan umat Islam yang didaftarkan terus menunjukkan penurunan ketara. Data Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan jumlah pendaftaran turun daripada sekitar dua juta pada 2018 kepada hanya 1.4 juta pada 2024.
“Program ini menyasar golongan muda yang sudah bersedia berkahwin supaya mereka mendaftarkan pernikahan bagi menjamin hak undang-undang mereka,” kata Ketua Pengarah Bimbingan Masyarakat Islam, Encik Abu Rokhmad. Beliau menegaskan perkahwinan tanpa pendaftaran memberi kesan buruk terutama kepada wanita dan kanak-kanak. “Perkahwinan tidak didaftarkan boleh menjejaskan perlindungan hak dan juga melanggar undang-undang perkahwinan,” katanya.
Kempen itu turut disertai usaha mempromosikan nilai perkahwinan Islam berasaskan konsep sakinah iaitu ketenangan dan keharmonian keluarga.
Beberapa pejabat KUA menganjurkan aktiviti awam seperti jalan santai ketika hari tanpa kenderaan bagi mendekati golongan muda secara langsung. Dalam acara tersebut, peserta melaungkan “Tepuk Sakinah”, slogan yang pernah tular kerana menekankan nilai asas rumah tangga harmoni.
Di media sosial, pendekatan ini digelar netizen sebagai “pemasaran KUA” dan mencetuskan perdebatan hangat kerana semakin ramai anak muda Indonesia dilihat ragu untuk berkahwin.
Gen Z terkesan seperti yang diakui oleh Encik Khansa, 22 tahun, yang mengakui kempen itu membuatkannya berfikir tentang perkahwinan walaupun belum merancang berkahwin dalam masa terdekat. “Sejujurnya saya sedikit terpengaruh melihat video yang tunjuk sisi bahagia perkahwinan,” katanya. Namun pekerja swasta dari Bekasi itu berkata beliau tetap berhati-hati selepas melihat banyak perkahwinan gagal di sekelilingnya. “Saya masih mahu capai matlamat hidup lain dahulu,” katanya.
Cik Safira, 26 tahun, pula menganggap kempen tersebut kreatif tetapi tidak menyelesaikan isu sebenar.
“Masalah utamanya ialah kesiapsiagaan cari pasangan sesuai, kestabilan mental dan kewangan serta perancangan hidup,” katanya.
Pereka produk digital di Jakarta itu berkata beliau kini memberi tumpuan membina kehidupan stabil sebelum memikirkan perkahwinan. Menurut Cik Safira, pemerintah perlu membina ekosistem menyokong anak muda, termasuk keselamatan pekerjaan, akses perumahan, kos hidup mampu milik dan pendidikan perkahwinan menyeluruh.“Tanpa semua itu, kempen saja tidak cukup,” katanya.
Trend ini menunjukkan cabaran baharu yang dihadapi institusi perkahwinan di era moden. Walaupun strategi kreatif berjaya menarik perhatian Gen Z, keputusan berkahwin bagi ramai anak muda kini lebih berkait soal kestabilan hidup berbanding sekadar romantik semata-mata.
Pihak berkuasa berharap pendekatan baharu itu sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kesedaran bahawa perkahwinan bukan sekadar acara sosial, tetapi juga perlindungan undang-undang dan tanggungjawab jangka panjang. - Agensi berita

