Di tengah ratusan pencari kerja muda yang memenuhi sebuah pusat sukan di Jakarta Pusat sempena satu ekspo kerjaya, kelibat Encik Sumar Songko mencuri perhatian.
Rambutnya yang sudah mula memutih jelas membezakannya daripada sebahagian besar pencari kerja yang berusia jauh lebih muda.
Lelaki berusia 45 tahun itu hanya berkelulusan sekolah menengah, namun mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Kini, beliau berhadapan dengan realiti getir pasaran pekerjaan Indonesia yang dikuasai oleh lambakan calon muda, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan mempunyai had umur maksimum 30 tahun.
“Memang sukar cari kerja apabila usia sudah melebihi 40 tahun terutama kalau kita tiada kemahiran khusus,” ujar Encik Sumar kepada Berita Harian (BH), sambil memerhati satu per satu gerai syarikat daripada pelbagai sektor yang membuka peluang pekerjaan.
Encik Sumar tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap sejak hujung 2023 selepas syarikat tempat beliau bekerja ditutup.
Sejak itu, beliau bekerja sebagai penunggang motosikal e-hailing sambil terus menghantar resume “berkali-kali” melalui pelbagai saluran.
Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS) yang diumumkan pada 5 Mei, Indonesia kini mencatat 7.28 juta penganggur setakat Februari 2025, iaitu peningkatan 83,450 orang berbanding tempoh sama pada 2024.
Jumlah itu mewakili 4.76 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja seramai 153.05 juta orang.
Ketua BPS, Cik Amalia Adininggar Widyasanti, berkata peningkatan itu disebabkan kadar pertumbuhan tenaga kerja yang lebih cepat daripada kemampuan pasaran untuk menyerap mereka.
“Sebanyak 3.59 juta orang memasuki pasaran kerja dalam tempoh setahun lalu,” jelas beliau.
Di ekspo kerjaya tersebut, hanya segelintir tawaran pekerjaan yang terbuka kepada calon berusia lebih 35 tahun, dan kebanyakannya tidak sepadan dengan kelayakan Encik Sumar.
Di Indonesia, amalan menyatakan had umur dalam iklan kerja adalah perkara biasa, meskipun sering dikritik sebagai diskriminasi.
Pada 2024, Mahkamah Perlembagaan menolak petisyen yang mencabar had umur dalam iklan kerja.
Pemohon mendakwa amalan tersebut menghalang pencari kerja berusia lebih 30 tahun mendapat pekerjaan, namun mahkamah memutuskan had umur tidak semestinya bersifat diskriminasi jika dikaitkan dengan keperluan tugas tertentu.
Antara pendekatan berbeza ditonjolkan oleh sebuah syarikat kontraktor yang menawarkan peluang pekerjaan dalam industri hospitaliti di sektor berasaskan sumber seperti perlombongan dan tenaga.
Menariknya, mereka tidak menetapkan sebarang had umur dalam iklan pengambilan pekerja, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada calon pelbagai peringkat usia.
“Kami ambil orang tanpa mengira usia. Kalau mereka masih produktif dan ada kemahiran, kami akan pertimbangkan.
“Kalau tak ambil sekarang pun, kami akan simpan maklumat mereka untuk masa akan datang,” kata wakil syarikat, Encik Arip Musthofa, kepada BH.
BPS turut melaporkan peningkatan dalam kalangan pekerja sektor informal, iaitu daripada 59.17 peratus pada Februari 2024 kepada 59.40 peratus pada Februari 2025.
Ini menunjukkan semakin ramai tenaga kerja bergantung kepada pekerjaan tidak formal seperti bekerja sendiri, tanpa kontrak tetap atau perlindungan sosial yang mencukupi.
Dalam tempoh yang sama, data turut menunjukkan 66.19 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja adalah pekerja sepenuh masa, iaitu mereka yang bekerja sekurang-kurangnya 35 jam seminggu.
Sementara itu, 25.81 peratus pula terdiri daripada pekerja sambilan, iaitu mereka yang bekerja kurang 35 jam seminggu dan tidak mencari atau bersedia menerima kerja tambahan.
Manakala, golongan yang dikategorikan sebagai kurang guna tenaga, iaitu mereka yang bekerja kurang 35 jam seminggu tetapi masih aktif mencari peluang pekerjaan tambahan, merangkumi 8 peratus daripada tenaga kerja negara.
Bagi Encik Sumar, walaupun tidak pasti tergolong dalam kategori mana, beliau yakin dirinya kini dianggap pekerja sektor informal.
Namun, beliau tidak patah semangat untuk kembali ke sektor formal walaupun sedar cabaran diskriminasi umur semakin menebal.
“Saya akan terus cuba, termasuk datang ke ekspo seperti ini. Harap-harap ada rezeki dalam sektor makanan dan minuman.
“Tapi kalau tak dapat pun, asalkan kerja itu sesuai dan syarikat terima saya, saya sanggup,” katanya penuh harapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg