Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis pengangguran di Jakarta: Pekerjaan asas jadi rebutan lulusan tinggi

May 12, 2025 | 5:30 AM
jobless, indonesia, pengangguran
Para pencari kerja dilihat beratur panjang di hadapan reruai syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sempena Pameran Kerjaya Jakarta yang berlangsung di ibu negara Indonesia pada 6 Mei. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Fenomena luar biasa telah melanda Balai Kota Jakarta sejak awal April apabila ribuan pencari kerja membanjiri lokasi itu untuk memohon jawatan sebagai pekerja sanitasi atau petugas kebersihan di bawah Agensi Penyelenggaraan Kemudahan Awam (PPSU).

Gelombang permohonan itu mencerminkan keresahan mendalam terhadap isu pengangguran yang semakin meruncing di ibu negara Indonesia, terutama dalam kalangan golongan muda dan berkelulusan tinggi.

Pekerjaan PPSU, yang kerap dikaitkan dengan pasukan “tentera oren” kerana pakaian seragam mereka, memerlukan kelayakan asas seperti pendidikan rendah dan kebolehan membaca dan menulis.

Dalam tempoh hanya dua hari selepas pengambilan dibuka pada 22 April, lebih 7,000 permohonan telah diterima untuk kira-kira 1,100 jawatan kosong.

Angka itu meningkat dengan tambahan 1,000 lagi pemohon pada awal Mei.

Fenomena itu bukan sahaja melibatkan lulusan sekolah rendah seperti yang disyaratkan, malah menarik perhatian lulusan universiti.

Antara pemohon adalah Cik Atika Nurmalasari, 37 tahun, lulusan Institut Ilmu Ekonomi (Stie) Jakarta.

“Saya dan suami memohon kerana faktor kewangan. Sukar nak cari kerja yang mampu tampung keperluan anak-anak,” katanya.

Cik Atika yang kehilangan pekerjaan selepas kontraknya sebagai kerani tamat, melihat jawatan PPSU sebagai lebih stabil.

“Kerja ini lebih santai, gaji pun hampir sama. Walaupun persaingan tinggi, saya tetap berharap,” ujarnya kepada The Jakarta Post.

Gaji bulanan bagi pekerja PPSU ialah sekitar 5.3 juta rupiah ($450), termasuk insurans kesihatan dan elaun Hari Raya.

Bagi ramai penduduk Jakarta yang bekerja dalam sektor tidak formal, tawaran itu dianggap lumayan dan lebih terjamin.

Encik Chairul Farhan, 20 tahun, turut memohon jawatan itu selepas meninggalkan kerja di kedai roti.

“Gaji PPSU lebih tinggi dan kerja tetap. Itu lebih penting sekarang,” katanya.

Jika berjaya, kontraknya akan berlangsung selama tiga tahun dan boleh disambung berdasarkan penilaian.

Pakar pasaran pekerja dari Universiti Gadjah Mada, Profesor Dr Tadjuddin Noer Effendi, menjelaskan:

“Kini ramai orang sangat memerlukan pekerjaan. Apabila ada tawaran yang munasabah seperti ini, tak hairan jika lulusan universiti turut mohon.”

Menurut Badan Pusat Statistik (BPS), Jakarta mencatat kadar pengangguran keenam tertinggi di Indonesia pada Ogos 2024.

Data Kementerian Tenaga Kerja pula menunjukkan 2,650 kes pemberhentian kerja berlaku di Jakarta dalam dua bulan pertama 2025, hanya di belakang Riau dan Jawa Tengah, lapor Jakarta Globe.

Dr Tadjuddin menambah: “Ekonomi sekarang membuatkan ramai kurang memilih kerja. Asalkan ada gaji tetap dan jaminan, mereka sanggup.”

Setakat Mei 2025, seramai 24,000 pekerja di Indonesia diberhentikan, kata Menteri Tenaga Kerja, Profesor Dr Yassierli.

Sektor paling terjejas termasuk perkilangan, perdagangan dan perkhidmatan.

“Syarikat memberhentikan pekerja kerana kerugian, berpindah ke lokasi kos rendah atau masalah perindustrian,” katanya kepada Parlimen.

Pada 2024, Indonesia menyaksikan 77,965 pemberhentian kerja – meningkat daripada 64,855 pada 2023.

Pemerintah bercadang menerbitkan perangkaan pemberhentian kerja secara bulanan bagi meningkatkan kepekaan terhadap gangguan pasaran pekerja.

“Ketelusan data akan membantu kita bergerak lebih cepat dalam merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang,” kata Dr Yassierli.

Kadar pengangguran terbuka Indonesia susut sedikit kepada 4.76 peratus pada Februari 2025 berbanding 4.82 peratus pada 2024.

Namun, jumlah penganggur naik kepada 7.28 juta orang – peningkatan 80,000 individu.

BPS menjelaskan ia berlaku kerana pertumbuhan tenaga kerja lebih pesat berbanding keupayaan ekonomi untuk menyerap mereka.

“Jumlah penduduk yang bekerja meningkat, tapi tak semua diserap. Ada yang berhenti kerja, ada juga yang baru tamat belajar,” kata Ketua BPS, Cik Amalia Adininggar Widyasanti.

BPS turut merekodkan peningkatan jumlah pekerja dalam sektor tidak formal, daripada 59.17 peratus pada Februari 2024 kepada 59.40 peratus pada Februari 2025.

Data itu mencerminkan realiti bahawa sebahagian besar rakyat masih bergantung kepada pekerjaan tanpa perlindungan sosial yang mencukupi.

Sektor perdagangan mencatat pertambahan tertinggi dengan 980,000 pekerjaan baru, diikuti sektor pertanian sebanyak 890,000 dan sektor pembuatan sebanyak 720,000.

Walau bagaimanapun, seramai 8 peratus pekerja masih tergolong dalam kategori kurang guna tenaga iaitu mereka yang bekerja kurang daripada 35 jam seminggu dan masih aktif mencari pekerjaan tambahan.

Kadar pengangguran di kawasan bandar kekal lebih tinggi pada paras 5.73 peratus, berbanding 3.33 peratus di luar bandar.

Unjuran turut menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal paling tinggi iaitu 16.16 peratus, manakala kadar terendah dicatatkan oleh golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas, iaitu hanya 1.67 peratus.

Lulusan sekolah vokasional mencatat kadar pengangguran tertinggi iaitu 8 peratus, manakala mereka dengan berpendidikan rendah hanya 2.32 peratus dan pola ini kekal sejak 2023.

“Masalah utama ialah ketidaksesuaian antara kemahiran lulusan dengan kehendak pasaran.

“Ini menunjukkan kita bukan sahaja perlu cipta lebih banyak pekerjaan, bahkan pastikan ia pekerjaan bermutu,” ujar Cik Amalia.

Fenomena permohonan luar biasa untuk jawatan PPSU menunjukkan betapa warga Jakarta kini melihat kerja di sektor pemerintah sebagai penyelamat dalam krisis ekonomi.

Seperti yang diungkapkan oleh Cik Atika: “Mungkin kerja ini bukan yang saya impikan semasa belajar dulu, tapi sekarang, kestabilan lebih penting daripada status. Bukan soal kelayakan, tapi soal kelangsungan hidup.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg