JAKARTA: Cadangan pemerintah Jakarta untuk memperluas kawasan larangan merokok dan mengetatkan peraturan penjualan rokok mencetuskan bantahan hebat daripada peniaga kecil serta pengusaha industri hiburan. Mereka bimbang peraturan baru itu bakal menjejaskan pendapatan dan mengancam kelangsungan perniagaan.
Dewan Bandaraya Jakarta pada 29 September lalu memuktamadkan draf peraturan kawasan larangan merokok yang tertangguh sejak sekian lama, selaras dengan arahan pemerintah pusat pada 2024 yang mewajibkan semua pentadbiran daerah melaksanakan dasar ini.
Draf tersebut melarang penjualan rokok dalam radius 200 meter dari sekolah dan taman permainan, mengharamkan penjualan rokok secara batang, mengehadkan merokok di kawasan awam sesak termasuk pasar tradisional dan moden, serta mewajibkan permit khas untuk perniagaan yang mahu menjual produk tembakau.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, mengesahkan pihaknya turut menimbang memperluaskan larangan merokok ke premis hiburan seperti karaoke, kelab malam dan kafe muzik. “Kami sedang melaksanakan peraturan untuk melindungi generasi muda daripada rokok. Ini adalah usaha menyeluruh,” kata Encik Pramono kepada media tempatan.
Namun, peniaga kecil memberi amaran bahawa peraturan itu boleh menjejaskan ekonomi mereka. Rokok masih menjadi jualan utama di kedai-kedai kecil dan warteg - warung makan murah yang banyak di Jakarta.
“Rokok adalah antara komoditi paling laris di warteg,” kata Encik Mukroni, Ketua Komuniti Warteg Nusantara (Kowantara), pada 30 September. “Kami menyokong usaha mengawal akses rokok, terutama untuk anak muda, tetapi kami kesal kerana peniaga kecil tidak dilibatkan dalam proses merangka peraturan ini.”
Encik Ali Mahsun, Pengerusi Persatuan Pedagang Kaki Lima Indonesia (APKLI), yang mewakili kira-kira 80,000 peniaga kecil di Jakarta, turut menolak draf peraturan tersebut. “Peraturan ini akan mengancam mata pencarian kami, sedangkan pendapatan peniaga sudah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya. “Kami menolak draf ini kerana ia hanya akan memperlahankan ekonomi rakyat kecil.”
Encik Ali mendedahkan sekurang-kurangnya 200 peniaga merancang mengadakan protes di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Jakarta minggu hadapan bagi menyuarakan bantahan mereka.
Kebimbangan turut disuarakan pengusaha hiburan dan restoran. Cik Arini Yulianti daripada Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia berkata peraturan itu bakal menjejaskan banyak perniagaan, termasuk restoran, kafe, bar dan hotel. “Kami mohon pertimbangan semula kerana yang diperlukan ialah peraturan yang seimbang, bukan yang menekan perniagaan hingga sukar beroperasi,” ujarnya.
Mereka berpendapat perlu ada garis panduan yang jelas agar larangan merokok tidak membebankan pengusaha tempat hiburan yang sudah berdepan pemulihan ekonomi selepas pandemik.
Pemerintah Jakarta berpendapat langkah ini penting bagi mengurangkan kadar merokok yang sangat tinggi di Indonesia. Tinjauan Kesihatan Nasional 2023 mendapati ramai perokok di negara itu mula merokok seawal usia 10 hingga 19 tahun, dan jumlah perokok kini dianggarkan mencecah 70 juta orang.
Kajian oleh Tulodo Indonesia pada 2023 juga mendapati ratusan kedai menjual rokok hanya 100 hingga 250 meter dari sekolah di Jakarta, walaupun undang-undang melarang penjualan tembakau dan rokok elektronik kepada individu bawah 21 tahun.
Namun, penganalisis menegaskan pendekatan radius larangan 200 meter mungkin sukar dilaksanakan di bandar sepadat Jakarta. “Apa yang kita perlukan ialah pengawasan yang lebih tegas terhadap penjualan produk tembakau, bukan sekadar larangan menyeluruh yang boleh menjejaskan peniaga kecil,” kata Encik Herman Suparman, Pengarah Eksekutif badan pemikir Regional Autonomy Watch.
Dalam pada itu, peniaga mengingatkan Gabenor Pramono supaya menunaikan janji melindungi ekonomi rakyat kecil. Mereka menuntut dasar yang tidak menyekat akses perniagaan tradisional dan memberi ruang untuk mereka menyesuaikan diri.
“Kami berharap Presiden Prabowo Subianto memastikan dasar tempatan selari dengan visi nasional yang memihak kepada pengusaha kecil,” kata Encik Ali. Beliau mengingatkan banyak warteg sudah gulung tikar sejak pandemik. “Data kami menunjukkan kira-kira 25,000 warteg di Jabodetabek (Jakarta, Bogor,Depok,Tangerang,danBekasi) tutup selepas Covid-19. Jika peraturan ini diluluskan tanpa menimbang kesannya, situasi akan jadi lebih parah.”
Encik Mukroni turut menegaskan bahawa sekatan merokok di warteg akan mengurangkan pelanggan secara drastik. “Pendapatan kami pasti jatuh. Warteg bukan sekadar tempat makan, ia juga ruang sosial bagi pelanggan yang kerap merokok selepas makan,” katanya.
Gabenor Pramono berjanji akan mencari jalan mengurangkan kesan ekonomi terhadap peniaga kecil sekiranya peraturan baharu ini dikuatkuasakan. Beliau berkata rundingan tambahan akan dibuat dengan persatuan peniaga sebelum undang-undang diluluskan secara rasmi.
“Kami mahu melindungi kesihatan awam, tetapi pada masa sama kami tidak mahu menjatuhkan ekonomi rakyat kecil,” kata Encik Pramono. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg