Pelantikan anak saudara Prabowo uji autonomi Bank Indonesia
Pelantikan anak saudara Prabowo uji autonomi Bank Indonesia
JAKARTA: Keputusan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meluluskan pelantikan Encik Thomas ‘Tommy’ Aquinas Djiwandono sebagai Timbalan Gabenor Bank Indonesia (BI) bagi penggal 2026–2031 telah menyuntik kembali perbahasan lama mengenai kebebasan bank pusat.
Hubungan kekeluargaan beliau sebagai anak saudara Presiden Prabowo Subianto, serta latar belakang politiknya dalam Parti Gerindra, mencetuskan reaksi berhati-hati dalam kalangan pelabur dan pemerhati ekonomi.
Namun pada masa yang sama, pelantikan ini turut mencerminkan keperluan baru Indonesia untuk memperkukuh penyelarasan dasar fiskal dan monetari dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Encik Tommy dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Timbalan Gabenor BI, Encik Juda Agung, yang meletakkan jawatan pada 13 Januari lalu, dua tahun sebelum tamat tempoh perkhidmatannya.
Pemerintah mengemukakan tiga nama kepada DPR, termasuk dua pegawai kanan BI, Encik Solikhun Juhro dan Encik Dicky Kartikoyono. Namun akhirnya, Suruhanjaya XI DPR sebulat suara memilih Encik Tommy selepas melalui proses penilaian kelayakan dan kesesuaian yang ketat.
Pengerusi Suruhanjaya XI, Encik Mukhamad Misbakhun, berkata keputusan itu dibuat melalui musyawarah muafakat.
“Pertimbangan utama ialah beliau merupakan tokoh yang boleh diterima oleh semua kelompok,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Encik Tommy mampu mengemukakan pandangan yang menyeluruh mengenai kepentingan sinergi fiskal dan monetari dalam merangsang pertumbuhan ekonomi.
Kebimbangan pasaran terhadap kemandirian BI timbul bukan sahaja disebabkan latar belakang peribadi Encik Tommy, tetapi juga susulan beberapa perkembangan terdahulu.
Antaranya ialah pengakuan Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, mengenai kewujudan mekanisme pertukaran jawatan antara BI dan Kementerian Kewangan, serta komitmen BI membeli Surat Berharga Negara (SBN) dalam jumlah besar.
SBN merupakan bon pemerintah yang diterbitkan bagi membiayai perbelanjaan negara, dan pembelian berskala besar oleh bank pusat sering ditafsirkan pasaran sebagai petunjuk hubungan fiskal –monetari yang semakin rapat.
“Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk mengekalkan autonomi Bank Indonesia, sambil memastikan penyelarasan dasar fiskal dan monetari,” kata Encik Tommy kepada wartawan selepas pelantikannya disahkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa keseluruhan proses pemilihan tersebut telah dilaksanakan mengikut semua peraturan dan ketetapan perundangan yang diguna pakai.
Pakar ekonomi Universiti Gadjah Mada, Profesor Insukindro, menegaskan bahawa kedudukan Bank Indonesia yang tidak terikat kepada arahan eksekutif tidak bergantung kepada individu, sebaliknya dijamin oleh rangka perundangan.
“BI menjadi institusi bebas sejak penggubalan Undang-Undang No. 23 Tahun 1999. Sejak itu, ramai gabenor dan timbalan gabenor dilantik dari luar BI, termasuk dari kalangan akademik dan pemerintah,” katanya.
Beliau menambah bahawa dasar monetari ditentukan secara kolektif oleh Lembaga Gabenor, berdasarkan analisis teknikal jabatan-jabatan BI. “Ia bukan keputusan seorang individu,” katanya.
Dalam konteks ekonomi semasa, cabaran yang dihadapi BI adalah besar. Nilai rupiah Indonesia mencatat paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat pada 20 Januari, apabila didagangkan pada sekitar 16,985 bagi setiap dolar di pasaran spot, menurut data Reuters. Paras itu melepasi rekod terendah sebelum ini iaitu 16,957 yang dicatatkan pada April 2025.
Data Bloomberg pula menunjukkan kejatuhan ini mencerminkan tekanan berterusan ke atas mata wang Indonesia di tengah ketidaktentuan global, aliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun serta sensitiviti pasaran terhadap hala tuju dasar monetari utama dunia, khususnya di Amerika Syarikat.
Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo, mengaitkan kelemahan nilai rupiah itu dengan faktor global, termasuk peningkatan ketidaktentuan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Eropah serta jangkaan perubahan hala tuju dasar kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, yang telah mendorong aliran keluar modal daripada pasaran sedang pesat membangun.
Sehingga 19 Januari, Indonesia mencatatkan aliran keluar bersih modal asing sekitar AS$1.6 bilion ($2.02 bilion). Dalam keadaan ini, kredibiliti dasar menjadi penentu utama kestabilan makroekonomi.
Justeru, komitmen Encik Tommy untuk memperkukuh kejelasan dasar dan penyelarasan institusi dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu kelebihan, bukannya kelemahan.
Semasa sesi tapisan kelayakan dan kesesuaian, Encik Tommy mencadangkan agar skim perkongsian beban antara pemerintah dan Bank Indonesia tidak diteruskan.
Skim tersebut diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 sebagai langkah luar biasa bagi menyokong pembiayaan belanjawan negara. “Perkongsian beban adalah pendekatan masa lalu. Ketika itu ia diperlukan, namun kini tumpuan utama ialah merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Pandangan ini menerima sokongan daripada beberapa ahli ekonomi. Profesor ekonomi Universiti Andalas, Profesor Syafruddin Karimi, berkata pembatalan skim tersebut boleh membantu memulihkan persepsi pasaran terhadap kebebasan BI.
“Pendekatan pro-pertumbuhan masih relevan, selagi kestabilan rupiah dilihat sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi, bukannya faktor sampingan,” katanya.
Ketua Ekonomi Permata Bank, Encik Josua Pardede, turut bersetuju bahawa meneruskan skim perkongsian beban dalam keadaan normal boleh melemahkan disiplin fiskal.
Namun, beliau mengingatkan bahawa sokongan monetari terhadap pertumbuhan tidak boleh ditanggapi secara terlalu mudah. “Tambahan kecairan tidak semestinya terus diterjemahkan kepada kredit produktif, khususnya ketika permintaan pinjaman masih lemah atau bank mengambil pendekatan lebih berhati-hati,” katanya.’
Dalam erti kata lain, cabaran utama Bank Indonesia kekal tidak berubah, iaitu menyeimbangkan mandat menyokong pertumbuhan ekonomi dengan keperluan mengekalkan kestabilan nilai mata wang. Penurunan kadar faedah boleh merangsang pertumbuhan, namun pada masa yang sama berisiko menekan rupiah sekiranya jurang kadar faedah dengan Amerika Syarikat menjadi terlalu sempit.
Dalam konteks ini, latar belakang Encik Tommy dalam dasar fiskal serta pengalamannya dalam kewangan antarabangsa dilihat sebagai satu aset strategik kepada Bank Indonesia.
Ketua Ekonomi Trimegah Sekuritas Indonesia, Encik Fakhrul Fulvian, berkata kehadiran tokoh yang mempunyai pemahaman fiskal yang mendalam mencerminkan realiti baru ekonomi global.
“Dasar fiskal dan monetari tidak lagi boleh bergerak secara berasingan, khususnya ketika ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan yang semakin meningkat dan ketegangan geopolitik yang berlarutan,” katanya
Dari sudut jangka panjang, pelantikan Encik Tommy juga perlu dilihat dalam kerangka kesinambungan institusi. BI telah melalui pelbagai fasa krisis dan pembaharuan sejak krisis Asia 1997–1998. Ketahanan institusi inilah yang menjadi asas keyakinan pelabur, bukan semata-mata latar belakang individu.
Encik Tommy sendiri menegaskan bahawa peranannya adalah sebagai sebahagian daripada pasukan, bukan sebagai penentu tunggal.
“Dasar BI dibuat secara kolektif, dan saya menghormati kerangka sedia ada,” katanya, sambil mengakui keperluan komunikasi dasar yang lebih jelas kepada pasaran.
Seiring dengan agenda besar pemerintahan Prabowo, termasuk program makanan berkhasiat percuma, koperasi desa dan perumahan rakyat, keperluan penyelarasan antara dasar fiskal dan monetari semakin mendesak. Namun, penyelarasan tersebut hanya akan berkesan sekiranya autonomi Bank Indonesia terus dipelihara.
Penganalisis melihat pelantikan Encik Tommy ke jawatan Timbalan Gabenor BI membawa bersama risiko persepsi, tetapi juga peluang institusi. Dengan jaminan undang-undang yang kukuh, mekanisme keputusan kolektif, serta pengawasan pasaran dan awam, kebebasan BI masih mempunyai benteng yang kuat.
Jika dimanfaatkan dengan berhati-hati, gabungan penyelarasan dasar dan disiplin institusi ini berpotensi menyokong kestabilan makroekonomi dan pertumbuhan mampan Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang. – Agensi berita.

