Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelombong pikul 60kg belerang di kawah Gunung Ijen di Jawa Timur
Pelombong pikul 60kg belerang di kawah Gunung Ijen di Jawa Timur
Perjalanan naik turun ambil masa sekitar tiga jam, peroleh kira-kira 100,000 rupiah ($7.23), ada yang manfaat ledakan pelancongan
Pelombong pikul 60kg belerang di kawah Gunung Ijen di Jawa Timur
Pada usia 60 tahun, kebanyakan orang mungkin sudah menikmati kehidupan persaraan.
Namun, bagi Encik Hasan, usia lanjut bukan alasan untuk berhenti bekerja.
Beliau masih setia mendaki dan menuruni kawah Gunung Ijen di Jawa Timur setiap hari sambil mengharungi laluan berbatu curam serta asap belerang yang memeritkan pernafasan.
“Saya sudah lakukan kerja ini selama 40 tahun, sejak umur 20 tahun.
“Saya pelombong paling tua di sini. Dulu saya mampu mengangkat sehingga 80 kilogram sulfur dari dasar kawah ke bibir kawah, tetapi sekarang sekitar 60 kilogram sahaja,” katanya kepada Berita Harian.
Encik Hasan ditemui di dasar kawah, kira-kira 200 hingga 300 meter menegak dari bibir kawah Gunung Ijen.
Bersama puluhan pelombong lain, Encik Hasan bekerja sekurang-kurangnya 12 jam sehari.
Ada yang bekerja hampir tanpa henti untuk mengutip bongkah belerang keras sebelum dimasukkan ke dalam dua bakul buluh seberat antara 30 dengan 50 kilogram setiap satu.
Bakul itu kemudian dipikul menggunakan batang buluh di bahu sambil mendaki laluan berbatu yang curam dengan kecerunan sekitar 45 hingga 60 darjah menuju ke bibir kawah.
Setiap kali selesai menghantar belerang ke atas, mereka akan turun semula ke dasar kawah untuk mengulangi proses sama.
Bagi pelombong yang sudah biasa dengan laluan itu, perjalanan turun tanpa beban hanya mengambil masa sekitar 15 minit.
Namun, apabila memikul muatan mencecah 100 kilogram, perjalanan mendaki boleh mengambil masa hampir dua jam.
Walaupun cuaca buruk dan hujan lebat menjadikan laluan licin serta berbahaya, Encik Hasan tetap meneruskan rutin hariannya meskipun kebanyakan pelombong tidak mempunyai kelengkapan keselamatan lengkap.
“Saya cuma perlu berjalan perlahan kerana batu akan menjadi licin. Yang penting terus melangkah,” katanya.
“Jika keadaan baik, saya boleh lakukan dua pusingan sehari.
“Setiap perjalanan naik dan turun mengambil masa kira-kira tiga jam dan saya boleh memperoleh sekitar 100,000 rupiah ($7.23) hingga 150,000 rupiah, bergantung kepada jumlah belerang yang dikumpulkan.”
Menurut Encik Hasan, ketika mula bekerja dahulu, harga belerang hanya sekitar 25 rupiah sekilogram.
Kenaikannya berlaku perlahan-lahan selama beberapa dekad sehingga kini mencecah sekitar 1,500 rupiah sekilogram.
Selepas selesai mengumpul belerang, para pelombong akan menolak hasil kutipan menggunakan troli menyusuri cerun sejauh tiga kilometer menuju ke kem Paltuding, iaitu pintu masuk utama laluan Gunung Ijen.
Di situ, pekerja syarikat perlombongan akan menimbang hasil belerang sebelum membuat bayaran kepada pelombong mengikut jumlah kutipan masing-masing.
Belerang atau sulfur dari Gunung Ijen digunakan dalam penghasilan pelbagai produk termasuk kosmetik dan ubat-ubatan.
Gunung Ijen setinggi 2,386 meter itu juga terkenal sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Ribuan pelancong tempatan dan asing mendaki gunung itu pada waktu malam untuk melihat fenomena api biru, matahari terbit serta tasik kawah berwarna biru kehijauan di puncak gunung.
Kehadiran pelancong turut memberi peluang pendapatan tambahan kepada pelombong seperti Encik Hasan menerusi upah daripada pelawat yang turun ke dasar kawah untuk melihat api biru yang hanya jelas kelihatan sebelum matahari terbit.
Encik Hasan yang berasal dari Kampung Licin, lokasi permulaan pendakian Gunung Ijen, berkata pekerjaan itu memang dilakukan keluarganya sejak dahulu, termasuk abangnya.
Namun, beliau tidak mahu anak lelakinya meneruskan pekerjaan itu walaupun masih belum mempunyai pekerjaan tetap.
“Saya tidak mahu anak saya jadi pelombong belerang,” katanya ringkas.
Ramai pelombong lebih muda kini mula beralih pekerjaan kepada sektor pelancongan yang semakin berkembang di Gunung Ijen.
Encik Aris, misalnya, kini menjadi pemandu pelancong dan membawa pelawat ke dasar kawah untuk melihat api biru serta tasik berasid di puncak gunung.
“Saya dulu mampu mendaki dengan beban 100 kilogram dalam masa sejam,” katanya.
Encik Aris meninggalkan pekerjaan sebagai pelombong tiga tahun lalu selepas mempelajari bahasa Inggeris secara sendiri ketika bekerja di kawah.
Menurutnya, peningkatan jumlah pelancong asing sejak Gunung Ijen semakin popular sekitar 2014 membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.
“Ramai kini bertukar kerja sama ada menjadi pemandu pelancong atau pengendali teksi Ijen Ferrari,” katanya sambil merujuk kepada kereta sorong yang kini digunakan untuk membawa pelancong menaiki laluan curam.
Seorang lagi bekas pelombong, Encik Imam Sugiono, 39 tahun, berkata pekerjaan sebagai pengendali kereta sorong memberikan kehidupan lebih selesa berbanding melombong belerang.
“Sekarang saya ada lebih banyak masa untuk berehat,” katanya.
Walaupun kehidupan di Gunung Ijen penuh cabaran, kisah Encik Hasan dan para pelombong lain memperlihatkan semangat luar biasa masyarakat setempat yang terus bekerja keras sambil menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan peluang ekonomi baharu.
