Pembangun ChatGPT gesa pengawasan global AI, samakan dengan kawalan nuklear
Pembangun ChatGPT gesa pengawasan global AI, samakan dengan kawalan nuklear
NEW DELHI: Ketua syarikat pembangun ChatGPT, Sam Altman, memberi amaran dunia memerlukan peraturan segera terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pantas dan mencadangkan penubuhan badan penyelarasan global seumpama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Beliau berkata teknologi tersebut berpotensi memberi manfaat besar kepada manusia tetapi juga membawa risiko serius jika tidak dikawal.
“Sebagai contoh jelas, model biologi yang sangat berkeupayaan boleh tersedia secara terbuka dan membantu individu mencipta patogen baharu,” katanya pada Sidang Kemuncak Impak AI global di New Delhi.
“Kita memerlukan pendekatan seluruh masyarakat untuk mempertahankan diri daripada perkara seperti ini.” Encik Altman menegaskan penyebaran teknologi AI secara meluas lebih selamat berbanding penguasaan oleh segelintir pihak. “Pendemokrasian AI adalah cara terbaik memastikan manusia berkembang. Pemusatan teknologi ini dalam satu syarikat atau negara boleh membawa kemudaratan,” katanya.
“Namun kita tetap memerlukan peraturan dan perlindungan, dan ia diperlukan dengan segera seperti teknologi berkuasa lain.” Beliau berkata dunia mungkin memerlukan organisasi antarabangsa khusus bagi menyelaras dasar AI dan bertindak balas pantas terhadap perubahan teknologi.
“Beberapa tahun akan datang akan menguji masyarakat global. Kita boleh memilih sama ada memperkasa manusia atau menumpukan kuasa,” tambahnya.
Sidang kemuncak tahunan keempat itu menghimpunkan puluhan pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, tokoh teknologi Encik Demis Hassabis dan Encik Bill Gates, walaupun pengasas Microsoft itu kemudian membatalkan ucapan utamanya.
Permintaan tinggi terhadap AI generatif telah meningkatkan keuntungan syarikat teknologi, namun turut menimbulkan kebimbangan berkaitan gangguan pekerjaan, penipuan dalam talian dan kandungan palsu.
Pakar sains komputer Encik Stuart Russell berkata teknologi tersebut berpotensi menggantikan manusia dalam pelbagai tugas. “Kita sedang mencipta peniru manusia. Secara semula jadi aplikasi sistem itu ialah menggantikan manusia,” katanya.
Kebimbangan itu amat relevan di India yang mempunyai jutaan pekerja pusat panggilan dan sokongan teknikal. Encik Altman bagaimanapun menegaskan perubahan pekerjaan bukan perkara baharu dalam sejarah teknologi. “Teknologi sentiasa mengganggu pekerjaan, tetapi manusia sentiasa menemui pekerjaan baharu yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, ChatGPT kini mempunyai kira-kira 100 juta pengguna mingguan di India dan lebih satu pertiga daripadanya ialah pelajar.
OpenAI turut mengumumkan kerjasama dengan Tata Consultancy Services untuk membangunkan pusat data AI di negara itu. Langkah tersebut sebahagian gelombang pelaburan teknologi besar di India.
Menteri IT India Encik Ashwini Vaishnaw berkata negara itu menjangka pelaburan lebih AS$200 bilion (S$253.5 bilion) dalam dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Google Encik Sundar Pichai berkata syarikatnya mahu menjadi rakan penting dalam pembangunan AI negara tersebut. “India akan mempunyai trajektori luar biasa dalam AI dan kami mahu menjadi rakan,” katanya sambil mengumumkan pembinaan kabel dasar laut sebagai sebahagian pelaburan infrastruktur AI bernilai AS$15 bilion.
Syarikat cip Nvidia pula bekerjasama dengan penyedia pengkomputeran awan tempatan untuk membekalkan pemproses canggih bagi melatih sistem AI. Namun pembinaan pusat data skala besar menimbulkan kebimbangan alam sekitar kerana penggunaan tenaga elektrik dan air yang tinggi ketika negara berusaha mengurangkan pelepasan karbon.
India kini berada di tempat ketiga dalam ranking daya saing AI global menurut penyelidik Stanford, walaupun masih jauh di belakang Amerika Syarikat dan China.
Beberapa pemerhati meragui sidang kemuncak itu akan menghasilkan komitmen konkrit kerana pertemuan sebelumnya hanya menghasilkan janji umum. Aktivis keselamatan AI turut menggesa tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan teknologi termasuk penipuan, pengawasan berlebihan dan kandungan palsu.
Pengasas syarikat barang kemas berasaskan AI, Encik Siddharth Soni, melihat manfaat dan risiko serentak. “Kita kehilangan artisan dan nilai seni kerana AI. Itu bahagian yang menyedihkan,” katanya.
Para pemimpin dijangka mengeluarkan kenyataan bersama pada akhir sidang mengenai cara mengurus teknologi tersebut.
Bagi Encik Altman, keputusan global dalam beberapa tahun terdekat akan menentukan arah masa depan manusia. “Teknologi ini bergerak sangat pantas. Cara kita memilih untuk mengawalnya akan menentukan sama ada ia memperkasa masyarakat atau menumpukan kuasa,” katanya. - Agensi berita

