NEW YORK: Pada 21 Oktober, OpenAI memperkenalkan ChatGPT Atlas, pelayar web berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diilhamkan daripada chatbot popularnya, sekaligus mencabar dominasi Google Chrome.
Pelancaran ini menandakan langkah terkini OpenAI untuk memanfaatkan 800 juta pengguna aktif ChatGPT secara mingguan, sambil memperluas peranannya dalam kehidupan digital pengguna dan mengumpul data tentang corak pelayaran mereka.
Langkah ini berpotensi mempercepat peralihan besar ke arah carian berasaskan AI.
Semakin ramai pengguna beralih kepada alat perbualan yang menggabungkan dan mentafsir maklumat berbanding dengan bergantung pada hasil carian berasaskan kata kunci tradisional daripada Google, sekali gus memperhebat persaingan antara OpenAI dengan Google.
Saham Alphabet, syarikat yang memiliki Chrome, susut 1.8 peratus selepas pelancaran diumumkan.
Atlas merupakan pesaing terbaru dalam bidang pelayar AI yang semakin sesak, termasuk Comet oleh Perplexity, Brave dan Neon oleh Opera, sedang syarikat berlumba untuk memperkenalkan alat yang boleh meringkaskan halaman, mengisi borang dan menjana kod untuk menarik pengguna.
Atlas membolehkan pengguna membuka panel sisi atau ‘sidebar’ ChatGPT untuk meringkaskan maklumat atau menganalisis laman web dengan cepat.
Dalam ‘mod ejen’, yang tersedia untuk pengguna berbayar, ChatGPT boleh mengurus tugasan dari awal hingga akhir termasuk menjalankan penyelidikan atau membeli-belah bagi pihak pengguna.
Dalam sebuah demonstrasi, ejen OpenAI menunjukkan bagaimana ChatGPT mencari resipi dalam talian dan secara automatik membeli semua bahan yang diperlukan dalam beberapa minit.
Pelayar ini kini tersedia di seluruh dunia untuk sistem Apple macOS, disusuli dengan versi Windows, iOS, dan Android.
Diketuai oleh Encik Sam Altman, OpenAI menggegarkan dunia teknologi dengan pelancaran ChatGPT pada 2022 dan kini menghadapi persaingan sengit daripada Google dan Anthropic, sebuah syarikat pemula.
Google pula menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku carian dengan memperkenalkan gambaran keseluruhan AI dalam hasil carian dan menggabungkan model Gemini AI ke dalam Chrome.
Walaupun persaingan semakin sengit, Google Chrome kekal mendominasi dengan 71.9 peratus pegangan pasaran pelayar global pada September, menurut StatCounter.
Namun, penganalisis percaya Atlas boleh mencabar dominasi itu.
“Integrasi sembang ke dalam pelayar adalah langkah awal OpenAI untuk menjual iklan. Jika ia berlaku, ia boleh menjejas penguasaan pengiklanan carian milik Google yang menguasai 90 peratus dalam kategori tersebut,” kata penganalisis di D.A. Davidson, Encik Gil Luria. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg