Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangun ChatGPT, OpenAI akan buka pejabat baru di S’pura

Pejabat di S’pura merupakan cawangan antarabangsa keempat; cawangan kedua di Asia
Oct 9, 2024 | 2:56 PM
Pejabat OpenAI yang akan dibuka di Singapura merupakan cawangan antarabangsa keempatnya, yang juga cawangan keduanya di Asia, selepas Tokyo, Jepun.
Pejabat OpenAI yang akan dibuka di Singapura merupakan cawangan antarabangsa keempatnya, yang juga cawangan keduanya di Asia, selepas Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Pembangun chatbot ChatGPT, OpenAI, syarikat yang berpangkalan di San Francisco yang sinonim dengan mempopularkan kegunaan kecerdasan buatan (AI) generatif, akan membuka pejabatnya di Singapura pada akhir 2024.

Pejabatnya di Singapura merupakan cawangan antarabangsa keempatnya, yang juga cawangan keduanya di Asia. 

Cawangan baru ini akan tertumpu pada memajukan kerjasama serantau, termasuk bekerjasama dengan program AI nasional, AI Singapura, untuk membina model AI generatif yang dapat ‘memahami’ serta mencerminkan budaya dan bahasa di Asia Tenggara.

Pertumbuhan OpenAI di sini menandakan rancangan jangka panjang syarikat permulaan itu untuk memanfaatkan bakat teknologi yang semakin berkembang di Singapura, memperkukuh kehadirannya di rantau ini, serta menjadikannya sebuah hab untuk rakan kongsinya di Asia-Pasifik (Apac).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Encik Sam Altman berkata dalam satu kenyataan pada 9 Oktober:

“Singapura yang kaya dengan sejarah kepimpinan teknologi, telah muncul sebagai peneraju dalam AI, mengiktiraf potensinya untuk menyelesaikan beberapa masalah paling sukar dalam masyarakat dan memajukan ekonomi.

“Kami teruja bekerjasama dengan pemerintah dan ekosistem AI yang maju di negara ini, sambil kami berkembang di rantau Apac.”

OpenAI, yang diasaskan pada 2015, mempunyai pejabat di London, Dublin dan Tokyo.

Lokasi pejabatnya di Singapura masih dimuktamadkan.

“Rancangan ini mencerminkan kedudukan Singapura dalam kepimpinan teknologi dan AI, serta permintaan yang semakin meningkat untuk peralatan AI lanjutan, di seluruh Apac,” kata OpenAI, yang menambah bahawa rakyat Singapura adalah antara pengguna ChatGPT tertinggi per kapita di seluruh dunia.

Apabila ditanya akhbar The Straits Times, OpenAI mengesahkan bahawa ia merancang mengambil antara lima hingga 10 pekerja baru sebelum 2025, dan komited untuk mengambil bakat setempat bekerja.

Operasi serantaunya akan diketuai oleh Encik Oliver Jay, yang akan berkhidmat sebagai pengarah urusan antarabangsa, yang akan berpangkalan di sini.

Encik Jay sebelum ini ialah Ketua Pegawai Pendapatan (CRO) di syarikat perisian Asana.

Syarikat itu akan bekerjasama lebih rapat dengan agensi-agensi pemerintah Singapura, seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), untuk menyokong pembangunan AI di sini.

Dengan itu, OpenAI menyasarkan untuk menjadikan AI Lanjutan, lebih mudah diakses di Asia Tenggara.

Ia akan menyediakan sehingga AS$1 juta ($1.3 juta) untuk membangun sumber bagi memastikan model AI yang dibina mencerminkan kepelbagaian bahasa dan budaya rantau ini, di bawah kerjasama baru dengan AI Singapura, sebuah agensi yang ditugaskan untuk memacu pertumbuhan teknologi tempatan.

Sejak OpenAI melancarkan ChatGPT pada 2022, kehadirannya di Singapura telah berkembang dengan pantas, dengan teknologinya disepadukan ke dalam penyelesaian AI yang digunakan oleh kedua-dua pemerintah dan industri perniagaan.

Pengarah urusan EDB, Cik Jacqueline Poh berkata pertumbuhan OpenAI, menandakan ekosistem AI yang berkembang, pelaburan (yang meningkat) dalam bakat AI, serta permintaan daripada perniagaan yang tinggi di negara ini.

Syarikat itu akan menganjurkan Hari Pembangun pertamanya di sini pada 21 November, menyasarkan kehadiran para pembangun dan syarikat permulaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg