Cuaca panas terik di pesisir pantai tidak menghalang Encik Hadi, 51 tahun, penduduk bandar perindustrian Gresik di Jawa Timur, berdiri di hujung jeti kayu di Kampung Lumpur sambil menunggu telefonnya berdering.

Bekas nelayan itu sedang menunggu panggilan daripada kelasi kapal dagang yang menghampiri perairan Gresik untuk menggunakan khidmat botnya membawa mereka ke darat.

Perkhidmatan itu kini menjadi sumber rezeki utama Encik Hadi selepas pekerjaan sebagai nelayan tidak lagi mampu menyara kehidupan bersama isteri dan dua anaknya.

“Hari ini belum ada pelanggan lagi. Saya masih tunggu pelanggan tetap hubungi saya. Katanya kapal mereka sudah hampir sampai ke darat,” kata Hadi kepada Berita Harian ( BH) ketika ditemui di jeti itu pada 29 Mei lalu.

Encik Hadi, seperti kebanyakan rakyat Indonesia yang hanya menggunakan satu nama, menggelar pekerjaan membawa kelasi dari kapal ke jeti dan sebaliknya sebagai “servis bot” atau bot perkhidmatan.

Beliau sudah menjalankan pekerjaan itu sejak tujuh tahun lalu selepas mengambil keputusan menggunakan bot kayunya untuk membawa penumpang berbanding menangkap ikan.

“Peralatan menangkap ikan semakin mahal sedangkan harga ikan pula rendah. Keadaan memang susah dan kadang-kadang saya tidak cukup wang untuk keluarga,” katanya.

Bot kayu milik Encik Hadi yang dahulunya digunakan untuk menangkap ikan kini boleh membawa sehingga 21 penumpang.

Kadang-kadang hanya seorang penumpang menaiki botnya dan beliau mengenakan bayaran antara 25,000 rupiah ($1.81) hingga 50,000 rupiah seorang bergantung kepada jarak kapal berlabuh dari jeti.

Menurut Encik Hadi, kebanyakan bot nelayan yang dahulu berlabuh di sepanjang jeti kini sudah bertukar menjadi bot perkhidmatan sepenuh masa.

Hanya 13 bot masih digunakan untuk menangkap ikan kerana pemiliknya masih merasakan pekerjaan itu berbaloi diteruskan.

Namun, pertukaran pekerjaan itu juga tidak menjamin pendapatan lebih besar.

Katanya, kapal keluar masuk mengikut jadual dan pelanggan tetapnya kadang-kadang belayar untuk tempoh lama sehingga beliau tidak memperoleh pendapatan selama beberapa hari.

“Tetapi apabila mereka datang dan kapal mereka berlabuh, saya boleh dapat pendapatan yang baik. Setiap pengusaha bot perkhidmatan ada pelanggan tetap masing-masing. Pelanggan tetap saya datang dari 14 kapal,” katanya.

Menurut Encik Hadi, perairan Gresik suatu ketika dahulu kaya dengan hasil laut sehingga sekitar 2021.

Namun keadaan berubah apabila semakin banyak kilang dan pelabuhan dibina sehingga menarik kapal tangki besar berlabuh di perairan itu.

Kawasan perairan Gresik terbentang dari pelabuhan utama Surabaya hingga ke penghujung selat berhampiran rumah api lama di Bangkalan di hujung barat Pulau Madura.

“Pihak berkuasa maritim akan menegur kami jika memasang pukat. Mereka kata ia mengganggu laluan kapal. Tetapi kami juga tidak boleh menangkap ikan terlalu dekat ke pantai kerana kapal besar berlabuh di situ,” katanya.

Pesisir pantai Gresik kini semakin melebar hasil projek penambakan laut yang menempatkan loji petrokimia, kilang tepung, loji peleburan tembaga dan taman perindustrian bersepadu.

Perairan antara Gresik dengan Pulau Madura juga kini menjadi laluan sibuk kapal kargo, kapal penumpang, bot tunda dan kapal tangki minyak yang bergerak antara timur dan barat kepulauan Indonesia melalui selat sempit itu.

“Dulu selat ini jauh lebih luas,” kata Encik Alimun Slamet, 66 tahun, yang turut menjalankan perkhidmatan sama seperti Encik Hadi.

Encik Alimun sebelum ini mengembara ke seluruh dunia selama 30 tahun sebagai kelasi kapal dagang asing dan kapal tangki minyak.

Beliau berhenti bekerja pada usia 55 tahun dan pulang ke Gresik pada 2017 dengan harapan mahu kembali menjadi nelayan seperti zaman mudanya.

“Apabila saya pulang, saya lihat kawasan pesisir sudah banyak berubah. Dahulu ada banyak hutan bakau yang menjadi habitat semula jadi burung dan biawak air,” katanya.

“Kini kawasan itu dipenuhi sisa buangan dari kilang di pesisir dan kelihatan semakin uzur.”

Seperti Encik Hadi dan ramai penduduk kampung lain, Encik Alimun akhirnya memilih untuk menjalankan perkhidmatan bot membawa kelasi walaupun pendapatannya tidak terlalu besar.

Namun beliau tetap bersyukur dengan kehidupan sekarang.

“Kami tetap bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Tetapi generasi muda belajar daripada pengalaman kami,” katanya.

“Mereka tidak mahu melalui kehidupan seperti kami. Ramai memilih belajar dan bekerja di bandar lain serta memilih pekerjaan lain supaya kehidupan mereka lebih baik daripada generasi ibu bapa mereka.”