BANGKALAN, Jawa Timur: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata Nahdlatul Ulama (NU) mempunyai pengaruh besar dalam politik negara itu kerana ramai anggotanya berada dalam pelbagai parti politik serta menganggotai Kabinet Merah Putih pimpinannya.

Menurut beliau, kekuatan NU yang tersebar luas dalam pelbagai lapisan masyarakat menjadikan organisasi itu sukar diketepikan dalam landskap politik Indonesia.

“Kabinet Merah Putih dianggotai ramai ahli NU. NU adalah organisasi besar yang berada di mana-mana. Dengan wakil dalam semua parti, NU tidak akan pernah kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Musyawarah Nasional (Munas) Alim Ulama dan Konferensi Besar (Konbes) NU 2026 di Institut Agama Islam (IAI) Syaichona Mohammad Cholil di Bangkalan, Jawa Timur, pada Selasa.

Forum strategik itu membawa tema “Menjaga Maruah, Memperkaya Khidmat untuk Kemaslahatan Bangsa”.

Encik Prabowo turut menyifatkan NU sebagai tempat terbaik untuk mempelajari politik kerana memiliki jaringan organisasi yang kukuh hingga ke peringkat akar umbi.

“NU mempunyai struktur yang sangat luas dan dekat dengan rakyat. Ia tempat untuk belajar politik yang sebenar,” katanya.

Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut menekankan bahawa NU bukan sekadar organisasi keagamaan, sebaliknya mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan nasionalisme dan patriotisme Indonesia sejak sebelum kemerdekaan.

“Nahdlatul Ulama memang organisasi keagamaan, tetapi sangat nasionalis, sangat patriotik dan sangat cinta tanah air,” katanya.

Beliau berkata semangat kebangsaan NU dapat dilihat sejak awal penubuhannya termasuk menerusi lagu Syubbanul Wathan yang menurutnya dicipta sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan.

Presiden Indonesia itu turut berkongsi hubungan peribadinya dengan NU yang menurut beliau sudah terjalin sejak kecil.

Encik Prabowo berkata beliau membesar di kawasan kejiranan yang sama dengan keluarga Presiden Indonesia keempat, Allahyarham Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur, tokoh penting NU.

“Saya sejak kecil memang dekat dengan keluarga besar NU. Saya rasa selesa dan aman berada di tengah-tengah warga NU,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa neneknya juga merupakan anggota NU.

Dalam pada itu, Encik Prabowo memuji peranan NU sebagai faktor penstabil yang sering tampil membantu negara ketika berdepan krisis dan cabaran besar.

“Keluarga besar NU sentiasa hadir ketika bangsa Indonesia berada dalam keadaan sukar,” katanya.

“Keluarga besar NU adalah faktor penstabil yang membantu memastikan keselamatan bangsa dan negara,” tambah beliau.

Majlis penutupan Munas dan Konbes NU itu turut dihadiri beberapa tokoh kanan pemerintah Indonesia termasuk Menteri Penyelaras Prasarana dan Pembangunan Wilayah Agus Harimurti Yudhoyono, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan Zulkifli Hasan, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia serta Menteri Hal Ehwal Agama Nasaruddin Umar.

Turut hadir Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), K.H. Yahya Cholil Staquf atau Gus Yahya.

Dalam laporannya, Gus Yahya menyampaikan penghargaan atas kehadiran Encik Prabowo pada majlis penutupan forum berkenaan.

Menurut beliau, kehadiran presiden melengkapkan perjalanan Munas dan Konbes NU yang dianggap penting menjelang Muktamar ke-35 NU yang dijadual berlangsung pada Ogos nanti.

“Kami adalah rakyat yang setia kepada negara, rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban demi bangsa dan negara tercinta,” katanya.

Beliau turut menegaskan NU akan terus memainkan peranan menjaga perpaduan dan kestabilan Indonesia.

“Kami tidak pernah hilang keyakinan dan optimisme terhadap Indonesia,” katanya lagi.

Acara penutupan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia Raya dan lagu Syubbanul Wathan sebelum diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran, doa serta ucapan tokoh-tokoh NU.

Turut hadir dalam majlis itu Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Ahmad Muzani, Ketua Polis Republik Indonesia (Polri) Jeneral Listyo Sigit Prabowo, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Agus Subiyanto serta barisan kepimpinan PBNU.

Ucapan Encik Prabowo itu dilihat mengukuhkan lagi hubungan rapat antara pemerintah Indonesia dengan NU yang selama ini dianggap antara organisasi Islam paling berpengaruh di negara berkenaan.

Dengan jaringan jutaan anggota dan pengaruh besar di akar umbi, NU terus memainkan peranan penting bukan sahaja dalam bidang agama, malah dalam politik, pendidikan dan kestabilan sosial Indonesia. - Agensi berita