Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Indonesia lepasi 290j, Gen Z muncul kumpulan terbesar
Pemerintah optimis kelebihan demografi mampu pacu pertumbuhan ekonomi, namun kejayaannya bergantung kepada peluang kerja, pendidikan dan pembangunan modal insan
JAKARTA: Jumlah penduduk Indonesia kini melepasi 290 juta orang, dengan hampir tujuh daripada setiap 10 penduduk berada dalam lingkungan usia produktif.
Ia sekali gus memberikan negara itu kelebihan demografi yang besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan.
Berdasarkan Data Kependudukan Bersih (DKB) bagi Semester Pertama 2026 yang dikeluarkan Direktorat Jeneral Kependudukan dan Pencatatan Sivil (Dukcapil) Kementerian Dalam Negeri Indonesia, jumlah penduduk negara itu kini mencecah 290.13 juta orang, meningkat kira-kira 1.81 juta berbanding 288.32 juta pada penghujung 2025.
Ketua Pengarah Kependudukan dan Pencatatan Sivil, Encik Teguh Setyabudi, berkata pertambahan itu mencerminkan peningkatan semula jadi penduduk hasil jumlah kelahiran yang melebihi kematian, selain penyesuaian data selepas proses pembersihan dan penyatuan rekod biometrik.
“Dalam setiap kemas kini data yang dibuat setiap semester, pertambahan penduduk secara purata adalah sekitar 1.7 hingga 1.8 juta orang,” katanya ketika membentangkan data berkenaan pada Mesyuarat Penyelarasan Nasional Dukcapil 2026 di Jakarta pada 4 Ogos.
Daripada keseluruhan penduduk itu, seramai 201.06 juta orang atau 69.3 peratus berada dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun, iaitu kategori usia bekerja yang dianggap sebagai bonus demografi.
Sementara itu, 65.96 juta orang atau 22.74 peratus berusia bawah 15 tahun, manakala 23.1 juta orang atau 7.96 peratus terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas.
Menurut Encik Teguh, komposisi penduduk itu memberi peluang besar kepada Indonesia untuk meningkatkan daya penghasilan dan mempercepat pembangunan ekonomi jika golongan usia bekerja dapat dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran serta peluang pekerjaan yang mencukupi.
“Ini merupakan kelebihan yang tidak dimiliki semua negara. Jika dimanfaatkan dengan baik, bonus demografi mampu menjadi pemacu utama pembangunan Indonesia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelebihan tersebut tidak akan memberi manfaat secara automatik tanpa dasar yang tepat dalam bidang pendidikan, kesihatan, latihan kemahiran dan penciptaan peluang pekerjaan.
Berdasarkan pecahan generasi, Generasi Z kini membentuk kumpulan terbesar di Indonesia dengan 75.36 juta orang, bersamaan 25.98 peratus daripada jumlah penduduk.
Ia diikuti Generasi Milenial yang merangkumi 68.53 juta orang atau 23.62 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Jumlah Generasi X dan ‘baby boomers’ atau yang lahir antara 1946 dengan 1964, pula hampir seimbang, masing-masing sekitar 55 juta orang.
Menurut Encik Teguh, keadaan itu menunjukkan dasar pembangunan negara perlu memberi perhatian khusus kepada keperluan Generasi Z dan Milenial kerana kedua-dua kumpulan itu akan menjadi tunjang pembangunan ekonomi, tenaga kerja dan kepimpinan negara dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
“Jika kita mahu membawa Indonesia ke hadapan, kita perlu memahami dan berkomunikasi dengan baik bersama Generasi Z dan Milenial,” katanya.
Mengikut taburan penduduk mengikut wilayah, Jawa Barat kekal sebagai wilayah paling ramai penduduk dengan 52.59 juta orang.
Ia diikuti Jawa Timur dengan 42.40 juta penduduk, manakala Jawa Tengah berada di tempat ketiga dengan 38.75 juta orang.
Sebaliknya, tiga wilayah yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Papua Barat, Papua Selatan dan Papua Barat Daya, masing-masing mempunyai kurang daripada 650,000 penduduk.
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Encik Muhammad Tito Karnavian, berkata pangkalan data Dukcapil kini menjadi sumber data kependudukan paling lengkap di negara itu kerana dikemas kini secara berterusan dalam masa nyata.
Menurutnya, setiap perubahan seperti kelahiran, kematian, perpindahan penduduk dan perkahwinan akan terus direkodkan dalam sistem.
“Data kependudukan sentiasa berubah setiap saat. Setiap kelahiran, kematian, perpindahan atau perkahwinan akan terus dikemas kini dalam sistem,” katanya.
Beliau berkata data itu kini menjadi asas kepada pelbagai program transformasi digital pemerintah, termasuk pengagihan bantuan sosial, pendidikan, kesihatan, pentadbiran awam dan pelaksanaan inisiatif Satu Data Indonesia.
Menurut Encik Tito, pemerintah juga sedang menyepadukan sistem Dukcapil dengan hospital serta pusat kesihatan.
Melalui sistem itu, bayi yang dilahirkan di hospital atau pusat kesihatan akan terus didaftarkan dan sijil kelahiran digital boleh dikeluarkan secara dalam talian tanpa ibu bapa perlu hadir ke pejabat Dukcapil.
“Apabila bayi dilahirkan di kemudahan kesihatan, datanya akan terus disambungkan kepada sistem Dukcapil.
“Sijil kelahiran boleh diterbitkan secara dalam talian dan dihantar terus melalui e-mel kepada ibu bapa,” ujarnya.
Pada masa sama, pemerintah turut meningkatkan kapasiti penyimpanan data, jalur lebar serta keselamatan siber bagi memastikan pangkalan data kependudukan terus selamat dan mampu menyokong pembangunan prasarana digital negara.
Setakat akhir Jun lalu, daripada 214.35 juta rakyat yang layak memiliki kad pengenalan elektronik (e-KTP), seramai 208.53 juta orang atau 97.28 peratus telah melengkapkan pendaftaran biometrik.
Bagaimanapun, kira-kira lima juta penduduk masih belum berbuat demikian.
Encik Teguh berkata usaha mendekati penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar akan terus dipertingkat bagi memastikan semua rakyat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ini menjadi tanggungjawab pejabat Dukcapil di seluruh daerah untuk terus turun padang dan memastikan tiada penduduk tercicir daripada sistem,” katanya.
Selain data utama penduduk, perangkaan terkini turut memperlihatkan beberapa fakta menarik mengenai masyarakat Indonesia.
Sebanyak 3.64 juta kelahiran direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2026, dengan Jawa Barat menyumbang jumlah kelahiran tertinggi iaitu 605,109 bayi.
Pangkalan data nasional turut merekodkan seorang penduduk berusia 118 tahun dan seorang lagi berusia 117 tahun, kedua-duanya berasal dari Madura, Jawa Timur.
Data itu turut menunjukkan pengaruh budaya popular terhadap pemilihan nama bayi, termasuk nama yang diinspirasikan daripada selebriti antarabangsa seperti Ariana, Selena dan Taylor, selain watak anime terkenal seperti Uzumaki, Nobita, Sasuke, Luffy dan Shinchan.
Keseluruhannya, data kependudukan terkini memperlihatkan Indonesia bukan sahaja terus berkembang dari segi jumlah penduduk, malah sedang memasuki fasa penting bonus demografi yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, dengan syarat peluang pendidikan, pekerjaan dan pembangunan modal insan dapat diperkukuh secara menyeluruh. – Agensi berita.
