Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganalisis: Lawatan Trump ke Timur Tengah ubah arah dasar luar AS

May 16, 2025 | 3:47 PM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, berjabat tangan semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Istana Diraja, Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, berjabat tangan semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Istana Diraja, Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei 2025. - Foto REUTERS

Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) digambarkan oleh para pengamat politik Timur Tengah sebagai langkah untuk menonjolkan dirinya sebagai “pemeterai perjanjian” yang ulung.

Dalam masa yang sama, Encik Trump telah mengubah semula landskap dasar luar Amerika Syarikat dengan mengalihkan fokus kepada pendekatan yang lebih transaksional.

Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Iseas–Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata:

“Trump lebih menekankan kepentingan ekonomi dan keuntungan segera, berbanding prinsip multilateralisme yang sebelum ini menjadi tonggak utama diplomasi Amerika.”

Antara detik paling signifikan sepanjang lawatan Encik Donald Trump dari 13 hingga 16 Mei ini ialah pertemuan bersejarah beliau dengan Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa di Riyadh. Dalam pertemuan itu, Trump mengumumkan pemansuhan sekatan terhadap Syria, satu keputusan mengejutkan yang memberi nafas baru kepada negara yang dilanda perang saudara sejak lebih sedekad lalu.

Menurut Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, keputusan Trump berhubung Syria bukan sahaja menandakan perubahan pendekatan terhadap Damsyik, malah mencerminkan gaya dasar luar Encik Trump yang kerap menggabungkan risiko politik dengan peluang strategik.

“Langkah membuka semula ruang kepada Syria jelas menunjukkan bahawa Trump melihat potensi geopolitik baru di rantau itu. Seperti biasa, beliau mengambil pendekatan transaksional yang meletakkan kesediaan untuk mengambil risiko tinggi demi mendapatkan pulangan politik dan ekonomi jangka pendek,” ujar Dr Oh.

Encik Trump juga dilihat telah mengalihkan dasar luar Amerika yang berorientasikan kepentingan domestik terutama untuk mengukuhkan ekonomi negara seperti yang digariskan dalam slogan Make America Great Again.

Antara kejayaan ekonomi yang diumumkan sepanjang lawatan ini termasuk pembelian pesawat Boeing bernilai berbilion dolar oleh Qatar, dan pakej senjata bernilai AS$142 bilion ($183 bilion) oleh Arab Saudi.

Dr Clemens Chay dari Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura, menyifatkan pendekatan Encik Trump sebagai berlandaskan realisme semata-mata. “Trump mahu menunjukkan hasil kepada rakyatnya. Jadi, dalam fikirannya, perjanjian ekonomi boleh diterima walaupun perlu mengorbankan konsistensi dasar keselamatan. Ia berbeza dengan pendekatan Biden yang lebih bersyarat dan mementingkan hak asasi,” katanya.

Sementara itu, Dr Mustafa Izzuddin dari Solaris Strategies Singapore memberi amaran bahawa dasar luar Trump kali ini menandakan usaha untuk melepaskan Amerika daripada sebarang komitmen konflik jangka panjang.

“Kita akan lihat Amerika semakin menjauhkan diri daripada konflik berlarutan seperti di Gaza, dan sebaliknya memberi fokus kepada diplomasi ekonomi agresif yang membawa manfaat domestik,” ujar Dr Mustafa.

Namun, hubungan Encik Trump dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kini dilihat semakin renggang. Walaupun dahulu akrab, beberapa langkah Encik Trump seperti rundingan dengan Hamas, gencatan senjata dengan Houthi tanpa penglibatan Israel, serta pemansuhan sekatan terhadap Syria dipercayai mencetuskan pergeseran. Ketidakhadiran Israel dalam jadual lawatannya turut menambah tanda tanya.

Menurut pengamatan Dr Oh, Presiden Trump dilaporkan mengadakan rundingan tertutup dengan pegawai Qatar dan Arab Saudi bagi mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. Usaha ini dipercayai dijalankan secara senyap dan tidak mendapat liputan meluas di media, mencerminkan kecenderungan Trump untuk mencari penyelesaian praktikal di sebalik tekanan politik dan sensitiviti serantau.

Lawatan Presiden Trump ke Timur Tengah mungkin tidak menghasilkan pelan damai menyeluruh atau penyelesaian mutlak terhadap konflik serantau, namun ia menyerlahkan perubahan ketara dalam orientasi dasar luar Amerika Syarikat.

“Trump bukan lagi sekadar mahu dilihat sebagai pendamai. Beliau mahu dikenang sebagai pemacu keuntungan dan pencetus perubahan strategik,” ujar Dr Mustafa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg