RIYADH: Dalam satu lawatan bersejarah ke Arab Saudi, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah membuat beberapa pengumuman yang berpotensi mengubah landskap geopolitik Asia Barat, termasuk menggugurkan semua sekatan terhadap Syria dan memeterai perjanjian ketenteraan terbesar dalam sejarah Amerika bernilai AS$142 bilion ($184 bilion) dengan kerajaan Arab Saudi.
Lawatan tersebut, yang turut disambut Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (MBS), menyaksikan Amerika mengukuhkan semula pengaruhnya di rantau Teluk melalui kombinasi pelaburan ekonomi berskala besar dan pengukuhan hubungan pertahanan strategik.
Ketika berucap dalam Forum Pelaburan Antarabangsa di Riyadh, Encik Trump mengumumkan bahawa beliau akan menggugurkan sekatan ke atas Syria yang sebelum ini dikenakan terhadap rejim mantan Presiden Bashar al-Assad.
Menurut beliau, tindakan itu bertujuan memberi peluang kepada Syria untuk mencapai semula kestabilan dan membina masa depan yang lebih cerah selepas lebih sedekad dilanda peperangan saudara dan sekatan ekonomi.
“Ini adalah masanya untuk mereka bersinar,” kata Encik Trump di hadapan para pelabur dan pemimpin dunia. “Kita akan gugurkan semua sekatan. Semoga berjaya Syria... tunjukkan sesuatu yang luar biasa kepada kami.”
Encik Trump menegaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas rundingan bersama MBS dan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang kedua-duanya menyuarakan keperluan untuk membantu Syria kembali pulih dan memulakan proses pembinaan semula.
Sumber diplomatik mengesahkan bahawa Encik Trump dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, seorang bekas komander kumpulan Al-Qaeda yang kini mengetuai kerajaan pasca-Assad dalam satu pertemuan penting di Riyadh. Dua pegawai kanan dari pejabat Presiden Syria memaklumkan bahawa pertemuan itu telah berlangsung pada pagi 13 Mei.
Langkah Encik Trump menggugurkan sekatan disambut baik oleh pelbagai pihak di Timur Tengah.
Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shibani, menyifatkan tindakan itu sebagai “titik perubahan” dalam sejarah Syria. Dalam kenyataannya kepada Reuters, beliau berkata: “Kami bersedia untuk membina hubungan dengan Amerika yang berasaskan saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama. Presiden Trump kini berpeluang mencapai perjanjian damai yang akan menguntungkan kedua-dua negara.”
Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, turut menyatakan sokongan terhadap langkah berani Encik Trump, menyifatkannya sebagai peluang besar untuk Syria kembali kepada kestabilan dan kedudukan serantau.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyambut baik keputusan itu. Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, menyatakan bahawa pengguguran sekatan akan membantu usaha pembinaan semula negara itu serta mempercepatkan pemulihan rakyat Syria yang telah lama menderita akibat konflik.
“Sudah terlalu lama rakyat Syria terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan kehancuran. Pembatalan sekatan ini merupakan langkah penting ke arah pemulihan yang bermakna,” ujar Encik Dujarric.
Dalam lawatan sama, Amerika dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan yang bernilai hampir AS$142 bilion yang digambarkan oleh Rumah Putih sebagai “perjanjian kerjasama pertahanan terbesar dalam sejarah Amerika”.
Perjanjian itu melibatkan pelbagai syarikat pertahanan Amerika dalam bidang termasuk pertahanan udara dan peluru berpandu, teknologi ruang angkasa, keselamatan maritim dan sistem komunikasi.
Menurut dokumen rasmi Rumah Putih: “Pakej yang ditandatangani ini membuktikan komitmen kukuh kami untuk memperkukuh perkongsian strategik dan keselamatan dengan Arab Saudi.”
Rekod terdahulu menunjukkan bahawa Arab Saudi adalah antara pelanggan utama industri ketenteraan Amerika, dengan nilai pembelian ketenteraan mencecah AS$129 bilion setakat tahun lalu.
Lawatan Encik Trump turut membuka laluan kepada gelombang pelaburan korporat Amerika ke Arab Saudi. Gergasi teknologi seperti Google, Oracle, AMD dan Uber mengumumkan pelaburan berjumlah AS$80 bilion dalam pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar pintar.
Beberapa syarikat Amerika turut mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak AS$2 bilion untuk projek mega di negara itu termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman, Taman Raja Salman dan projek hiburan mega Bandar Qiddiya.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Amerika dan Arab Saudi mencecah AS$25.9 bilion, dengan Amerika merekodkan lebihan dagangan sebanyak AS$443 juta, menjadikan Arab Saudi antara rakan dagang utama Washington di rantau ini.
Dalam ucapannya, Encik Trump turut menyampaikan mesej tegas kepada Iran, menyatakan bahawa Washington masih terbuka untuk mencapai perjanjian baru bagi menghadkan program pengayaan uranium Teheran.
Beliau memberi amaran: “Rundingan ini tidak akan berlangsung selama-lamanya. Jika Iran enggan berunding, tekanan maksimum akan diteruskan.”
Sementara itu, satu kontroversi tercetus apabila Qatar menawarkan sebuah pesawat mewah untuk kegunaan Jabatan Pertahanan Amerika sebagai pengganti sementara kepada Air Force One yang sudah usang. Tawaran itu mencetuskan kebimbangan perundangan, dengan Senator Demokrat, Chuck Schumer, memberi amaran bahawa hadiah tersebut mungkin melanggar perlembagaan Amerika yang melarang penerimaan hadiah dari kerajaan asing tanpa kelulusan Kongres.
Encik Trump dijadual meneruskan lawatannya ke Qatar pada malam 14 Mei, sebelum mengakhiri siri jelajah Teluknya di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 15 Mei.
Lawatan ini dilihat sebagai usaha pentadbiran Encik Trump untuk mengukuhkan kedudukan strategik Amerika di Asia Barat melalui gabungan kekuatan diplomasi, pertahanan dan pelaburan.
“Kami datang bukan hanya untuk berbicara. Kami datang untuk membina masa depan bersama sekutu kami,” kata Encik Trump. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg