Presiden Prabowo Subianto tidak menghadiri satu acara penting anjuran Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada akhir Julai.

Ini merupakan kali kedua beliau tidak menghadiri acara utama pertubuhan tersebut.

Beliau juga tidak hadir pada muktamar MUI pada 2025 iaitu pertemuan bagi memilih barisan pemimpin tertingginya.

Ketidakhadiran Encik Prabowo pada Kongres Umat Islam Indonesia (KUII) kelapan tidak bermakna beliau memutuskan hubungan dengan MUI.

Ini kerana pertubuhan itu masih mempunyai pengaruh terhadap pengundi, terutama ketika populariti Presiden sedang merosot.

Namun, pendekatan Encik Prabowo memberi isyarat kepada MUI bahawa pertubuhan itu kini sekadar salah satu daripada banyak pemain dalam landskap Islam Indonesia.

KUII, yang pertama kali diadakan pada 1920-an ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda, dihadiri wakil daripada 87 pertubuhan Islam, pegawai kanan pemerintah, ahli politik dan ahli akademik.

MUI pula ditubuhkan oleh Presiden Suharto pada 1975 sebagai sebuah institusi payung Islam yang menghimpunkan ulama terkemuka daripada pelbagai pertubuhan Islam.

Anggotanya termasuk tokoh Nahdlatul Ulama (NU), Muhammadiyah dan pertubuhan Islam lain yang lebih kecil.

Encik Prabowo diundang untuk merasmikan kongres itu tetapi tidak hadir.

Ketidakhadirannya mencetuskan spekulasi bahawa beliau sedang mengetepikan MUI, terutama kerana sehari sebelumnya beliau menghadiri sambutan ulang tahun ke-28 Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), parti politik Islam terbesar yang mempunyai kaitan dengan NU.

Presiden atau Naib Presiden Indonesia sebelum ini pernah merasmikan KUII.

Mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), membuka KUII IV pada 2005 dan KUII V pada 2010; manakala mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menutup KUII VI pada 2015.

Mantan Naib Presiden Ma’ruf Amin, yang mempunyai latar belakang MUI, pula membuka KUII VII pada 2020.

Ketidakhadiran Encik Prabowo pada acara terbesar MUI itu ketara walaupun beberapa anggota Kabinet hadir.

Ketua Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa MUI, Encik Fahmi Salim, melahirkan rasa kesal dan menyuarakan kemungkinan Encik Prabowo mungkin kurang senang dengan kritikan MUI terhadap beliau baru-baru ini, termasuk cadangannya membawa rakyat Gaza yang cedera ke Indonesia.

KUII turut mengundang beberapa pengkritik pemerintah, termasuk mantan Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla; mantan Ketua Mahkamah Perlembagaan dan calon Naib Presiden, Encik Mahfud MD; serta pakar undang-undang, Encik Zainal Arifin Mochtar.

Ini menguatkan spekulasi bahawa Presiden sengaja mengelak daripada menghadiri acara MUI.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi MUI, Encik Cholil Nafis, berkata Presiden “mungkin mempunyai urusan lebih penting”.

Hubungan antara MUI dengan Presiden boleh dikatakan tidak berada pada tahap terbaik sejak kebelakangan ini.

MUI merupakan antara pengkritik paling lantang berhubung berhubung keputusan Presiden Prabowo menyertai Lembaga Keamanan pimpinan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi Gaza.

MUI berpendapat badan itu hanya akan memenuhi kepentingan Amerika dan Israel, bukan kepentingan rakyat Palestin.

Satu lagi petunjuk bahawa Encik Prabowo mungkin mengetepikan MUI ialah ketiadaan pemimpin pertubuhan itu dalam Kabinet, berbeza dengan tokoh yang mempunyai hubungan dengan NU dan Muhammadiyah.

Selain memberikan jawatan Kabinet, Encik Prabowo turut mengekalkan konsesi perlombongan yang diberikan kepada kedua-dua pertubuhan tersebut.

Pendekatan itu berbeza dengan tempoh antara 2014 dengan 2019 apabila Encik Prabowo mendekati kumpulan Islam berhaluan tegar seperti Barisan Pembela Islam (FPI) dan kumpulan Salafi dalam usaha melemahkan kedudukan Encik Jokowi.

Beliau ketika itu turut menyokong pendirian MUI terhadap Gabenor Jakarta, Encik Basuki ‘Ahok’ Tjahaja Purnama, mantan ahli politik Gerindra yang dituduh menghina Al-Quran.

Ketidakhadiran Encik Prabowo pada KUII memberi isyarat kepada MUI bahawa pertubuhan itu bukan keutamaan beliau, bertentangan dengan kedudukan yang diinginkan MUI.

Perkembangan terkini itu menjadi kemunduran kepada usaha MUI untuk mengukuhkan semula kedudukannya dalam masyarakat sivil Indonesia yang majmuk dan berpecah kepada pelbagai kelompok.

Walaupun memperoleh sedikit pengaruh di bawah pemerintahan SBY dan Encik Jokowi, MUI secara umum berada di pinggiran landskap Islam Indonesia.

Ketika ditubuhkan pada 1975, ia secara meluas dianggap masyarakat sebagai alat pemerintahan Orde Baru Suharto.

Di bawah SBY dan Jokowi, MUI boleh dikatakan mempunyai pengaruh tertentu terhadap pemerintah.

Walaupun fatwanya tidak mempunyai kuasa undang-undang, fatwa kontroversi pada 2005 yang menolak sekularisme, pluralisme dan liberalisme Islam, atau SIPILIS, serta pengukuhan semula fatwa terhadap masyarakat minoriti Syiah dan Ahmadiyah, mencetuskan perdebatan awam dan mendorong pemerintah memberi respons.

Pada 2019, Encik Jokowi memilih Pengerusi MUI ketika itu, Encik Ma’ruf Amin, sebagai calon Naib Presiden.

Encik Ma’ruf merupakan tokoh agama berpengaruh yang menyokong gerakan sosial dan undang-undang terhadap Ahok berhubung kenyataannya yang dianggap menghina agama.

Sokongan MUI membantu Encik Jokowi memperoleh penggal kedua dengan melindungi beliau daripada serangan kelompok keislaman yang ketika itu mempunyai hubungan politik dengan Encik Prabowo.

Dalam KUII terbaru, MUI mengemukakan 12 saranan untuk dipertimbangkan pemerintah.

Antaranya ialah usulan menggubal undang-undang khas bagi mewujudkan Danantara Syariah, iaitu dana kekayaan negara yang mematuhi prinsip syariah, untuk meningkatkan daya saing ekonomi masyarakat Islam.

MUI turut mencadangkan larangan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’ (LGBTQ) atau kegiatan berkaitan kumpulan tersebut, serta langkah menangani kesan buruk teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sebahagian saranan, termasuk Danantara Syariah dan AI, mungkin dipertimbangkan pemerintah sekiranya mendapat sokongan awam yang besar dan dapat mengukuhkan kedudukan ekonomi, kewangan serta politik pemerintah.

Bagaimanapun, pendirian pemerintah terhadap cadangan itu tidak mungkin ditentukan semata-mata oleh keputusan atau pandangan MUI.

Ketidakhadiran Encik Prabowo pada KUII memberi isyarat MUI bukan keutamaannya, bertentangan dengan kedudukan yang ingin dicapai pertubuhan itu.

Pendirian tersebut selaras dengan ketidakhadiran beliau pada Muktamar MUI 2025 (MUNAS XI), yang lebih penting daripada KUII kerana muktamar itu memilih lembaga pengurusan dan pengerusi pertubuhan tersebut.

Pelantikan Encik Ma’ruf Amin sebagai Naib Presiden di bawah Encik Jokowi pada 2019 boleh dianggap sebagai kemuncak pengaruh MUI.

Kini, MUI boleh dikatakan sedang menuju ke arah kemerosotan atau kembali kepada kedudukan ‘sekunder’ seperti pada era Orde Baru.

Peranannya dalam proses pensijilan halal juga semakin kecil selepas pemerintah mengukuhkan peranan negara dalam bahagian pelesenan dan kawal selia yang menguntungkan dalam proses tersebut.

Keadaan itu menambah cabaran kepada kedudukan MUI dalam ruang awam masyarakat Islam, terutama apabila pemimpinnya tidak diberikan jawatan penting dalam pemerintahan.

Walaupun begitu, Encik Prabowo tidak mungkin mengetepikan MUI sepenuhnya, terutama ketika kadar sokongan terhadap beliau merosot daripada 81 peratus pada November 2025 lalu kepada 51 peratus pada Julai 2026.

Presiden Prabowo Subianto semasa majlis pelantikan kepimpinan Majlis Ulama Indonesia (MUI), di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada 7 Februari.
Presiden Prabowo Subianto semasa majlis pelantikan kepimpinan Majlis Ulama Indonesia (MUI), di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada 7 Februari. - Foto TIM MEDIA PRESIDEN PRABOWO SUBIANTO

Pada Februari, Encik Prabowo menghadiri pelantikan Majlis Pimpinan MUI.

Presiden turut meluluskan pembinaan sebuah kompleks 40 tingkat di kawasan strategik berhampiran Bundaran Hotel Indonesia di Jakarta untuk menempatkan ibu pejabat MUI, dengan syarat ruang itu turut dikongsi dengan institusi agama dan pertubuhan masyarakat lain.

Pemerintah dijangka terus berhubung dengan MUI dengan menghantar wakil pemerintah dan menteri menghadiri acaranya.

Namun, kedudukan MUI mungkin kekal di bawah NU dan Muhammadiyah kerana kedua-dua pertubuhan itu mempunyai keanggotaan akar umbi yang besar dan mampu diterjemahkan kepada kekuatan pengundi yang berpengaruh.

Dr Norshahril Saat ialah Zamil Utama dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas–Institut Yusof Ishak. Dr Ary Hermawan ialah Zamil Pelawat di Iseas–Institut Yusof Ishak dan Pengarah Bersekutu Pusat Undang-Undang, Islam dan Masyarakat Indonesia (CILIS) di Universiti Melbourne. Rencana ini kali pertama disiarkan pada 17 Ogos 2026 di laman web, Fulcrum.sg, yang diterbitkan Iseas–Institut Yusof Ishak.