JAKARTA: Polis Indonesia telah menahan pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemula teknologi akuakultur eFishery, Encik Gibran Huzaifah, berikutan pengakuannya memalsukan maklumat kewangan syarikat tersebut yang pernah bernilai hampir AS$1 bilion ($1.29 bilion).
Menurut Pengarah Jenayah Ekonomi Khas di Badan Siasatan Jenayah Polis Kebangsaan, Brigedier Jeneral (BG) Helfi Assegaf, penahanan itu turut melibatkan dua lagi bekas eksekutif kanan eFishery, Encik Angga Hadrian Raditya dan Encik Andri Yadi.
“Gibran telah berada dalam tahanan sejak Khamis, 31 Julai,” kata BG Helfi dalam kenyataan ringkas yang dihantar melalui mesej teks kepada media.
Setakat ini, tiada pertuduhan rasmi difailkan terhadap ketiga-tiga individu terbabit, namun mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Skandal itu timbul selepas Encik Gibran secara terbuka mengakui kepada, Bloomberg News, bahawa beliau telah memalsukan akaun syarikat untuk memberi gambaran palsu tentang prestasi kewangan eFishery.
“Apabila anda melihat diri anda di cermin dan sedar anda telah melakukan kesalahan, anda tahu anda tidak berbangga dengan diri sendiri,” kata Encik Gibran dalam satu perbualan selama lima jam yang mendedahkan bagaimana skandal itu tercetus.
“Saya fikir saya hanya akan melakukannya untuk teruskan kelangsungan hidup.”
Berdasarkan siasatan dalaman syarikat, eFishery sebelum ini melaporkan pendapatan sebanyak AS$752 juta bagi sembilan bulan pertama 2024.
Namun, jumlah sebenar hanya sekitar AS$157 juta – peningkatan palsu lebih AS$600 juta.
Skim penipuan itu turut melibatkan pembentukan syarikat luar pesisir tanpa operasi sebenar di peringkat antarabangsa, serta pemalsuan penyata kewangan bagi menarik minat pelabur utama.
Antara pelabur utama eFishery ialah SoftBank Group dari Jepun; dan Temasek dari Singapura, dua gergasi pelaburan yang pernah menyuntik dana besar ke dalam syarikat yang beribu pejabat di Bandung itu.
Sejak skandal itu terbongkar, eFishery telah menghentikan operasi dan memberhentikan lebih sedozen pekerja.
“Kami tidak menjangka syarikat dengan reputasi seperti eFishery terlibat dalam penipuan sebesar ini. Ia memberi kesan buruk kepada ekosistem pelaburan syarikat pemula serantau,” kata seorang pelabur yang enggan dikenali.
Krisis bermula hujung 2024 apabila satu siasatan dalaman dilancarkan.
Ekoran itu, Encik Gibran dan Ketua Pegawai Produk syarikat, Encik Chrisna Aditya, meletakkan jawatan pada Disember 2024.
eFishery pernah menjadi lambang kejayaan inovasi tempatan yang berjaya menembusi pasaran sejagat.
Pada Februari 2025, syarikat FTI Consulting dilantik untuk mengambil alih pengurusan eFishery bagi memulihkan ketelusan dan tadbir urus korporat.
Setakat ini, wakil FTI Consulting masih belum memberikan sebarang komen kepada media.
Menurut pihak berkuasa, motif utama di sebalik pemalsuan tersebut adalah untuk menjadikan eFishery kelihatan lebih berjaya dan berpotensi tinggi justeru menarik lebih ramai pelabur.
“Ketiga-tiga bekas eksekutif dipercayai telah menaikkan angka pendapatan syarikat selama beberapa tahun,” kata BG Helfi.
“Ia satu usaha sistematik untuk menipu pelabur dan meningkatkan nilai syarikat secara tidak sah.”
Walaupun kesemua individu masih belum dinamakan sebagai suspek rasmi, tindakan penahanan itu menandakan siasatan telah memasuki fasa kritikal. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg