JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah mengesahkan bahawa pembayaran Tunjangan Hari Raya (THR) atau bonus Aidilfitri dan gaji ke-13 bagi penjawat awam akan tetap diteruskan, meskipun negara kini melaksanakan dasar penjimatan belanjawan.
Pembayaran THR mula disalurkan bermula 17 Mac, kepada kira-kira 9.4 juta penerima, termasuk penjawat awam, anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polisi Republik Indonesia (Polri), hakim, pegawai negara serta pesara.
Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hasan Nasbi, menegaskan bahawa pembayaran itu adalah hak penjawat awam yang perlu pemerintah tunaikan.
“THR dan gaji ke-13 adalah hak penjawat awam. Dasar penjimatan tidak bermakna pemerintah akan memotong elaun mereka,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Penjelasan itu dibuat bagi menepis spekulasi bahawa bayaran tersebut akan ditangguhkan susulan surat edaran daripada Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, yang menekankan penjimatan belanjawan negara dan daerah.
Cik Sri Mulyani sebelum ini memberi jaminan bahawa pembayaran tetap akan diteruskan, walaupun belanjawan negara dikurangkan sebanyak 306.69 trilion rupiah ($25.04 bilion) pada 2025.
“Tunggu sahaja, kami sedang memproses pembayaran,” ujarnya di Jakarta.
Peraturan Pemerintah No. 11 Tahun 2025 yang ditandatangani Presiden Prabowo Subianto pada 7 Mac, menetapkan bahawa bayaran THR dan gaji ke-13 akan disalurkan daripada dua sumber utama iaitu Belanjawan Negara (APBN) dan Belanjawan Daerah (APBD).
Pembayaran THR dan gaji ke-13 yang dibiayai oleh APBN melibatkan penjawat awam di kementerian pusat, anggota TNI, Polri dan pegawai awam lain.
Manakala bagi penjawat awam di peringkat daerah, pembayaran akan dibuat melalui APBD, dengan mempertimbangkan kemampuan fiskal wilayah masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan, Encik Suahasil Nazara, berkata bahawa Kementerian Kewangan telah memperuntukkan 49.4 trilion rupiah untuk pembayaran THR 2025.
Ini termasuk 17.7 trilion rupiah untuk 2 juta penjawat awam pusat TNI dan Polri, serta 12.4 trilion rupiah untuk pesara pusat.
Tambahan 19.3 trilion rupiah diperuntukkan untuk penjawat awam di peringkat daerah.
“Segala keperluan bagi pembayaran telah diselesaikan. Dari APBD juga, elaun penambah pendapatan turut disediakan sekitar 16.5 trilion rupiah,” jelas Encik Suahasil dalam satu sidang media.
Beliau menambah bahawa garis panduan untuk pembayaran melalui APBN telah ditetapkan melalui Peraturan Menteri Kewangan, manakala APBD dikendalikan menerusi Peraturan Ketua Daerah agar pembayaran dapat dilaksanakan segera oleh semua kementerian dan institusi.
“Kami ingin yakinkan semua penjawat awam bahawa mereka tidak akan terkesan oleh dasar penjimatan ini. Hak mereka tetap akan dipenuhi,” tegas Encik Hasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg