Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo arah syarikat e-hailing beri bonus raya kepada pemandu

Mar 10, 2025 | 6:56 PM
Terdapat kira-kira 250,000 pemandu dan penghantar dalam talian yang aktif, serta sehingga 1.5 juta lagi yang bekerja secara sambilan.
Terdapat kira-kira 250,000 pemandu dan penghantar dalam talian yang aktif, serta sehingga 1.5 juta lagi yang bekerja secara sambilan. - Foto Fail

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah mengarahkan syarikat-syarikat perkhidmatan e-hailing seperti GoTo Group dan Grab Holdings untuk memberi bonus khas sempena cuti perayaan kepada para pemandu mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Presiden Prabowo mengumumkan keputusan itu pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif GoTo, Patrick Walujo, dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan di Jakarta pada 10 Mac lalu.

Menurut beliau, jumlah bonus ini akan dikira berdasarkan tahap aktiviti kerja setiap pemandu. Butiran lanjut mengenai mekanisme pengiraan bonus akan dibincangkan secara terperinci antara syarikat-syarikat terbabit dengan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

“Terdapat kira-kira 250,000 pemandu dan penghantar barang dalam talian yang aktif sepenuh masa, serta sekitar 1.5 juta lagi yang bekerja secara sambilan,” jelas Encik Prabowo.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan memastikan para pemandu dan pekerja penghantaran dalam talian dapat menikmati sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa dan menggembirakan.

“Melalui dasar ini, pemandu dan penghantar dalam talian boleh menyambut Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman dalam keadaan yang baik dan lebih tenang,” tambah beliau.

Encik Prabowo turut menetapkan bahawa semua syarikat swasta dan syarikat milik pemerintah (BUMN) perlu membayar bonus cuti ini sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum cuti Aidilfitri yang dijangka disambut pada 31 Mac ini.

Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada beberapa langkah populis yang diambil Encik Prabowo sejak kebelakangan ini dalam usaha merangsang ekonomi domestik. Antara langkah lain termasuklah menaikkan gaji minimum melebihi jangkaan sebelum ini serta menangguhkan kenaikan cukai nilai tambah (VAT).

Beliau berharap langkah-langkah ini dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna yang kini dilihat semakin lemah. Perbelanjaan pengguna merupakan komponen penting dalam ekonomi Indonesia, menyumbang lebih daripada separuh keluaran domestik negara.

“Pengguna domestik yang lemah adalah cabaran besar yang perlu kita atasi untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus sepanjang penggal pentadbiran saya, meningkat daripada 5 peratus ketika ini,” jelas beliau lagi.

Menurut Presiden Prabowo, beliau yakin dasar baru ini dapat membantu meningkatkan daya beli rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

“Langkah ini bukan sekadar kebajikan sosial tetapi pelaburan dalam kesejahteraan rakyat yang akhirnya akan menguntungkan seluruh ekonomi negara,” kata beliau

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg