Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes mahasiswa tercetus selepas Parlimen Indonesia luluskan undang-undang tentera

Mar 21, 2025 | 10:56 AM
Para penunjuk perasaan bertempiaran lari apabila pihak polis Indonesia menyembur air bagi menyuraikan mereka dalam satu demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen di Jakarta pada 20 Mac. Protes itu tercetus sebagai membantah kelulusan pindaan terhadap Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada hari yang sama.
Para penunjuk perasaan bertempiaran lari apabila pihak polis Indonesia menyembur air bagi menyuraikan mereka dalam satu demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen di Jakarta pada 20 Mac. Protes itu tercetus sebagai membantah kelulusan pindaan terhadap Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada hari yang sama. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Gelombang protes besar-besaran tercetus di beberapa bandar utama susulan keputusan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada 20 Mac yang meluluskan pindaan kontroversi terhadap Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI).”

Para pengkritik memberi amaran bahawa langkah ini berisiko membawa negara kembali ke era autoritarian Orde Baru di bawah pemerintahan Presiden Suharto dahulu.

Pindaan ini memberi kuasa kepada anggota tentera aktif untuk menyertai jawatan dalam institusi awam tanpa perlu bersara lebih awal. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa sempadan antara bidang ketenteraan dan awam bakal terhapus, sekali gus menghakis prinsip demokrasi dan penguasaan awam ke atas angkatan tentera.

Mesyuarat pleno DPR pada pagi 20 Mac menyaksikan sokongan sebulat suara terhadap pindaan tersebut, termasuk daripada parti-parti yang menyokong Presiden Prabowo Subianto. Malah, Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) yang dianggap sebagai satu-satunya parti pembangkang secara de facto turut menyokong pindaan itu.

“Kami bersama pemerintah menegaskan bahawa pindaan ini tetap berasaskan prinsip demokrasi, kedaulatan awam dan hak asasi manusia,” kata Cik Puan Maharani, Speaker Dewan yang juga dari PDI-P.

Undang-undang baru ini menggantikan akta asal tahun 2004 yang digubal selepas kejatuhan Suharto pada 1998 – satu langkah penting yang membataskan peranan TNI dalam urusan awam selepas puluhan tahun terlibat secara langsung.

Pindaan terkini menaikkan jumlah institusi negara yang boleh disertai pegawai TNI daripada 10 kepada 14, dan turut meluaskan operasi bukan tempur TNI serta menaikkan umur persaraan anggota.

Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, mempertahankan pindaan itu dengan menyatakan ia penting bagi membolehkan ketenteraan menangani perubahan geopolitik dan cabaran keselamatan moden.

“Indonesia memerlukan strategi pertahanan yang realistik agar dapat bertahan dalam menghadapi konflik konvensional dan tidak konvensional,” katanya. “Kami tidak akan mengecewakan rakyat Indonesia dalam menjaga kedaulatan negara.”

Beberapa jam sebelum undang-undang diluluskan, ratusan mahasiswa telah berkumpul di pintu belakang kompleks parlimen Senayan sebagai bantahan. Menjelang petang, jumlah peserta protes meningkat kepada ratusan, dengan sepanduk seperti “Batalkan Undang-Undang TNI!”, “Kembalikan Tentera ke Barak!” dan “Pertahankan Kuasa Awam!”, lapor The Jakarta Post.

Protes ini dianjurkan oleh Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) yang mewakili pelajar dari seluruh negara. Mereka menuntut pembatalan pindaan dan pemisahan mutlak TNI daripada bidang awam.

“Kami akan terus turun ke jalan sehingga tuntutan rakyat didengar dan dihormati,” tegas Encik Rasyid, penyelaras BEM dari Universiti Gadjah Mada.
Ketegangan meningkat apabila segelintir peserta protes membakar tayar dan cuba merempuh pagar DPR yang dikunci. Sebuah pos keselamatan turut dirosakkan.

Lebih 5,000 anggota polis dan tentera, termasuk kenderaan perisai dan meriam air, telah dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Selain Jakarta, protes turut meletus di Yogyakarta, Surabaya, Makassar dan Surakarta. Mahasiswa dan aktivis tempatan menyuarakan kebimbangan yang sama, iaitu penolakan terhadap “militerisme baru” di bawah pentadbiran Presiden Prabowo, bekas jeneral yang kini dilihat memperluas pengaruh tentera dalam pelbagai program pemerintah.

Pindaan ini turut dikritik kerana digubal secara tergesa-gesa dan tidak telus. Perbincangan akhir antara ahli parlimen dan wakil pemerintah dikatakan berlangsung secara tertutup di sebuah hotel mewah di Jakarta, mencetuskan kemarahan masyarakat sivil.

“Ironik apabila pada tahun 2025, kita masih terpaksa menuntut ruang penyertaan awam dalam proses penggubalan dasar,” kata Cik Titi Anggraini, pakar undang-undang dari Universiti Indonesia.
“Ini bukan sekadar soal undang-undang. Ini soal demokrasi dan masa depan kedaulatan awam. Sekarang, suara rakyat seperti diketepikan,” tambahnya lagi.

Pindaan ini diluluskan hanya sebulan selepas Presiden Prabowo menghantar surat rasmi kepada parlimen bagi mempercepatkan perbincangan undang-undang tersebut. Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menyifatkan langkah ini sebagai “kemunduran besar terhadap prinsip hak asasi manusia”.

“Presiden Prabowo seolah-olah bertekad mengembalikan peranan TNI dalam pentadbiran awam – sesuatu yang sebelum ini terkenal dengan penyalahgunaan kuasa dan kekebalan undang-undang,” kata Encik Andreas Harsono, penyelidik kanan HRW.
“Tindakan terburu-buru kerajaan ini bertentangan dengan komitmen mereka terhadap kebertanggungjawaban dan hak asasi manusia,” tegasnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg