Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Belia tidak puas hati, Prabowo wajar beri perhatian

Mar 10, 2025 | 5:30 AM
Pelajar dan aktivis menghadiri perhimpunan, ‘Indonesia Gelap’, di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Timur di Surabaya pada 21 Februari, bagi membantah pemotongan belanjawan Presiden Prabowo Subianto.
Pelajar dan aktivis menghadiri perhimpunan, ‘Indonesia Gelap’, di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Timur di Surabaya pada 21 Februari, bagi membantah pemotongan belanjawan Presiden Prabowo Subianto. - Foto AFP

Dua perkembangan baru-baru ini di Indonesia menunjukkan bahawa belia negara itu tidak berpuas hati mengenai keadaan negara mereka, hingga ada yang mempertimbangkan meninggalkan negara tersebut.

Kebimbangan mereka wajar diberi perhatian dan pemerintah pimpinan Presiden Prabowo Subianto, mengambil tindakan.

Baru-baru ini, mahasiswa Indonesia mengadakan demonstrasi serentak di beberapa bandar di seluruh negara, menggelarkan gerakan itu sebagai “Indonesia Gelap” (#IndonesiaGelap).

Dua demonstrasi diadakan sejauh ini – pada 17 dan 21 Februari 2025 – dan golongan elit Indonesia menjangka lebih banyak bantahan diadakan.

Penunjuk perasaan mengkritik tempoh 100 hari pertama Encik Prabowo sebagai presiden.

Kebanyakan mereka tidak berpuas hati mengenai Arahan Presiden (Inpres) Nombor 1/2025, yang mengurangkan belanjawan dan menjejas pendidikan, kesihatan, perkhidmatan awam, serta usaha mengurangkan kemiskinan.

Bagaimanapun, satu gerakan digital selari sedang trending dalam kalangan belia, yang disatukan oleh tanda pagar #KaburAjaDulu (#LariDulu).

Sejajar dengan gerakan #IndonesiaGelap, #KaburAjaDulu adalah satu ekspresi awam dalam talian melahirkan kekecewaan dan kemarahan disebabkan keadaan politik dan ekonomi yang tidak menentu serta dasar pemerintah yang tidak memuaskan.

Mesej tersirat dalam gerakan itu ialah belia negara itu harus menimbangkan keputusan untuk berhijrah.

Walaupun Encik Prabowo sedang menikmati kadar sokongan tinggi 81 peratus secara keseluruhan, sokongan itu tidak meluas sama rata merentasi semua peringkat masyarakat.

Golongan berpendidikan tinggi mencatat kadar tidak puas hati yang lebih tinggi berbanding golongan berpendidikan menengah atau lebih rendah.

Adalah kurang bijak jika Encik Prabowo mengetepikan sahaja luahan ketidakpuasan belia dalam talian dan luar talian itu kerana bantahan tersebut boleh meningkat dan mendapat sokongan daripada segmen lain penduduk.

Mereka akan membentuk sebahagian besar pengundi Indonesia dan ini adalah penting memandangkan Encik Prabowo telah mengisytiharkan hasratnya bertanding bagi penggal kedua.

Keadaan tidak puas hati dalam kalangan belia Indonesia mengesahkan dapatan satu tinjauan awal sebelum ini oleh Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau (RSCS) di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak bahawa belia Indonesia cenderung menjadi kelompok paling pesimis di Asia Tenggara.

Tinjauan tersebut menunjukkan mereka kecewa mengenai keadaan sosioekonomi dan politik negara itu yang tidak memuaskan.

Walaupun dasar populis Encik Prabowo membantu kanak-kanak dengan memberi makanan percuma berpotensi menjadikannya antara pemimpin paling popular jika dilaksanakan dengan baik, beliau perlu menangani ketidakpuasan hati belia awal bagi mengelakkan berulangnya gerakan reformasi pada 1998 yang menumbangkan rejim Orde Baru kuku besi, Encik Suharto.

Rampasan kuasa atau bantahan besar-besaran serupa yang berlaku pada 1998 itu mungkin tidak masuk akal, tetapi dengan budaya media sosial dan tanda pagar hari ini – yang tidak wujud pada era Orde Baru – mahasiswa boleh menganjurkan gerakan massa lebih cepat dan dalam skala lebih besar.

Tinjauan Iseas itu melibatkan 3,081 mahasiswa dari enam negara Asia Tenggara.

Responden berusia antara 18 dengan 24 tahun, 48.1 peratus lelaki dan 51.9 peratus wanita.

Indonesia salah satu dari enam negara yang dikaji, selain Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Salah satu bidang yang dikaji dalam tinjauan itu ialah paras puas hati belia terhadap sistem politik dan prospek ekonomi negara masing-masing.

Dalam aspek ini, belia Indonesia paling pesimis. Mereka menunjukkan paras ketidakpuasan hati paling tinggi terhadap sistem politik mereka berbanding rakan sebaya mereka di negara Asia Tenggara yang lain.

Sebanyak 71.5 peratus responden menyatakan rasa tidak puas hati, dengan hanya 27.0 peratus menyatakan mereka berpuas hati.

Tinjauan Iseas itu turut mendapati 63.9 peratus belia Indonesia menyokong mengenakan cukai ke atas golongan kaya bagi membantu golongan kurang bernasib baik – tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Kesukaran ekonomi faktor penting yang membentuk pesimisme.

Tinjauan itu menunjukkan 37.8 peratus daripada belia Indonesia bertanggapan ekonomi negara mereka dalam keadaan “buruk”, dan hanya 2.6 peratus percaya ia “sangat baik”.

Selain itu, hanya 62.6 peratus responden di Indonesia yakin akan prospek ekonomi negara mereka dalam tempoh lima tahun akan datang – jauh lebih rendah daripada Vietnam (88.1 peratus); dan Malaysia (84.1 peratus); mencerminkan tahap optimisme lebih rendah dalam kalangan belia Indonesia berbanding rakan serantau mereka.

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa tanggapan ketaksamaan pendapatan memburukkan rungutan ekonomi.

Sebanyak 67.3 peratus belia Indonesia menganggap pengagihan pendapatan negara mereka “sangat tidak adil” atau “tidak adil” – kadar tertinggi di rantau ini.

Sebagai perbandingan, belia Vietnam dan Singapura melaporkan paras tidak puas hati jauh lebih rendah, pada 18.3 peratus dan 30.6 peratus.

Tanggapan bahawa kekayaan dan peluang hanya tertumpu dalam kalangan elit menyebabkan kepercayaan yang semakin meningkat bahawa kejayaan tidak dapat dicapai oleh rakyat biasa, sekali gus mengukuhkan pesimisme mereka mengenai sistem ekonomi dan politik.

Meskipun bantahan fizikal baru-baru ini adalah penting, pemerintah tidak boleh mengambil ringan gerakan bantahan digital belia #KaburAjaDulu, apatah lagi kerana ia sejajar dengan pesimisme mereka yang semakin meningkat yang ditunjukkan tinjauan itu.

Golongan muda Indonesia semakin lantang menyuarakan pandangan mengenai kesukaran mereka dek isu pengangguran, mobiliti sosial terhad, serta tekanan masyarakat untuk mencapai kejayaan dengan cepat.

Pada 2024, pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun pmerupakan penyumbang terbesar kepada kadar pengangguran nasional, mencecah 16.4 peratus.

Kadar pengangguran belia yang tinggi dan kesukaran mendapatkan pekerjaan menyumbang kepada rasa putus rasa, menyebabkan sebahagian mereka menimbangkan untuk berhijrah.

Indonesia tidak mampu menanggung penghijrahan cerdik pandai (brain drain) sedang ia berusaha menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2045.

Malangnya, sebahagian penggubal dasar di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan menteri mengetepikan kebimbangan belia sebagai ekspresi emosi seketika dan satu bentuk eskapisme.

Mereka memainkan sentimen nasionalisme dan menekankan bahawa pembangunan negara adalah tanggungjawab bersama semua warganegara, termasuk belia.

Namun, hujah itu tidak akan diterima oleh belia sekiranya pemerintah gagal menunjukkan bukti konkrit mengenai penambahbaikan dalam keadaan sosioekonomi dan politik negara itu.

Meskipun budaya bantahan satu kebiasaan di Indonesia, ia juga mencerminkan hasrat golongan muda menyuarakan pandangan mereka tanpa melalui wakil politik atau badan perundangan.

Pentadbiran Encik Prabowo perlu mendengar aspirasi belia sekiranya beliau mahu mengekalkan keabsahan politiknya, menjalankan pemerintah dengan berkesan, dan mengelakkan kemerosotan kadar sokongan terhadapnya.

+ Iim Halimatusa’diyah adalah Zamil Pelawat dalam Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak, seorang Pensyarah Kanan di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, serta Timbalan Pengarah Penyelidikan di Pusat Kajian Islam dan Masyarakat (PPIM) UIN Jakarta.

+ Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak.

+ Artikel ini kali pertama terbit di laman ‘Fulcrum’ Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg