JAKARTA: Cadangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, untuk memperkenalkan subjek bahasa Perancis di sekolah-sekolah Indonesia mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik, pendidik dan ibu bapa mengenai hala tuju pendidikan negara itu pada masa depan.

Walaupun ada pihak mempersoalkan kesiapsiagaan sistem pendidikan Indonesia untuk menambah satu lagi bahasa asing dalam kurikulum, ramai juga melihat langkah tersebut sebagai peluang memperkukuh daya saing generasi muda Indonesia di peringkat global.

Encik Prabowo mengumumkan cadangan itu ketika lawatannya ke Perancis dan pertemuan bersama Presiden Emmanuel Macron di Istana Elysee, Paris, pada 28 Mei.

Menurut Encik Prabowo, hubungan Indonesia dengan Perancis kini berada pada tahap terbaik dan kerjasama pendidikan perlu diperkukuh sebagai persediaan menghadapi perubahan dunia masa depan.

“Saya sudah mengarahkan agar semua peringkat sekolah di Indonesia mempelajari bahasa Perancis, mengambil kira perkembangan global masa depan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di YouTube Sekretariat Presiden.

Sebelum ini, Encik Prabowo turut mencadangkan pengajaran bahasa Portugis di sekolah-sekolah Indonesia selepas pertemuannya dengan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, pada Oktober 2025.

Cadangan terbaru itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi.

Naib Pengerusi Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Lalu Hadrian Irfani, meminta Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan terperinci mengenai rancangan tersebut.

Menurut beliau, setiap dasar pendidikan perlu dirancang secara teliti dan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Sebelum ini isu bahasa Portugis juga pernah dibangkitkan tetapi sehingga kini belum ada peta jalan, peraturan atau kesiapsiagaan pelaksanaan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata dasar pendidikan perlu mengambil kira keperluan nasional termasuk kesiapsiagaan guru, kurikulum dan manfaat sebenar kepada pelajar.

Encik Lalu Hadrian turut mengingatkan supaya cadangan itu tidak dilihat sekadar sebahagian agenda diplomatik antarabangsa semata-mata.

“Kita perlu memastikan masyarakat melihat ini sebagai dasar pendidikan yang dirancang dengan baik dan bukan sekadar simbol hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyifatkan pengajaran bahasa Perancis boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sekiranya sistem pendidikan benar-benar bersedia.

Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pula memaklumkan bahawa arahan Presiden itu masih dalam peringkat penelitian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Encik Atip Latipulhayat, berkata kementerian akan mengkaji secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami akan mengkaji dan bertindak lanjut arahan Presiden,” katanya.

Dalam kalangan ibu bapa pula, ada yang melihat cadangan tersebut secara positif.

Seorang ibu kepada anak berusia 7 tahun dari Depok, Jawa Barat, dikenali sebagai Cik Anna, berkata penguasaan bahasa asing merupakan aset penting dalam dunia global hari ini.

“Belajar bahasa tambahan selain bahasa Inggeris lebih baik daripada tidak belajar langsung,” katanya kepada The Jakarta Post.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, penguasaan bahasa Perancis mungkin membantu meningkatkan daya saing rakyat Indonesia pada masa depan.

Beliau juga berharap pengajaran bahasa itu dapat disertai program biasiswa atau peluang bekerja di Perancis.

“Lebih baik jika pembelajaran bahasa itu turut disertai program khas untuk membantu rakyat Indonesia belajar atau bekerja di sana,” katanya.

Pandangan hampir sama disuarakan guru sekolah swasta di Jakarta Timur, Encik Arief Fadhillah.

Beliau berkata pengajaran bahasa Perancis mampu memperluas kemahiran pelajar selain membantu mengukuhkan hubungan dua hala Indonesia dan Perancis.

Namun beliau mengakui cabaran terbesar ialah kekurangan tenaga pengajar.

“Guru bahasa Perancis masih sangat terhad,” katanya.

Menurut Encik Arief, pendekatan lebih realistik adalah dengan menjadikan bahasa Perancis sebagai subjek elektif bergantung kepada kemampuan setiap sekolah.

Walaupun begitu, beberapa kumpulan pendidikan masih berhati-hati terhadap cadangan tersebut.

Koordinator Nasional Persatuan Pendidikan dan Guru (P2G), Encik Satriwan Salim, berkata pengurusan pendidikan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tanpa perancangan menyeluruh.

“Secara tiba-tiba semua sekolah diarahkan mengajar bahasa Perancis dan ini membuatkan guru serta pelajar terkejut dan keliru,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu kekurangan guru di sekolah pemerintah yang dianggarkan mencecah lebih 374,000 orang ketika ini.

Menurutnya, jika setiap sekolah memerlukan sekurang-kurangnya dua guru bahasa asing tambahan, Indonesia mungkin memerlukan ratusan ribu tenaga pengajar baharu.

Penyelaras Nasional Jaringan Pemantau Pendidikan Indonesia (JPPI), Encik Ubaid Matraji, pula berkata pemerintah perlu terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas pendidikan negara termasuk literasi bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.

Beliau merujuk keputusan ujian kompetensi akademik nasional yang menunjukkan prestasi pelajar masih rendah.

Pelajar sekolah menengah atas hanya mencatat purata 25 daripada 100 markah bagi subjek elektif bahasa Inggeris, jauh di bawah tahap minimum diharapkan.

“Pemerintah perlu memastikan masalah asas pendidikan diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Namun di sebalik kritikan dan kebimbangan itu, ramai penganalisis melihat perdebatan ini sebagai tanda Indonesia sedang bergerak ke arah sistem pendidikan yang lebih terbuka dan bersifat antarabangsa.

Cadangan Encik Prabowo itu juga dilihat mencerminkan usaha Indonesia memperluaskan hubungan strategik dengan negara-negara besar dunia melalui pendidikan dan pembangunan modal insan.

Bagi penyokong cadangan itu, penguasaan lebih banyak bahasa asing bukan sekadar soal diplomasi, tetapi pelaburan jangka panjang untuk generasi muda Indonesia menghadapi ekonomi global yang semakin kompetitif.

Walaupun pelaksanaannya masih memerlukan penelitian mendalam, perbincangan mengenai bahasa Perancis ini telah membuka ruang lebih luas mengenai masa depan pendidikan Indonesia dan bagaimana negara itu mahu mempersiapkan generasi mudanya menghadapi dunia yang semakin saling berkait. – Agensi berita.