Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai Trump: Indon setuju kurangkan tarif, halangan bukan tarif

Jul 23, 2025 | 11:59 AM
Indonesia telah bersetuju untuk menghapuskan tarif ke atas lebih 99 peratus barangan Amerika Syarikat dan menghapuskan semua halangan bukan tarif yang dihadapi firma negara itu.
Indonesia telah bersetuju untuk menghapuskan tarif ke atas lebih 99 peratus barangan Amerika Syarikat dan menghapuskan semua halangan bukan tarif yang dihadapi firma negara itu. - Foto: EPA

WASHINGTON: Indonesia telah bersetuju untuk menghapuskan tarif ke atas lebih 99 peratus barangan Amerika Syarikat dan menghapuskan semua halangan bukan tarif yang dihadapi firma Amerika.

Dalam masa yang sama Amerika akan menurunkan tarif ke atas produk Indonesia kepada 19 peratus daripada 32 peratus, kata kedua-dua negara pada 22 Julai.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memuji perjanjian itu, yang pertama kali diumumkannya pada 15 Julai, dalam siaran di platformnya, Truth Social.

Beliau menyifatkannya sebagai “kemenangan besar untuk pembuat kereta, syarikat teknologi, pekerja, petani, penternak dan pengeluar kami”.

Butiran rangka kerja perjanjian itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua negara, dan lembaran fakta yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.

Mereka berkata perunding kedua-dua negara akan memuktamadkan perjanjian sebenar dalam beberapa minggu akan datang.

“Hari ini, Amerika dan Republik Indonesia bersetuju dengan rangka kerja untuk merundingkan perjanjian mengenai dagangan timbal balik untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala kami, yang akan menyediakan akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara ke pasaran masing-masing,” kata kenyataan bersama itu.

Perjanjian dengan Indonesia itu adalah antara segelintir yang dicapai setakat ini oleh pentadbiran Encik Trump menjelang tarikh akhir 1 Ogos apabila tarif yang lebih tinggi dijangka bermula.

Kadar tarif Amerika ke atas Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, sepadan dengan 19 peratus yang diumumkan untuk Filipina pada 22 Julai.

Di bawah perjanjian itu, Indonesia akan segera menggugurkan rancangannya untuk mengenakan tarif ke atas aliran data Internet.

Ia juga bersetuju untuk menyokong pembaharuan moratorium Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang berpanjangan mengenai e-dagang, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Trump.

Indonesia juga akan menghapuskan pemeriksaan pra-penghantaran yang digubal baru-baru ini dan pengesahan eksport Amerika yang menimbulkan masalah untuk eksport pertanian Amerika, kata pegawai itu lagi.

Dalam apa yang disifatkan sebagai kemenangan untuk pembuat kereta Amerika, pegawai itu berkata Indonesia telah bersetuju untuk menerima Piawaian Keselamatan Kenderaan Bermotor Persekutuan untuk kenderaan yang dieksport dari Amerika ke Indonesia.

Kenyataan bersama itu berkata Amerika akan mengurangkan kadar tarif timbal balik kepada 19 peratus.

Mereka juga berkata Indonesia akan berusaha untuk menangani halangan bagi barangan Amerika, termasuk melalui penghapusan sekatan import dan keperluan pelesenan ke atas barangan atau alat ganti Amerika. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg