JAKARTA: Suasana di kediaman mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo di Sumber, Solo, pada 29 September 2025, berubah menjadi luar biasa.
Di sebalik pagar sederhana yang sering menjadi tempat beliau menyapa warga, hadir seorang tamu kontroversi, Encik Abu Bakar Baasyir, pendiri Pondok Pesantren Al-Mu’min Ngruki, tokoh yang namanya sinonim dengan sejarah panjang gerakan Islam dan ekstremisme di Indonesia.
Kehadiran ulama radikal yang kini berusia 87 tahun, bukan sebahagian daripada agenda rasmi.
Beliau tiba dengan langkah perlahan, ditemani seorang pemandu, dan disambut sendiri oleh Encik Jokowi yang memakai batik coklat berlengan panjang serta songkok hitam.
Dalam pertemuan singkat itu, Encik Jokowi menundukkan kepala dan mencium tangan Encik Abu Bakar, satu gerak tubuh kesantunan Jawa yang segera mencuri perhatian media dan masyarakat.
“Waalaikumssalam warahmatullah, silakan ustaz, monggo, monggo (silakan, silakan),” ungkap Encik Jokowi dalam bahasa Jawa dengan nada lembut, menyambut tetamunya dengan penuh hormat.
Pertemuan yang hanya berlangsung sekitar 15 minit itu meninggalkan kesan mendalam.
Di mata umum, ia bukan sekadar kunjungan silaturahim antara mantan presiden dengan seorang ulama berusia.
Ia mencetus perdebatan nasional tentang makna, simbolisme, dan tafsiran politik di sebalik jabat tangan dua tokoh yang pernah berada di sisi berbeza sejarah Indonesia moden.
Dalam pertemuan itu, Encik Abu Bakar menjelaskan bahawa tujuannya hanyalah menunaikan kewajipan seorang Muslim untuk menasihati pemimpin.
“Saya hanya menasihati. Orang Islam wajib menasihati – rakyat, pemimpin, siapa pun dia,” katanya kepada wartawan.
Beliau turut menyampaikan harapan agar Encik Jokowi menjadi “pembela Islam yang kuat”, satu ungkapan yang kedengaran lembut tetapi sarat dengan pesan ideologinya.
“Pak Jokowi ini orang kuat. Mudah-mudahan beliau boleh jadi pembela Islam yang kuat, itu saja,” ujar Encik Abu Bakar.
Walaupun tutur katanya ringkas, mesejnya menyentuh perkara mendalam – hubungan antara agama dengan kuasa, antara idealisme Islam dengan realiti politik negara sekular terbesar di dunia Muslim itu.
Encik Abu Bakar dianggap sebagai pemimpin agama kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), rangkaian ekstremis yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda dan dituduh mengatur pengeboman pada 2002 di Bali yang membunuh 202 mangsa, kebanyakannya warga Australia.
Encik Abu Bakar didakwa mendalangi serangan pengganas paling kejam di Indonesia itu, meskipun dia tidak pernah disabitkan dengan serangan tersebut.
Dalam tradisi politik Jawa, kuasa tidak hanya diukur melalui keputusan, bahkan juga melalui gestur, isyarat, dan simbol.
Bagi Encik Jokowi, yang kini tidak lagi menjawat jawatan rasmi tetapi kekal berpengaruh dalam politik nasional, pertemuan dengan Encik Abu Bakar membawa mesej tertentu.
“Jokowi memahami bahawa simbol mempunyai kekuatan politik yang melampaui kata-kata,” kata Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Noor Huda Ismail.
Dr Noor Huda, yang pernah menuntut di pesantren Al-Mukmin Ngruki milik Encik Abu Bakar, menjelaskan bahawa pertemuan itu adalah satu ‘lakonan politik’ penuh makna – bukan hipokrasi, tetapi komunikasi simbolik.
“Bagi Jokowi, ia menunjukkan kematangan dan keterbukaan. Bagi Abu Bakar pula, ia membuktikan bahawa perjuangannya masih diingati,” katanya.
Dr Noor Huda menambah bahawa dalam konteks budaya Jawa, tindakan mencium tangan dan menundukkan kepala bukan tanda tunduk ideologi, sebaliknya simbol penghormatan yang mendalam terhadap tetamu dan ulama.
“Ia adalah bahasa tubuh yang menunjukkan kesopanan dan kerendahan hati, satu nilai yang menjadi tunjang politik Encik Jokowi sejak beliau menjadi wali kota Surakarta,” ujarnya.
Dalam dunia moden yang sarat dengan imej dan media sosial, gambar sering lebih berkuasa daripada pidato.
Foto Encik Jokowi mencium tangan Encik Abu Bakar tersebar luas di WhatsApp, Facebook dan TikTok hanya dalam beberapa jam, dan mencetuskan pelbagai tafsiran.
Bagi penyokong Encik Jokowi, ia dilihat sebagai tanda kematangan seorang negarawan – pemimpin yang mendakap semua pihak tanpa membezakan masa lalu.
Namun bagi kelompok konservatif, imej itu membangkitkan rasa bangga, seolah-olah pengiktirafan simbolik bahawa perjuangan Encik Abu Bakar tidak pernah luput.
“Simbol seperti ini hidup lama dalam ingatan kolektif. Ia menjadi bahan bakar moral bagi kelompok yang mencari makna di sebalik kekalahan,” jelas Dr Noor Huda.
Beliau menambah bahawa, seperti dalam sejarah Ireland Utara atau Timur Tengah, imej pemimpin dan tokoh agama sering diolah menjadi naratif baru, menukar kelemahan menjadi kekuatan simbolik.
Namun tidak semua melihat pertemuan itu dengan kaca mata positif.
Aktivis Encik Muhammad Taufiq, yang pernah mempersoalkan kesahihan ijazah Encik Jokowi, meragui bahawa pertemuan itu berlaku secara spontan.
“Abu Bakar orang yang lurus dan jujur, tapi saya yakin ada pihak yang mengatur pertemuan itu. Tidak mungkin berlaku begitu saja,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa walaupun Encik Jokowi bukan lagi presiden, protokol keselamatan masih wujud, dan sukar membayangkan seseorang seperti Encik Abu Bakar dapat bertemu secara langsung tanpa pengaturan rasmi.
“Ini mungkin digunakan untuk kepentingan politik untuk membentuk imej Jokowi sebagai pembela Islam,” ujar Encik Muhammad Taufiq.
Pandangan sinis itu menunjukkan bagaimana simbol yang sama boleh ditafsir secara bertentangan: bagi sesetengah pihak, tanda keharmonian; bagi yang lain, propaganda terancang.
Pakar antropologi Amerika, mendiang Clifford Geertz, pernah menulis bahawa manusia hidup dalam “jaring makna yang mereka tenun sendiri”.
Dalam konteks ini, pertemuan Jokowi-Abu Bakar adalah satu jaringan simbol yang kaya dengan tafsiran.
Bagi Encik Jokowi, ia memperkukuh imejnya sebagai figura penyatu bangsa walaupun selepas bersara.
Bagi pengikut Encik Abu Bakar, ia menandakan pengiktirafan tidak langsung terhadap guru mereka yang pernah dianggap musuh negara.
“Di era digital, satu foto boleh menyamai seribu ucapan,” kata Dr Noor Huda.
“Pertemuan di Surakarta itu bukan sekadar peristiwa tempatan, tetapi aset simbolik global dari Jakarta hingga Mindanao.”
Sejarah telah membuktikan gerakan sosial sering bertahan melalui simbol, bukan senjata.
Daripada wajah anggota Tentera Republikan Ireland (IRA) Bobby Sands di Ireland Utara hingga potret Setiausaha Agung Hezbollah, gerakan politik dan ketenteraan Syiah berpangkalan di Lebanon, Encik Hassan Nasrallah, di Lebanon, imej menjadi senjata politik yang lebih tahan lama daripada kekerasan fizikal.
Pertemuan singkat di Solo itu bukan sekadar antara dua individu, malah antara dua dunia – politik realistik dan spiritualisme ideologi.
Bagi Encik Jokowi, ia mengukuhkan reputasinya sebagai pemimpin yang merendah hati dan terbuka terhadap semua pihak.
Bagi Abu Bakar dan pengikutnya, ia memberi makna kesinambungan bahawa walaupun usia lanjut, namanya masih diiktiraf di istana politik.
“Simbol boleh hidup lebih lama daripada kuasa. Foto boleh bertahan lebih lama daripada pidato,” kata Dr Noor Huda.
Akhirnya, pertemuan Encik Jokowi dan Abu Bakar mengingatkan bahawa pertarungan melawan ekstremisme bukan hanya berlaku di medan undang-undang atau keselamatan, bahkan juga dalam ruang simbol dan persepsi.
Di situlah, makna sebenar jabat tangan itu terus bergema bukan sekadar tanda hormat, bahkan isyarat simbol masih berkuasa membentuk sejarah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg