JAKARTA: Sayap kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Sumatera Utara secara rasmi telah dibubarkan, lebih setahun selepas pemimpin negara kumpulan itu membubarkan pertubuhan tersebut dan berikrar taat setia kepada negara.
Dalam satu acara anjuran Detasmen Khas 88 (Densus 88) Polis Negara di Medan pada 30 Ogos, bekas pemimpin tempatan dan anggota kumpulan itu mengesahkan komitmen mereka kepada negara dan undang-undangnya serta berikrar untuk berusaha ke arah membangunkan negara.
Mereka turut mengumumkan bahawa semua bahan yang diajar di sekolah berasrama penuh gabungan JI di Sumatera Utara akan diselaraskan dengan ajaran Islam sebenarnya dan satu pasukan akan dibentuk untuk menyemak pelajaran dan kurikulum serta membuang kandungan yang mempromosikan ideologi ekstremis.
Semasa berucap di majlis itu, mantan anggota JI, Encik Wijayanto menyatakan bahawa cinta kepada tanah air adalah fitrah manusia dan juga merupakan ajaran Nabi Muhammad saw.
Menurutnya, tiada jalan yang lebih mulia bagi seorang Muslim daripada kembali kepada cara hidup yang berakar umbi kepada belas kasihan dan ihsan.
“Ini adalah jalan Islam yang sebenar,” katanya.
Ketua Densus 88 Sumatera Utara, Encik Didik Novi Rahmanto, menyifatkan acara itu sebagai lambang perdamaian dan perpaduan serta langkah penting ke arah membina masa depan yang lebih aman dan bersifat terangkum.
“Acara ini menekankan kepentingan kerjasama merentasi semua sektor untuk melindungi Indonesia daripada ekstremisme, sikap tidak bertolak ansur dan ideologi yang memecahbelahkan,” katanya.
Encik Didik menambah bahawa perubahan ideologi bukanlah peristiwa sekali sahaja, tetapi adalah satu proses panjang yang hanya boleh berjaya dengan sokongan penguat kuasa undang-undang, pemerintah, alim ulama, ahli akademik dan masyarakat umum.
“Hari ini, kita menyaksikan saudara kita, yang pernah menempuh jalan yang berbeza, kembali, bertaubat dan komited untuk membina semula negara,” tambahnya.
JI pernah melakukan beberapa serangan pengganas paling maut di Indonesia, termasuk pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang.
Pada tahun-tahun berikutnya, JI melakukan beberapa serangan maut, seperti pengeboman kereta pada 2003 di hotel JW Marriott di Jakarta yang mengorbankan sedozen orang dan bom kereta pada 2004 di luar kedutaan Australia.
Polis telah menahan puluhan anggota JI sejak dua dekad lalu, termasuk ketua mereka, Encik Abu Bakar Ba’asyir.
Kumpulan itu secara rasmi diharamkan pada 2008, tetapi terus merekrut anggota baru, mengumpul dana dan menjalankan latihan ketenteraan, kata pegawai dan penganalisis.
Seramai 16 pemimpin JI membubarkan pertubuhan itu di Bogor, Jawa Barat, pada 30 Jun 2024, dan mengumumkan anggotanya akan kembali ke pangkuan undang-undang.
Bagaimanapun, sesetengah pakar bimbang anggota JI di pelbagai wilayah boleh tidak bersetuju dengan keputusan itu dan mewujudkan kumpulan serpihan baru dan mungkin lebih radikal.
Dalam beberapa bulan selepas pengisytiharan nasional, beberapa kumpulan serantau JI, termasuk di Jawa Tengah dan Riau, mengeluarkan kenyataan bebas yang mengesahkan pembubaran mereka sendiri.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Encik Listyo Sigit Prabowo, pada Julai lalu mengumumkan pihak berkuasa telah memujuk lebih 8,000 anggota JI supaya meninggalkan kumpulan itu melalui program deradikalisasinya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg