Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertemuan Prabowo-Megawati cetus spekulasi

Apr 9, 2025 | 7:14 PM
Presiden Prabowo Subianto (kiri) mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri (kanan) pada 7 April 2025 di Jakarta.
Presiden Prabowo Subianto (kiri) mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri (kanan) pada 7 April 2025 di Jakarta. - Foto X bang_dasco

JAKARTA: Pertemuan sulung antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Pengerusi Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri, sejak pelantikan Prabowo sebagai presiden, telah mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan PDI-P menyertai gabungan pemerintah.

Menurut penganalisis politik, meskipun terlalu awal untuk membuat kesimpulan, pertemuan itu menunjukkan bahawa saluran komunikasi antara kedua-dua pihak masih terbuka dan masing-masing ingin memastikan kepentingan politik mereka terjamin.

“Pertemuan ini boleh ditafsirkan, secara langsung atau tidak, sebagai usaha menjaga kepentingan masing-masing – sama ada di pihak Megawati mahupun Prabowo,” kata Encik Agung Baskoro, penganalisis dari Trias Politika Strategis, kepada CNA.

Pertemuan tertutup selama satu setengah jam itu berlangsung di kediaman Megawati di Jalan Teuku Umar, Jakarta Pusat, tanpa kehadiran rasmi dari PDI-P mahupun Gerindra, walaupun Prabowo dikatakan tiba bersama beberapa pemimpin kanan partinya.

Memetik laporan Kompas.com, pertemuan selama 90 minit. Pertemuan empat mata tersebut, antaranya melibatkan pertukaran pandangan mengenai masa depan Indonesia, di sebalik situasi ketidaktentuan global, ketika ini.

Perkara ini disahkan oleh Encik Sufmi Dasco Ahmad, Ketua Harian Gerindra, yang turut memuat naik gambar pertemuan tersebut di media sosial.
“Mengukuhkan kesatuan untuk Indonesia,” tulis Encik Dasco ringkas di platform X.

Ketika ditanya media tempatan mengenai kemungkinan PDI-P menyertai gabungan kerajaan, Encik Dasco enggan mengulas lanjut. Namun beliau berkata kedua-dua tokoh politik itu berbincang secara peribadi mengenai masa depan negara.

“Yang jelas, mereka berbincang tentang masa depan Indonesia dan kerjasama untuk pembangunan negara,” katanya seperti dipetik oleh Jakarta Post. “Hubungan Prabowo dan Ibu Mega sentiasa baik dan bersahabat. Mereka berkongsi pandangan tentang situasi global semasa. Megawati berpengalaman menangani krisis, dan pengalamannya sangat berharga.”

Setiausaha Agung Parti Gerindra, Ahmad Muzani dipetik sebagai berkata, Prabowo dan Megawati turut menyentuh isu tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Megawati banyak berbicara mengenai pengalaman beliau sebagai Presiden dalam menghadapi cabaran besar, terutama dalam pemulihan ekonomi negara,” kata Ahmad Muzani.

Ahmad Muzani menambah, Megawati berharap Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dapat menjadi instrumen untuk memperkukuhkan pemerintahan, khususnya demi kesejahteraan rakyat.
Megawati, yang kini Ketua Umum PDI-P dianggap memiliki pengalaman dalam mengatasi krisis yang berlaku di Indonesia ketika di bawah pentadbirannya.

Bekas Presiden Joko Widodo turut menyambut baik pertemuan itu. Pada malam Selasa, beliau menyatakan bahawa pertemuan itu mampu membawa ketenangan kepada landskap politik negara.
“Pertemuan itu baik untuk kebaikan negara. Lebih baik ada pertemuan daripada tiada langsung,” katanya, seperti dilaporkan oleh Antara News.

Penganalisis politik dari Universitas Multimedia Nusantara, Ambang Priyonggo, pula berpendapat bahawa keputusan Prabowo untuk mengunjungi Megawati di kediamannya mempunyai makna simbolik – bahawa PDI-P masih dianggap sebagai kuasa politik yang perlu dihormati.

Bagi pihak Megawati pula, tumpuan utama ketika ini dipercayai tertumpu kepada kelancaran kongres PDI-P yang akan datang, meskipun tarikhnya masih belum diumumkan. Kongres ini penting untuk menentukan kepimpinan baharu parti bagi penggal seterusnya.

Menurut Agung, keputusan kongres tersebut perlu mendapat pengesahan rasmi daripada Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia. Sekiranya berlaku perebutan kuasa dalaman, kementerian boleh menolak keputusan tersebut, yang akan menjejaskan status sah parti di mata undang-undang, termasuk kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto, masih berdepan isu undang-undang selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) atas dakwaan merasuah pegawai pilihan raya dan mengganggu proses keadilan. PDI-P mendakwa Hasto menjadi sasaran kerana kritikannya terhadap Jokowi semasa pilihan raya presiden Februari lalu – dakwaan yang dinafikan KPK.

Antara kritikan Hasto termasuk keputusannya mengkritik keputusan Mahkamah Perlembagaan yang membenarkan anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, bertanding sebagai calon naib presiden bersama Prabowo.
Jokowi, Gibran dan menantunya, Bobby Nasution, telah dipecat secara rasmi daripada PDI-P pada Disember lalu kerana menyokong gabungan lawan – Koalisi Indonesia Maju (KIM) pimpinan Prabowo – dan menolak calon presiden yang diusung PDI-P.
Sebelum hubungan tegang ini, Jokowi pernah menjadikan PDI-P sebagai asas kerjaya politiknya – bermula sebagai Datuk Bandar Surakarta, kemudian Gabenor Jakarta, dan akhirnya Presiden selama dua penggal dengan sokongan penuh Megawati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg