Indonesia kini mempunyai menteri kewangan ketiga dalam tempoh kurang dua tahun pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, susulan pemecatan mengejut Encik Purbaya Yudhi Sadewa selepas setahun dan beberapa hari memegang jawatan itu.

Tempat beliau kini diambil alih Encik Suahasil Nazara, seorang birokrat berpengalaman di Kementerian Kewangan yang sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan.

Encik Purbaya dilaporkan sedang menghadiri sesi pendengaran bersama anggota Parlimen pada pagi 14 September apabila menerima pesanan teks memaklumkan mengenai pemecatannya.

Pada hari sama, Encik Suahasil tiba di istana negara untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan yang baru.

Dalam kenyataan pertamanya kepada media selepas pelantikan itu, Encik Suahasil berkata Presiden Prabowo secara khusus mengarahkannya supaya menjaga kewangan negara serta memastikan kedudukan fiskal Indonesia kekal sihat dan berwibawa bagi menyokong pelaksanaan program keutamaan pemerintah.

Encik Suahasil telah memegang jawatan timbalan menteri kewangan sejak pentadbiran mantan Presiden Joko Widodo dan pernah berkhidmat bersama pendahulu Encik Purbaya, Cik Sri Mulyani Indrawati.

Antara program utama Presiden Prabowo ialah program makanan berkhasiat percuma untuk pelajar yang mencetuskan kontroversi berhubung pelaksanaannya dan menerima kritikan meluas sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Program itu turut menjadi perhatian susulan peningkatan kes keracunan makanan secara beramai-ramai membabitkan pelajar yang mengambil makanan disediakan di bawah program berkenaan.

Peruntukan besar daripada belanjawan negara untuk melaksanakan program itu juga mendapat perhatian, terutama apabila ia dilaksanakan seiring pengurangan ketara perbelanjaan dalam sektor lain, termasuk usaha mengurangkan risiko dan membuat persediaan menghadapi bencana.

Langkah itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat memandangkan kedudukan geografi Indonesia menyebabkan negara itu terdedah kepada pelbagai bencana alam.

Encik Suahasil berkata sebagai komponen utama kewangan negara, belanjawan mesti berupaya menyokong pelaksanaan program keutamaan pemerintah, di samping kekal kukuh, berwibawa dan mendapat kepercayaan.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami akan terus menguruskan kewangan negara dengan memastikan belanjawan dapat menggalakkan pertumbuhan dan menstabilkan ekonomi Indonesia dengan berkesan.

“Saya akan terus menguruskan belanjawan yang boleh dipercayai, mengekalkan komunikasi awam yang boleh dipercayai dan memastikan pelaksanaan belanjawan menyokong program keutamaan pemerintah,” katanya.

Menurut penganalisis dasar awam, Encik Agustinus Edy Kristianto, gaya komunikasi Encik Purbaya dengan masyarakat dan media dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pemecatan mengejut beliau.

Sejak mengambil alih jawatan pada 2025, kenyataan Encik Purbaya yang sering secara spontan kerap menjadi tajuk berita dan gaya komunikasinya amat berbeza berbanding Cik Sri Mulyani yang lebih berhati-hati dan terkawal ketika bercakap kepada umum.

Encik Purbaya turut mengeluarkan kenyataan tegas terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Encik Rosan Roeslani, berhubung penguasaan dividen syarikat milik negara.

Sebagai dana kekayaan negara, syarikat milik negara kini berada di bawah Danantara, tetapi Encik Purbaya mahu dividen syarikat berkenaan digunakan untuk menambah kecairan dalam belanjawan negara yang sedang mengalami defisit.

Encik Agustinus berkata pendekatan komunikasi Encik Purbaya yang bersifat konfrontasi mungkin kurang sesuai dengan pendekatan pentadbiran Presiden Prabowo dan berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat serta pasaran terhadap pemerintah.

“Presiden juga boleh mengharapkan sokongan penuh daripada Suahasil dalam melaksanakan program utama yang menjadi keutamaan pentadbirannya,” katanya kepada Berita Harian.

Pengalaman panjang Encik Suahasil sebagai birokrat di Kementerian Kewangan turut dilihat sebagai pilihan yang lebih selamat bagi menangani dakwaan berlaku pergeseran dalaman antara Encik Purbaya dengan dua pegawai kanan yang mengetuai dua direktorat jeneral strategik, iaitu kastam dan percukaian.

Kedua-dua pegawai kanan itu dipilih sendiri oleh Presiden Prabowo.

Menurut Encik Agustinus, keputusan Encik Purbaya baru-baru ini untuk melakukan rombakan dan pertukaran besar-besaran kakitangan dalam kedua-dua direktorat jeneral itu telah menimbulkan persepsi mengenai ketidakstabilan birokrasi dalam kementerian serta hubungan antara Encik Purbaya dengan kedua-dua ketua direktorat tersebut.

“Keadaan ini memberi gambaran kurang baik kepada masyarakat dan pasaran. Dengan melantik Suahasil, seorang birokrat berpengalaman di kementerian itu, Prabowo boleh mengharapkan beliau mengambil pendekatan lebih terbuka dan bekerjasama dalam menangani pergeseran dalam birokrasi,” katanya.

Selepas upacara serah terima jawatan di Kementerian Kewangan pada Selasa, Encik Purbaya masih mengekalkan gaya komunikasinya yang santai ketika ditanya wartawan mengenai rancangan beliau selepas kembali menjadi orang awam.

Beliau berseloroh bahawa beliau mungkin akan pergi memancing “sambil memikirkan mengapa saya dipecat”.

Gaya komunikasi seperti itu dipercayai antara faktor yang membantu Encik Purbaya muncul sebagai menteri paling popular dalam Kabinet Presiden Prabowo, selain kedudukannya sebagai pemimpin salah sebuah kementerian paling strategik dan berprofil tinggi di Indonesia.

Tinjauan terbaru oleh Pendapat Politik Indonesia (IPO) menunjukkan 43.5 peratus responden berkata mereka mengenali dan mengetahui Encik Purbaya Yudhi Sadewa sebagai seorang menteri Kabinet.

Tinjauan nasional IPO itu dijalankan dari 27 Julai hingga 3 Ogos 2026, membabitkan 1,200 responden yang dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak berperingkat.

Tinjauan tersebut mempunyai tahap keyakinan 95 peratus dengan margin ralat sekitar 2.9 peratus.

Pengarah Eksekutif IPO, Encik Dedi Kurnia Syah, berkata selain muncul sebagai menteri paling popular, Encik Purbaya turut dinilai secara positif dari segi prestasinya.

Dalam tinjauan itu, 42.8 peratus responden memilih beliau sebagai menteri yang menunjukkan prestasi terbaik dalam kalangan 11 menteri yang dinilai.

Encik Purbaya juga tidak tersenarai dalam kalangan menteri yang menurut responden perlu digantikan dalam rombakan Kabinet.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti