Perkembangan teknologi kewangan dan peralihan urus niaga daripada sistem perbankan konvensional kepada platform digital menimbulkan cabaran baharu dalam usaha mengesan dan membanteras pembiayaan kegiatan pengganasan.

Perubahan itu memerlukan pemantauan lebih ketat terhadap cara kumpulan pengganas mengumpul dan memindahkan dana, selain pendekatan baharu yang tidak lagi bergantung semata-mata pada kaedah menjejaki aliran wang.

Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata pembiayaan merupakan antara faktor utama yang membolehkan kegiatan pengganasan terus beroperasi.

Namun, usaha mengenal pasti dan menutup kelemahan dalam peraturan kewangan yang boleh dieksploitasi kumpulan pengganas memerlukan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan, badan kawal selia, ahli akademik dan masyarakat.

Menurut beliau, kira-kira lima bilion rupiah ($382,000) yang dipercayai bertujuan membiayai kegiatan pengganasan dikesan sepanjang tiga tahun lalu.

“Angka itu berdasarkan penelitian terhadap keputusan mahkamah yang sedia ada. Masalahnya, pembiayaan pengganasan bukan mudah dibongkar.

“Sebelum ini, urus niaga dilakukan secara konvensional, termasuk menerusi sistem hawala,” katanya.

Hawala ialah sistem pemindahan wang tidak rasmi di luar rangkaian perbankan tradisional yang bergantung pada hubungan peribadi dan kepercayaan antara individu untuk memindahkan dana tanpa memerlukan wang dipindahkan secara fizikal antara pihak yang menguruskan transaksi.

“Urus niaga dilakukan secara bersemuka tanpa saksi. Contohnya, seseorang menyerahkan wang kepada individu lain yang kemudian membawanya ke negara lain untuk membeli senjata.

“Dari sudut undang-undang, perkara itu sukar dibuktikan kerana tiada saksi dan individu terbabit boleh menafikannya,” kata Encik Eddy kepada wartawan di luar majlis pelancaran tiga buku mengenai pembiayaan pengganasan pada 7 Oktober.

Siri buku bertajuk, ‘Trilogi Pendanaan Terorisme’ itu ditulis tiga anggota pasukan antipengganasan Indonesia, Densus 88, iaitu ketuanya yang baru dilantik, Encik Ami Prindani; Ketua Pasukan Petugas Kalimantan Barat, Encik I Made Wisnu Wardhana; dan penganalisis risikan, Encik Daniel Saragih.

Ketiga-tiga buku itu mengupas pembiayaan pengganasan daripada tiga sudut yang saling berkaitan, iaitu perubahan kaedah pembiayaan, faktor yang membolehkan kegiatan itu berlaku dan kemungkinan perubahan ancaman pada masa depan.

Menurut Encik Eddy, perubahan paling ketara dalam pembiayaan pengganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah peralihan kepada penggunaan platform digital, termasuk pemindahan aset dalam bentuk mata wang kripto.

“Kumpulan ini turut mengeksploitasi saluran kewangan yang sah, tetapi kegiatan sebenar di sebalik urus niaga itu boleh disembunyikan. Perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Timbalan bagi Pelaporan dan Pengawasan Pematuhan di Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia (PPATK), Encik Fithriadi Muslim, berkata perkembangan teknologi memerlukan pendekatan kawal selia dan pemantauan yang lebih fleksibel serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

Encik Fithriadi, yang turut menjadi pengulas buku tersebut, berkata antara pendekatan yang boleh digunakan ialah regulatory sandbox, iaitu ruang ujian terkawal yang membolehkan badan kawal selia dan pemain industri menguji produk kewangan, saluran pembayaran serta ciri platform sebelum diperkenalkan secara meluas.

Pendekatan itu membolehkan risiko dikenal pasti lebih awal tanpa menghalang inovasi teknologi kewangan.

Beliau turut menekankan kepentingan keupayaan forensik digital untuk mengesan jejak kegiatan mencurigakan termasuk meneliti metadata laman web, corak hantaran, peranti yang digunakan, alamat Protokol Internet (IP), rangkaian peribadi maya (VPN), alamat dompet kripto dan aliran transaksi.

“Kemajuan teknologi menjadikan kaedah pembiayaan pengganasan semakin berubah-ubah.

“Pemantauan tidak boleh hanya dilakukan selepas urus niaga berlaku. Keupayaan mengenal pasti risiko lebih awal, menganalisis jejak digital dan memastikan peraturan berkembang seiring kemajuan teknologi perlu diperkukuh,” ujarnya.

Bagaimanapun, pakar pengganasan daripada Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi (PAKAR), Encik Adhe Bakti, berpendapat tumpuan terhadap sistem atau platform kewangan utama mungkin semakin kurang relevan dalam usaha memahami pembiayaan pengganasan.

Ini kerana serangan pengganasan kini tidak semestinya memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

“Dengan hanya 500,000 rupiah, seseorang boleh membeli bahan letupan untuk menghasilkan bom dan melancarkan serangan,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, pakar pengganasan, Encik Stanislaus Riyanta, berkata prinsip menjejaki aliran wang masih penting dalam siasatan, tetapi tidak lagi mencukupi sebagai satu-satunya pendekatan untuk memahami ancaman pengganasan.

Encik Riyanta, yang juga pensyarah di Sekolah Siswazah Pembangunan Mampan Universitas Indonesia (GSSD UI) dan seorang lagi pengulas buku tersebut, berkata perkembangan pesat sistem pembayaran, kepelbagaian transaksi digital, aset maya dan penggunaan teknologi kewangan menjadikan pergerakan dana semakin rumit.

Keadaan itu menyukarkan pihak berkuasa mengesan transaksi menggunakan kaedah konvensional.

“Pendekatan tidak boleh lagi sekadar menjejaki aliran wang. Sistem kewangan berkembang dengan begitu pantas.

“Jika kita hanya menunggu wang dipindahkan sebelum menjejaki alirannya, kita akan sentiasa ketinggalan selangkah.

“Keupayaan yang perlu dibangunkan ialah memahami keseluruhan ekosistem kewangan, kelemahan teknologi, tingkah laku individu terbabit dan tanda amaran yang muncul sebelum transaksi pembiayaan berlaku,” katanya.

Seorang daripada penulis buku itu, Encik I Made Wardhana, turut bersetuju bahawa pendekatan menjejaki aliran wang sahaja tidak lagi mencukupi.

Beliau berkata terdapat sistem mata wang kripto yang direka khusus untuk menyukarkan atau menghalang transaksi daripada dikesan.

Antaranya ialah Monero dan Dash, dua aset kripto yang menurut beliau mempunyai ciri privasi yang boleh menyukarkan pengesanan transaksi.

Keadaan itu berbeza daripada USDT atau Tether, yang masih boleh dipantau kerana rekod transaksi dapat diperhatikan dan pihak berkuasa berpeluang mengenal pasti pemilik dompet digital terbabit.

“Oleh itu, pendekatan menjejaki aliran wang perlu diperluaskan dengan kaedah lain, termasuk pendekatan yang memberikan tumpuan kepada individu yang terlibat.

“Akhirnya, aset kripto itu perlu ditukar kepada mata wang biasa,” katanya.

Menurut beliau, proses penukaran tersebut boleh membuka peluang kepada pihak berkuasa untuk mengesan individu di sebalik transaksi yang sebelum itu sukar dijejaki.

“Pada peringkat itu, pendekatan lain boleh digunakan untuk mengenal pasti siapa yang terlibat.

“Jadi, walaupun jejak wang mungkin terputus ketika transaksi kewangan dilakukan, ia masih boleh dikesan ketika wang dimasukkan atau dikeluarkan daripada sistem,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti