Suspek wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes simbah asid pengusaha spa di Beris Kubur Besar, Kelantan, disambung reman empat hari, bermula 27 Mei.
Suspek yang bekerja di kilang getah ditahan reman sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan kes simbah asid, Cik Nor Faziera Muda, 27 tahun.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Bachok, Encik Mohd Fauzan Mohd Suhairi, di Mahkamah Majistret Bachok, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, suspek berusia 38 tahun itu tiba di mahkamah diiringi polis pengiring dengan berpakaian baju dan tudung biru dengan seluar sukan berwarna hitam pada 9.41 pagi.
Sebelum ini suspek ditahan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di kilang getah di Kuala Krai, pada 4 petang, 21 Mei
Susulan itu, wanita yang bekerja sebagai pekerja kilang getah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Cik Nor Faziera melecur lebih 80 peratus di bahagian belakang badan, tangan hingga siku kanan selepas disimbah asid dalam kejadian di spa dan salun mangsa di Beris Kubur Besar pada 17 Mei lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg