Pasukan Polis Singapura (SPF) tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kegiatan pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura, menurut satu kenyataan bersama SPF dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 18 Julai.
Namun begitu, SPF maklum tentang dakwaan wujudnya sindiket pemerdagangan bayi yang melibatkan Singapura dan sedang bekerjasama dengan Polis Nasional Indonesia.
“Kami sedia maklum tentang laporan media yang mendakwa wujudnya sindiket pemerdagangan bayi yang dikaitkan dengan Singapura.
“SPF telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan tersebut dan bakal menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa Indonesia, selagi mana ia di bawah skop undang-undang kami,” tambah kenyataan tersebut.
Perkembangan itu menyusuli pendedahan sindiket pemerdagangan bayi yang dipercayai menjual sekurang-kurangnya 25 bayi kepada pembeli Singapura sejak 2023.
Dalam satu sidang media yang dihadiri Berita Harian (BH) pada 17 Julai, Polis Jawa Barat mendedahkan 13 suspek berhubung dengan kes sindiket tersebut.
Modus operandi mereka dikatakan menyasarkan ibu bapa atau wanita hamil yang dikatakan tidak mahu membesarkan anak mereka.
Dalam beberapa kes, komunikasi awal dilakukan menerusi Facebook sebelum beralih ke saluran lebih peribadi seperti WhatsApp.
“Ada bayi yang sudah ‘ditempah’ semasa masih dalam kandungan.
“Selepas bayi dilahirkan, kos kelahiran akan ditanggung terlebih dahulu, diikuti dengan pemberian wang pampasan, sebelum bayi tersebut diambil,” kata Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Encik Surawan.
Menurutnya, terdapat individu yang ditugaskan sebagai ‘perekrut’ untuk mencari bayi bagi tujuan pemerdagangan, sementara yang lain berperanan sebagai penjaga atau menempatkan bayi-bayi tersebut.
Ada juga yang terlibat dalam penyediaan dokumen sivil palsu seperti kad keluarga dan pasport.
Antara barang bukti yang diperoleh dan dibentangkan semasa sidang media tersebut termasuk 26 salinan sijil kelahiran, 15 salinan kad keluarga, 26 kad pengenalan, lapan sijil perkahwinan dan sembilan telefon bimbit.
Selepas diambil daripada ibu kandung, bayi-bayi itu diserahkan kepada penjaga selama dua hingga tiga bulan sebelum dihantar ke Jakarta dan kemudian Pontianak, di mana sijil kelahiran, pasport dan dokumen mereka disediakan, kata pihak polis.
Sebahagian besar maklumat yang diperoleh pihak polis turut menunjukkan bayi-bayi tersebut telah menukar kewarganegaraan.
Pada masa ini, pihak berkuasa Indonesia masih sedang mengesan lokasi pasport bayi-bayi tersebut.
Kes itu terbongkar apabila seorang ibu membuat laporan polis berhubung penculikan bayi, yang kemudian membawa kepada penahanan seorang suspek.
Encik Surawan, bayi tersebut terlebih dahulu dipindahkan ke bandar Pontianak di Pulau Borneo sebelum dihantar ke Singapura.
“Berdasarkan dokumen yang kami temui, 14 bayi telah dihantar ke Singapura. Kesemuanya berumur di bawah setahun, termasuk yang berusia tiga, lima dan enam bulan,” ujarnya.
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan lima bayi di Pontianak dan seorang lagi di Tangerang, sebuah bandar berhampiran ibu kota Jakarta.
Ibu yang membuat laporan dipercayai pada awalnya telah membuat perjanjian dengan sindiket sebelum kelahiran anaknya.
Tetapi selepas tidak menerima bayaran yang dijanjikan, beliau tampil membuat laporan polis.
Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, polis mendapati setiap bayi yang dibawa ke Singapura dijual dengan harga sekitar puluhan juta rupiah bagi setiap bayi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg