JAKARTA: Korps Lalu Lintas (Korlantas) Polis Nasional Indonesia mengumumkan penggantungan sementara penggunaan siren dan lampu strob pada kenderaan pengiring mereka susulan kecaman meluas mengenai penyalahgunaan kemudahan tersebut di jalan raya.
Langkah itu diambil selepas beberapa rakaman video tular di media sosial menunjukkan kenderaan pengiring polis serta kenderaan milik pegawai kerajaan dan swasta menggunakan siren kuat serta lampu berkelip dengan sewenang-wenangnya, sehingga menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya.
Orang ramai di media sosial mendakwa kenderaan ini sering menuntut keutamaan laluan walaupun tiada kecemasan, sekali gus mengganggu lalu lintas dan menambahkan kesesakan. Hashtag “stop tot tot wuk wuk”, yang meniru bunyi siren, trending di media sosial dengan gesaan agar siren dan lampu strob hanya diberikan keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, bomba, pasukan penyelamat dan van jenazah.
Ketua Korlantas, Inspektor Jeneral Agus Suryonugroho, berkata pihaknya kini menggantung penggunaan siren untuk semua kenderaan pengiring polis. “Penggunaan hanya dibenarkan bagi pengiring presiden dan naib presiden, tamu negara asing, serta ketua institusi negara,” katanya kepada The Jakarta Post pada 21 September.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa polis masih dibenarkan menggunakan siren dan lampu strob untuk rondaan lalu lintas. “Kami juga mengingatkan orang ramai supaya tidak memasang siren dan lampu strob secara haram pada kenderaan mereka,” tambahnya.
Menurut Undang-undang Lalulintas 2009, lampu strob merah dan siren hanya diperuntukkan bagi bomba, ambulans, kenderaan penyelamat, pengangkut tahanan, pengiring tentera dan kenderaan jenazah. Lampu biru pula khas untuk kenderaan polis, manakala lampu kuning tanpa siren dikhaskan untuk rondaan tol, kenderaan penyelenggaraan trafik, trak tunda dan pengangkutan khas.
Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda 250,000 rupiah (S$19). Bagaimanapun, Encik Agus menjelaskan bahawa buat masa ini polis hanya menggesa pemilik kenderaan menanggalkan peralatan itu tanpa mengenakan hukuman.
Encik Rio Octaviano, pengasas badan bukan pemerintah (NGO) Persatuan Keselamatan Jalan di Jakarta, menyifatkan penyalahgunaan ini berpunca daripada penguatkuasaan undang-undang yang lemah. “Sekarang pihak berkuasa kelihatan lebih serius. Ini satu kemajuan, tetapi jangan berhenti sekadar memberi amaran. Polis perlu menguatkuasakan undang-undang 2009 dengan mengenakan hukuman denda atau penjara,” tegasnya.
Beliau menambah, ketegasan penting bagi mengembalikan disiplin jalan raya dan rasa hormat antara pengguna.
Sementara itu, Setiausaha Negara Encik Prasetyo Hadi mendedahkan pejabatnya pernah mengeluarkan surat edaran kepada semua pegawai pemerintah supaya tidak menggunakan siren dan lampu strob tanpa keperluan. “Pegawai negara sepatutnya menghormati pengguna jalan raya lain. Pengiring mereka tidak boleh membuat orang ramai rasa tidak selesa,” katanya dipetik agensi berita Antara. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg