JAKARTA: Polis Republik Indonesia (Polri) sedang menyiasat dua letupan yang berlaku di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Kelapa Gading, Jakarta Utara pada 7 November lalu, yang mencederakan sekurang-kurangnya 96 orang, termasuk seorang pelajar yang disyaki sebagai pelaku insiden tersebut.
Letupan itu berlaku sekitar tengah hari di dalam masjid sekolah, ketika para pelajar lelaki sedang menunaikan solat Jumaat.
Sekolah berkenaan terletak di dalam kawasan perumahan milik Tentera Laut Indonesia.
Menurut pihak berkuasa, semua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Islam Jakarta, Hospital Yarsi, dan Hospital Pertamina di Jakarta Pusat.
Sebahagian besar pelajar telah dibenarkan pulang pada 8 November.
Namun 29 masih dirawat, termasuk dua orang di Unit Jagaan Rapi (ICU).
Kebanyakan mangsa dilaporkan mengalami masalah pendengaran akibat gegaran kuat letupan tersebut.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, mengesahkan bahawa siasatan bermula pada malam 7 November dan seorang pelajar sekolah berkenaan telah dikenal pasti sebagai suspek utama.
Polis menegaskan identiti pelajar tersebut dirahsiakan kerana dia masih di bawah umur dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat spekulasi.
“Pelajar ini masih dirawat di Hospital Islam Jakarta, Cempaka Putih. Kami belum menamakan dia sebagai suspek secara rasmi kerana masih menunggu hasil penyiasatan penuh,” kata Jenerla Listyo dalam sidang media yang disiarkan secara langsung pada 8 November.
Menurut beliau, motif serangan masih belum dikenal pasti.
“Kami sedang meneliti sama ada pelaku dipengaruhi oleh ideologi tertentu, terdedah kepada kandungan ekstrem, atau digerakkan oleh faktor lain,” ujar Jeneral Listyo.
Pihak polis menemui beberapa bukti awal, termasuk nota bertulis dan serbuk dipercayai bahan letupan.
Siasatan turut meneliti aktiviti media sosial pelajar tersebut dan menemu bual ahli keluarganya.
Dalam kenyataan berasingan, hasil siasatan awal menunjukkan pelaku dipercayai merupakan mangsa buli di sekolahnya.
Pelajar itu turut cedera dan menjalani pembedahan di bawah kawalan polis.
Sementara itu, dua pucuk pistol yang ditemui di lokasi dikenal pasti sebagai senjata mainan.
Salah satu daripadanya menyerupai senjata replika AR-15, dengan gambarnya tular meluas di media sosial sejurus selepas insiden.
“Kami sedang meneliti sama ada replika itu mempunyai kaitan langsung dengan letupan,” jelas jurucakap polis.
“Kami tidak akan membuat sebarang kesimpulan sehingga keputusan analisis makmal dan forensik diperoleh,” kata Jeneral Listyo lagi.
Semasa pemeriksaan tempat kejadian, polis menemui senjata mainan berbentuk senapang hitam dengan tulisan putih seperti “14 words”, “Brenton Tarrant”, “Alexandre Bissonette” dan “for Agartha”.
Frasa “14 words” dipercayai merujuk kepada slogan kumpulan pelampau kulit putih Amerika Syarikat, manakala nama Tarrant dan Bissonette dikaitkan dengan dua penembak masjid di Christchurch, New Zealand (2019) dan Quebec, Canada (2017).
Ketua Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia (KPAI), Cik Margaret Aliyatul Maimunah, berkata pelaku mungkin terpengaruh oleh kandungan media sosial ekstrem.
“Kanak-kanak kini sangat mudah terdedah kepada kandungan ganas dan ideologi berbahaya di media sosial. Pemerintah perlu memperkukuh perlindungan digital,” katanya.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, dalam kenyataan rasmi berkata kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan semua mangsa.
Timbalan Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah, Atip Latipulhayat, turut melawat pelajar yang cedera di Hospital Islam Jakarta.
“Kami memberi tumpuan kepada keselamatan semua warga sekolah, menyokong siasatan polis, dan memastikan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa,” ujarnya.
Menteri Pemberkasaab Wanita dan Perlindungan Anak, Cik Arifatul Choiri Fauzi, memaklumkan pihaknya telah menghantar pegawai dan pakar psikologi untuk membantu pelajar yang trauma.
“Tiada toleransi bagi sebarang bentuk ancaman yang membahayakan kanak-kanak,” tegasnya.
Hospital Islam Jakarta melaporkan menerima 43 mangsa selepas insiden itu.
Sehingga 9 November , 13 pelajar masih dirawat, termasuk dua di ICU.
Pengarah hospital, Dr Pradono Handojo, berkata hampir dua pertiga pesakit mengalami masalah pendengaran akibat kekuatan letupan.
“Mereka muda dan akan pulih dengan cepat secara fizikal, tetapi gangguan pendengaran dan trauma psikologi perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Menteri Sosial, Syaifullah Yusuf, yang melawat hospital pada 9 November memaklumkanpemerintah akan menyediakan terapi trauma berterusan kepada pelajar.
Sesi pemulihan akan diadakan di hospital, di sekolah, dan juga di rumah pelajar,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pelajar yang terjejas sudah mula bercerita mengenai pengalaman mereka semasa kejadian, satu petanda positif ke arah pemulihan mental.
Dalam kalangan pelajar, mereka menceritakan bagaimana suasana bertukar huru-hara sejurus letupan bergema di dalam kawasan sekolah.
Pelajar berpakaian seragam batik ungu-hitam berlari keluar dalam keadaan cemas, ada yang menjerit, ada yang menangis mencari rakan masing-masing.
Bau asap masih kuat menyelubungi udara, sementara azan Jumaat yang belum sempat tamat bertukar menjadi jeritan meminta tolong.
Ibu bapa bergegas ke pintu pagar sekolah, sebahagiannya menangis ketakutan, memanggil nama anak-anak mereka di tengah-tengah kekacauan.
Penduduk sekitar turut berlari masuk, membantu menenangkan pelajar yang ketakutan, ada yang menggigil, ada yang masih terpinga-pinga dengan telinga berdengung akibat dentuman.
Tidak lama kemudian, pasukan pemeriksa bom dan anggota bomba tiba di lokasi dengan siren memecah kesunyian.
Mereka segera mengepung kawasan dan menyisir setiap sudut bangunan bagi memastikan tiada lagi bahan letupan tertinggal. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg