Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan pelajar cedera dalam dua letupan di sekolah menengah di Jakarta Utara

Nov 7, 2025 | 4:25 PM
Letupan dilaporkan berlaku di dalam masjid yang terletak dalam kawasan Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72) di kompleks perumahan Tentera Laut, Kelapa Gading, Jakarta Utara.
Letupan dilaporkan berlaku di dalam masjid yang terletak dalam kawasan Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72) di kompleks perumahan Tentera Laut, Kelapa Gading, Jakarta Utara. - Foto WhatsApp

Puluhan pelajar cedera dalam dua letupan yang berlaku di sebuah sekolah menengah awam di Jakarta Utara pada tengah hari 7 November.

Letupan itu berlaku di dalam masjid yang terletak di kawasan Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72), yang berada dalam kompleks perumahan Tentera Laut di Kelapa Gading, Jakarta Utara.

Polis Jakarta memaklumkan sekurang-kurangnya 50 orang cedera dengan tahap kecederaan berbeza dan telah dikejarkan ke dua hospital berdekatan. Tiada laporan kematian setakat ini.

Metro TV melaporkan letupan berlaku sekitar 12.09 tengah hari dan 12.30 tengah hari, ketika pelajar serta kakitangan sedang menunaikan solat Jumaat, namun beberapa saksi mendakwa mendengar letupan ketiga.

Jurucakap unit antikeganasan Densus 88 Polis Negara, Encik Mayndra Eka Wardhana, mengesahkan kejadian itu kepada Berita Harian. “Kami masih menyiasat sama ada kejadian ini mempunyai kaitan dengan keganasan,” katanya.

Laporan awal menunjukkan letupan mungkin berpunca daripada sistem pembesar suara di dalam masjid, namun polis masih belum mengesahkan punca sebenar kejadian.

Ketua Polis Jakarta, Mejar Jeneral Asep Edi Suheri, berkata dalam sidang media yang disiarkan secara langsung bahawa kawasan kejadian telah dikawal sepenuhnya, manakala pegawai forensik dari Pusat Makmal Forensik Polis Negara serta unit pemusnah bom sedang menjalankan siasatan di lokasi.

Pihak polis di tempat kejadian juga telah menahan seorang individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan letupan tersebut dan merampas sepucuk senapang patah serta sepucuk pistol.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg