JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto, mengejutkan banyak pihak pada 31 Julai apabila memberikan pengampunan kepada dua tokoh politik utama – bekas Menteri Perdagangan, Encik Tom Lembong, dan Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik Hasto Kristiyanto
Pengampunan itu diluluskan tanpa liputan meluas selepas rundingan antara pemerintah dengan wakil parti di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), dalam satu proses yang berlangsung di sebalik tabir dan jarang mendapat perhatian umum.
Encik Tom, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun enam bulan kerana kes rasuah berkaitan import gula dan sedang menunggu proses rayuan, menerima pengampunan dalam bentuk pembatalan pendakwaan – satu mekanisme berperlembagaan yang menghentikan prosiding jenayah yang sedang berjalan.
Sementara itu, Encik Hasto Kristiyanto, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan pada 26 Julai lalu kerana kes rasuah berkaitan pelantikan sementara anggota DPR pada 2019, melibatkan tokoh PDI-P Harun Masiku, telah menerima pengampunan dalam bentuk pemansuhan hukuman.
Timbalan Speaker DPR, Encik Sufmi Dasco Ahmad, mengumumkan keputusan itu bersama Menteri Undang-undang, Encik Supratman Andi Agtas, di Kompleks Parlimen Senayan.
“Presiden telah mengemukakan surat permohonan pembatalan pendakwaan untuk Tom Lembong dan satu lagi permintaan pemansuhan hukuman bagi 1,116 pesalah lain termasuk Hasto Kristiyanto,” kata Encik Sufmi seperti yang dipetik Kompas.com.
Encik Supratman menyatakan bahawa beliau mencadangkan pengampunan itu atas dasar kepentingan negara dan penyatuan politik.
Beliau turut menegaskan sumbangan kedua-dua tokoh itu kepada negara harus dipertimbangkan dalam membuat keputusan.
“Ini bukan soal individu, tetapi demi Republik. Kedua-duanya telah berkhidmat kepada negara dan kini kita perlu memperkukuh perpaduan nasional,” katanya kepada wartawan.
Pihak Pejabat Peguam Negara (AGO) menyatakan bahawa pihaknya akan mengkaji keputusan pengampunan itu, memandangkan proses rayuan masih dijalankan.
“Kami baru mengetahui keputusan DPR. Kami akan mengkajinya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi,” kata jurucakap AGO, Encik Anang Supriatna.
Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) turut memberikan tindak balas serupa.
“Itu hak perlembagaan Presiden. Namun kami akan meneliti asas undang-undangnya secara terperinci,” ujar Ketua KPK, Encik Setyo Budiyanto.
Walaupun sah dari sudut perundangan, waktu pengumuman itu menimbulkan pelbagai spekulasi kerana ia berlaku serentak dengan proses politik yang sedang hangat diperdebat, termasuk cadangan pindaan undang-undang pilihan raya.
Ketika ini, satu perhimpunan besar PDI-P sedang berlangsung di Bali, dengan sebahagian pemimpin parti itu mengkritik usaha oleh gabungan propemerintah untuk membatalkan pilihan raya langsung bagi gabenor dan datuk bandar.
Speaker DPR, Puan Maharani, dalam taklimat teknikal telah menyeru ahlinya bersedia menghadapi “dinamik pembaharuan undang-undang pilihan raya”.
Analisis awal menyatakan bahawa keputusan membebaskan Encik Hasto, yang dikenali sebagai pengkritik vokal terhadap mantan Presiden Joko Widodo, mungkin merupakan strategi untuk meredakan ketegangan elit menjelang perbahasan besar di Parlimen.
Encik Supratman menjelaskan bahawa pengampunan Encik Hasto adalah sebahagian daripada pakej pemansuhan hukuman lebih besar melibatkan 1,116 pesalah daripada pelbagai kesalahan.
Ia termasuk pesalah kes hasutan tanpa senjata di Papua, penghinaan terhadap presiden, dan individu lanjut usia atau menghidap penyakit serius.
“Permintaan ini merupakan arahan langsung daripada Presiden Prabowo sejurus selepas saya dilantik sebagai Menteri Undang-undang,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 1,668 individu lagi dijangka menerima pengampunan dalam fasa kedua selepas selesai proses pengesahan dan ujian awam yang dijalankan oleh kementeriannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg