Prabowo: Indonesia perlu pendekatan ‘autoritarian’ untuk perangi rasuah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo: Indonesia perlu pendekatan ‘autoritarian’ untuk perangi rasuah

Feb 16, 2026 | 10:03 AM

Prabowo: Indonesia perlu pendekatan ‘autoritarian’ untuk perangi rasuah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Prabowo Subianto ketika berucap di majlis Tinjauan Ekonomi Indonesia 2026 di Auditorium Wisma Danantara Indonesia, Jakarta, pada 13 Februari 2026.
Presiden Prabowo Subianto ketika berucap di majlis Tinjauan Ekonomi Indonesia 2026 di Auditorium Wisma Danantara Indonesia, Jakarta, pada 13 Februari 2026. - Foto KANTOR STAF PRESIDEN

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto berkata Indonesia mungkin memerlukan pendekatan lebih tegas, malah “sedikit autoritarian”, bagi membanteras rasuah secara berkesan, sambil menegaskan komitmen pentadbirannya memperkukuh usaha antirasuah di semua peringkat pemerintah.

Dalam nada berseloroh, Encik Prabowo merujuk tuduhan bahawa beliau memimpin secara keras dan berkata pendekatan lebih ketat mungkin perlu bagi menentang mereka yang menyelewengkan kekayaan negara.

“Ada pihak mengadu kononnya Indonesia begini dan Prabowo autoritarian.

“Tetapi kalau ditanya rakyat, mungkin sedikit autoritarianisme diperlukan, sedikit sahaja, untuk melawan mereka yang korup,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu semasa acara Tinjauan Ekonomi Indonesia 2026 yang dihadiri pegawai pemerintah, ahli perniagaan dan diplomat asing pada 13 Februari dan dilaporkan oleh The Jakarta Post pada 15 Februari.

Walaupun kenyataan itu mencetuskan perhatian, Encik Prabowo menegaskan beliau kekal komited kepada sistem demokrasi.

“Saya sepenuhnya demokratik... Kalau tiada demokrasi, saya tidak akan menjadi Presiden,” katanya sambil ketawa dan merujuk kehadiran wartawan serta duta Barat.

Bekas jeneral tentera itu turut berikrar mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan manipulasi dalam pentadbiran.

“Kita mesti menjadi Indonesia baru dengan birokrasi bersih dan bertanggungjawab. Rasuah masih berleluasa dan mesti dihapuskan dari bumi Indonesia,” tambahnya.

Beliau turut menekankan jaminan undang-undang dan mengingatkan bahawa keputusan mahkamah tidak wajar dijadikan alat untuk menyerang lawan politik.

Sejak lebih setahun memegang jawatan, Encik Prabowo berulang kali menegaskan iltizamnya memerangi rasuah dan sanggup mengambil langkah tidak popular bagi melindungi sumber negara.

Tinjauan Indikator Politik Indonesia menunjukkan usaha antirasuah menjadi faktor utama kadar sokongan terhadap beliau sebanyak 79.9 peratus.

Sebanyak 17.5 peratus responden menyatakan tindakan tegas terhadap rasuah sebagai sebab utama menyokong pemerintah.

Tinjauan terhadap 1,220 responden pada 15 hingga 21 Januari mendapati 48.8 peratus menilai prestasi pemerintah memerangi rasuah sebagai “baik” atau “sangat baik”; sebanyak 15.7 peratus “sederhana”; dan 21.2 peratus “buruk” atau “sangat buruk”.

Angka itu meningkat berbanding Oktober 2025 apabila 44.7 peratus memberi penilaian positif, dan jauh lebih tinggi berbanding Oktober 2024 pada awal pentadbiran Encik Prabowo iaitu 31.7 peratus.

Kenyataan mengenai “sedikit autoritarianisme” turut mengundang reaksi daripada aktivis antirasuah.

Aktivis Pemantau Rasuah Indonesia, Encik Yassar Aulia, berkata perbincangan itu wajar dilihat sebagai peringatan tentang kepentingan mengekalkan prinsip tadbir urus demokratik dalam usaha memerangi rasuah.

“Pembanterasan rasuah yang berjaya tidak bergantung kepada retorik atau kepimpinan keras semata-mata.

“Sebaliknya, persekitaran bebas rasuah lebih kukuh apabila disokong penyertaan awam dan ketelusan, dua unsur penting dalam demokrasi,” katanya.

Beliau menambah, komitmen antirasuah akan lebih meyakinkan sekiranya disertai penglibatan masyarakat serta mekanisme semak dan imbang yang berkesan.

Perbincangan timbul ketika kedudukan Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 terbitan Ketelusan Antarabangsa menurun 10 anak tangga ke tangga 109 dari 182 negara.

Skor negara itu berkurang daripada 37 pada 2024 kepada 34 dalam tahun pertama penuh pentadbiran Encik Prabowo, masih di bawah purata sejagat iaitu 42.

Ketelusan Antarabangsa Indonesia menyatakan dapatan tersebut boleh menjadi dorongan untuk memperkukuh mutu kepimpinan demokratik, meningkatkan keberkesanan institusi pengawasan serta memperluas ruang sivik dan kebebasan kehakiman.

Setiausaha Agung Ketelusan Antarabangsa Indonesia, Encik Danang Widoyoko, berkata usaha membanteras rasuah akan lebih berkesan apabila kebebasan media dan penyertaan masyarakat terus diperkasa.

“Pengukuhan institusi kehakiman dan keseimbangan kuasa akan meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem,” katanya.

“Memerangi rasuah memerlukan pengukuhan demokrasi, peluasan ruang sivik dan kebebasan kehakiman.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg