JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto menegaskan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai pemimpin autoritarian dan secara terbuka menyatakan keterbukaannya terhadap kritikan.
Bercakap ketika acara di ibu pejabat Polis Nasional Republik Indonesia (Polri) di Jakarta pada 29 Oktober, Encik Prabowo berkata beliau sering menghabiskan malam dengan menonton podcast termasuk yang mengkritik gaya kepimpinannya.
“Saya selalu menonton podcast pada waktu malam, dan kadangkala saya berasa terganggu, tetapi saya ambil nota (terhadap kritikan),” ujar beliau. “Adakah benar saya benar-benar autoritarian? Saya tidak percaya begitu,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa kritikan sebenarnya perlu untuk memastikan pemimpin tidak tersalah langkah. “Kritikan itu baik untuk mencegah pemimpin daripada melakukan kesilapan,” kata beliau, sambil menggesa generasi akan datang agar tidak takut akan kritikan atau fitnah.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo mengakui bahawa serangan dalam talian kadangkala menyebabkan beliau berasa tidak selesa. “Saya suka menonton podcast pada malam hari, kadangkala saya naik angin, tertanya-tanya, ‘Apa ini?’” katanya. Namun beliau menegaskan beliau memilih untuk melihat kritikan ini sebagai peluang untuk memperkukuh dirinya. “Apabila anda difitnah, itu bermakna orang memberi perhatian kepada anda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa seorang guru pernah mengajarnya bahawa kritikan harus dilihat sebagai petanda bahawa “orang menyedari akan anda atau bahkan merasa terancam oleh anda.” “Kepada mereka yang mahu menjadi presiden: jangan takut akan fitnah, tetapi jadilah presiden yang betul,” tambah Encik Prabowo.
Walaupun beliau cuba merendah diri dalam menghadapi kritikan, pentadbirannya tetap berhadapan dengan pengawasan yang meningkat. Antara isu terbesar ialah program makanan percuma “MBG” yang direka untuk menyediakan makanan kepada 80 juta pelajar dan wanita hamil tetapi dikritik sebagai beban bajet ketika ekonomi negara menghadapi cabaran.
Selain itu, kabinet “Merah Putih” yang dibentuk Encik Prabowo turut diselar kerana didakwa ‘terlalu gemuk’ dan lebih bersifat percaturan kuasa politik daripada kecekapan pentadbiran.
Aktiviti ketenteraan dan keselamatan yang semakin melibatkan tentera dalam urusan awam juga menimbulkan kebimbangan antaranya daripada kumpulan hak asasi manusia. Mereka memberi amaran bahawa Indonesia mungkin kembali kepada era autoritarian seperti di bawah pemerintahan era Suharto jika penglibatan tentera dalam kerajaan tidak dikekang.
Namun begitu, sambutan umum terhadap pentadbiran Prabowo masih agak kukuh. Satu tinjauan oleh Lingkaran Survei Indonesia (LSI) Denny JA pada Oktober 2025 menunjukkan kadar kepuasan rakyat terhadap prestasi beliau berada pada 74.8 peratus walaupun sedikit menurun berbanding awal tahun, ia masih dianggap positif.
“Walaupun tahap kepuasan telah menurun sejak Januari dan Jun 2025, mengekalkan kadar di atas 70 peratus adalah isyarat positif bagi pemerintah,” kata Pengarah Eksekutif LSI, Encik Adjie Alfarabi.
Pada masa sama, tinjauan oleh Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (Celios) menunjukkan bahawa antara pengundi yang memilih pasangan Prabowo-Gibran (Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka) pada pilihan raya 2024 lalu, hanya 643 daripada 976 responden berkata mereka akan memilihnya sekali lagi selepas menilai prestasi tahun pertama pentadbiran satu penurunan sebanyak 34 peratus. Celios menyimpulkan bahawa kemerosotan itu berpunca daripada kekecewaan terhadap prestasi ekonomi, tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang.
Ketegangan antara paparan keterbukaan Encik Prabowo terhadap kritikan dan realiti pemerintahan yang dipandang sesetengah pihak sebagai bergerak ke arah autoritarianisme membawa cabaran signifikan bagi demokrasi Indonesia. Sebagaimana Encik Prabowo mengungkap di bu pejabat Polri: “Kritikan itu baik. Namun dalam berkhidmat kepada negara, kita tidak boleh dibiarkan dibimbing oleh kemarahan atau dendam.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg