Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo lawat Russia, tidak sertai G7 di Canada

Jun 17, 2025 | 12:07 PM
Encik Vladimir Putin, Russia, Prabowo Subianto, Indonesia
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kiri), berjabat tangan dengan Prabowo Subianto, yang ketika itu merupakan Presiden Indonesia terpilih, pada 31 Julai 2024, dalam satu pertemuan rasmi di Kremlin, Moscow, Russia. Encik Prabowo dijadual bertemu semula dengan Encik Putin pada 18 Jun 2025 dalam lawatan sulungnya ke Russia sejak dilantik sebagai Presiden. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dijadual berangkat ke Russia pada 18 Jun untuk bertemu dengan Presiden Vladimir Putin dan menghadiri beberapa acara ekonomi penting, sekali gus mengetepikan jemputan menghadiri Sidang Puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Canada.

Menurut jurucakap Kementerian Luar, Encik Rolliansyah Soemirat, lawatan ke Russia itu dibuat atas undangan rasmi Presiden Putin sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Indonesia–Russia.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan perbincangan dua hala berkaitan isu serantau dan perkembangan sejagat terkini.

Encik Prabowo memulakan lawatannya pada Isnin, 16 Jun dengan singgah ke Singapura terlebih dahulu, sebelum dijadual tiba di Russia pada 18 Jun.

Dalam lawatan dua hari ke negara itu, beliau dijangka mengumumkan satu deklarasi peringkat tinggi serta menandatangani sekurang-kurangnya tiga Memorandum Persefahaman (MOU) melibatkan bidang pengangkutan, pendidikan tinggi dan ekonomi kreatif.

Turut dimasukkan dalam agenda rasmi ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF), salah satu acara ekonomi terpenting anjuran Russia.

Ia merupakan kunjungan rasmi pertama Encik Prabowo ke Russia dan Singapura sejak mengangkat sumpah sebagai presiden pada Oktober 2024.

Ketidakhadiran beliau di Sidang Kemuncak G7 yang berlangsung pada 17 Jun dijelaskan oleh Kementerian Luar sebagai satu keputusan berdasarkan komitmen terdahulu.

“Presiden sudah merancang lawatan ke Russia sejak tahun lalu (2024) dan telah berjanji melawat Singapura sebelum jemputan daripada Perdana Menteri Canada, (Encik) Mark Carney diterima,” jelas Encik Rolliansyah.

“Ketidakhadiran ini tidak seharusnya ditafsir semata-mata dari sudut kehadiran atau ketidakhadiran dalam acara, tetapi bagaimana sesuatu lawatan membawa manfaat besar kepada kepentingan nasional,” tambah beliau.

Lawatan Encik Prabowo itu dijangka menarik perhatian antarabangsa, khususnya dalam konteks arah dasar luar Indonesia di bawah kepimpinan baru.

Sebelum ini, semasa pentadbiran mantan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, Indonesia berusaha mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kuasa besar dunia.

Misalnya, Encik Jokowi mengekalkan undangan kepada Russia dalam Sidang Kemuncak G20 Bali 2022 meskipun mendapat tekanan pihakm Barat.

Penganalisis melihat keputusan Encik Prabowo menyertai Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) – blok ekonomi yang diasaskan oleh Russia dan China – kurang enam bulan selepas pertemuannya dengan Encik Putin pada 2024 sebagai petunjuk penentuan hala luar yang lebih bebas daripada pengaruh kuasa Barat.

Sewaktu pertemuan terdahulu di Moscow pada Julai 2024, Encik Prabowo menyatakan penghargaan terhadap peranan sejarah Russia dalam hubungan dua pihak dan menzahirkan iltizam memperkukuh kerjasama dua hala.

Encik Putin pula berjanji meningkatkan eksport pertanian Russia serta melabur dalam projek tenaga dan prasarana di Indonesia.

Langkah Encik Prabowo yang lebih condong kepada pelbagai pakatan sejagat tanpa menyebelahi satu kuasa tunggal dilihat sebagai kesinambungan pendekatan ‘kepentingan nasional sebagai keutamaan’.

Dalam kenyataannya sebelum ini, beliau berulang kali menegaskan bahawa Indonesia tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa asing, sebaliknya mengutamakan sistem antarabangsa yang lebih adil dan saksama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg