JAKARTA: Bakal Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata lawatannya menemui “rakan karib” Jakarta iaitu Moscow, bertujuan menyerlahkan bahawa sebagai pemimpin, beliau mahu mengeratkan hubungan dua hala, terutama dalam bidang pertahanan, tenaga nuklear dan pendidikan.
Encik Prabowo, yang merupakan Menteri Pertahanan Indonesia, tiba di Moscow dan bertemu rakan sejawatannya, Menteri Pertahanan Russia, Encik Andrei Belousov, sebelum ke Kremlin untuk bertemu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.
Lawatan itu dilakukan lebih dua bulan selepas beliau ke China untuk lawatan luar negara pertamanya selepas memenangi pilihan raya presiden pada Februari.
Kunjungan ke Beijing itu dilihat oleh penganalisis dalam konteks pelaburan besar China di Indonesia.
Presiden Putin menyifatkan Encik Prabowo sebagai, “rakan baik negara kita”, dalam peranannya sebagai menteri pertahanan.
Pada 2022, Encik Prabowo mengusulkan rancangan kontroversi berhubung menamatkan perang di Ukraine, yang diserang Russia. Ia kelihatan memihak pada Moscow.
Semasa ucapan di televisyen yang dikaitkan dengan perbincangannya dengan Encik Putin, Encik Prabowo menyebut tentang bantuan yang diberikan oleh pendahulu Russia, iaitu Soviet Union, kepada Indonesia ketika itu.
“Dan saya datang ke sini untuk menekankan bahawa saya ingin meningkatkan hubungan ini, apabila saya mengambil alih jawatan presiden Republik Indonesia secara rasmi pada Oktober,” katanya.
“(Kami) tidak boleh melupakan mereka yang membantu kami, dan saya mendapat kerjasama yang hebat sebagai menteri pertahanan, dengan menteri dan pasukan anda,” ujar Encik Prabowo. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg