JAKARTA: Tentera Indonesia akan mula mengeluarkan ubat-ubatan untuk edaran awam di bawah perjanjian baru, kata pegawai pada 22 Julai, dalam satu lagi peluasan peranan angkatan bersenjata dalam hal ehwal awam sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan.
Presiden Prabowo, bekas Menteri Pertahanan dan bekas komander pasukan khas, telah memperluas peranan tentera yang berkuasa itu dalam bidang awam sejak dilantik pada 2024 termasuk mengendalikan sebahagian besar projek utama beliau bagi menyediakan makanan percuma di sekolah.
Pada bulan Mac, Parlimen yang dikuasai gabungan pimpinan Encik Prabowo juga meluluskan pindaan kepada undang-undang tentera yang membenarkan lebih banyak jawatan awam disandang oleh anggota tentera, mencetuskan bantahan oleh kumpulan pelajar dan aktivis.
Langkah-langkah ini telah menghapuskan beberapa perlindungan yang diwujudkan selepas kejatuhan pemimpin autoritarian Suharto pada 1998 dan menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan kembalinya era di mana tentera dibenarkan menindas pihak yang menentang dan menguasai kehidupan awam.
Menteri Pertahanan Encik Sjafrie Sjamsoeddin menandatangani perjanjian dengan agensi makanan dan ubatan pada lewat 22 Julai yang membolehkan makmal yang dikendalikan oleh tentera darat, laut dan udara yang sebelum ini hanya membekalkan ubat kepada anggota tentera mula mengeluarkan ubat-ubatan untuk kegunaan awam.
“Kami sedang memikirkan cara untuk menurunkan harga lagi supaya kami boleh menyediakan ubat percuma,” kata Encik Sjafrie kepada pemberita.
Pengeluaran secara besar-besaran akan bermula pada Oktober dan ubat-ubatan itu akan diedarkan ke kampung-kampung di seluruh Indonesia pada harga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, katanya.
Penglibatan tentera dijangka dapat mengekang aliran ubat-ubatan haram dan memerangi ‘mafia’ dalam industri perubatan, kata Ketua Agensi Ubat Encik Taruna Ikrar.
Namun kumpulan hak asasi manusia berkata perjanjian itu tidak sah kerana melibatkan pegawai tentera yang sedang berkhidmat dalam jawatan perniagaan awam yang dilarang di bawah undang-undang tentera.
“Ini adalah petanda bagaimana pemerintah kini beralih kepada pemerintahan autoritarian,” kata Encik Usman Hamid dari Amnesty International Indonesia.
Pihak tentera dan pejabat Encik Prabowo tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Ubat-ubatan itu akan diedarkan oleh 80,000 koperasi yang disokong pemerintah dan dilancarkan oleh Prabowo pada 21 Julai, kata Encik Sjafrie.
Koperasi Prabowo ditubuhkan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menghapuskan peranan orang tengah dengan menyediakan perkhidmatan terus kepada orang ramai, termasuk memberikan pinjaman serta menjual ubat-ubatan dan makanan ruji.
Menteri pertahanan turut menandatangani satu lagi perjanjian dengan kementerian kesihatan untuk membina hospital yang dikendalikan oleh doktor dan jururawat tentera di kawasan konflik, termasuk wilayah Papua, yang telah lama berdepan pemberontakan tahap rendah menuntut kemerdekaan. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg