JAKARTA: Rancangan pemerintah Indonesia untuk menerbitkan buku sejarah baru dengan ‘memadamkan’ fakta tertentu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli akademik.
Ia berikutan kebimbangan peristiwa rusuhan berdarah pada 1998 yang sebahagian besarnya menyasarkan masyarakat Cina akan dikeluarkan daripada teks sejarah rasmi negara.
Penerbitan buku mengandungi 10 jilid sejarah itu diarahkan oleh pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, mantan jeneral yang pernah dituduh terbabit dalam penculikan aktivis semasa era pergolakan sebelum kejatuhan presiden kedua Indonesia, Suharto - satu dakwaan yang dinafikan beliau.
Perkara itu turut dibimbangi oleh sarjana sejarah kerana mungkin ada yang ambil kesempatan untuk menulis semula sejarah dan menyembunyikan pencabulan hak asasi yang pernah berlaku.
Bagaimanapun, ringkasan awal dan draf bab yang diperoleh AFP tidak menunjukkan sebarang perincian khusus mengenai keganasan 1998.
Sebaliknya, tumpuan diberi kepada era pemerintahan Suharto yang menyebut ‘demonstrasi mahasiswa menjadi satu faktor’ pengunduran beliau daripada tampuk kuasa.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan yang mengendalikan projek sejarah itu, Encik Fadli Zon, memberitahu ahli Parlimen minggu lalu bahawa peristiwa Mei 1998 ‘tidak dibincangkan kerana ia isu kecil’.
Buku itu juga dijangka tidak mengandungi kebanyakan kes ‘pencabulan hak asasi manusia berat’ yang pernah diakui oleh mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, pada 2023.
Namun, penyunting buku, Encik Jajat Burhanudin, menafikan kenyataan Encik Fadli dan kebimbangan yang timbul, dengan menjelaskan kepada AFP bahawa peristiwa 1998 akan dimasukkan dan draf yang dilihat hanyalah pencetus perbincangan.
“Jilid-jilid berkenaan mungkin dijadikan antara sumber utama bagi buku teks sejarah sekolah,” katanya walaupun belum jelas bagaimana kerajaan akan menggunakan buku-buku itu.
Pemerintah menjelaskan projek itu bertujuan memperkukuh identiti nasional Indonesia, namun pengkritik memberi amaran bahawa ‘memadamkan’ peristiwa penting akan menimbulkan persoalan terhadap objektiviti naratif sejarah itu.
Justeru, usaha untuk menyemak semula naratif sejarah itu terus menjadi tumpuan selepas menteri kebudayaan mempersoalkan sama ada benar kes rogol beramai-ramai berlaku menjelang kejatuhan Suharto.
Masyarakat Cina Indonesia adalah golongan paling terjejas dalam rusuhan 1998 itu, ketika kumpulan perogol yang dipercayai diketuai oleh samseng tentera berkeliaran di jalanan Jakarta.
Satu laporan penyiasatan khas pada 1998 yang ditugaskan oleh presiden pertama selepas kejatuhan Suharto merekodkan sekurang-kurangnya 52 kes rogol yang dilaporkan ketika rusuhan itu.
Kecaman terhadap projek sejarah ini mendorong beberapa ahli Parlimen pembangkang dan pengkritik menggesa supaya projek ini digantung atau dibatalkan sepenuhnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg