Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo mohon maaf tidak dapat lawat semua kawasan bencana di Sumatera

Jan 2, 2026 | 11:28 AM
Presiden Prabowo Subianto, kampung batu hulu, banjir sumatera utara
Presiden Prabowo Subianto (kiri) menyampaikan ucapan kepada mangsa yang dipindahkan semasa satu perhimpunan di pusat pemindahan di Kampung Batu Hula, Sumatera Utara, pada 1 Januari. - Foto INSTAGRAM PRABOWO SUBIANTO

ACEH TAMIANG: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memohon maaf kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera kerana tidak dapat melawat semua kawasan terlibat sejak krisis itu bermula pada November lalu.

Permohonan maaf itu dibuat susulan rungutan penduduk di beberapa daerah yang mempersoalkan ketidakhadiran Presiden di kawasan mereka.

“Saya menerima laporan daripada Menteri Dalam Negeri dan Gabenor bahawa ramai di daerah lain bertanya, ‘Mengapa Presiden belum datang?’” kata Encik Prabowo ketika menghadiri mesyuarat pengurusan bencana di Aceh Tamiang pada 1 Januari, menurut kenyataan Sekretariat Presiden.

Beliau menjelaskan beliau telah mengunjungi beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk terjejas, termasuk Tapanuli Selatan di Sumatera Utara dan Aceh Tamiang.

Namun, beliau mengakui kekangan masa dan logistik menghalangnya daripada berada di semua lokasi serentak.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat pergi ke semua kawasan,” katanya.

Menurut Encik Prabowo, pasukannya menasihati beliau supaya mendahulukan lawatan ke kawasan yang mempunyai keperluan paling mendesak.

Walaupun begitu, beliau mengakui setiap wilayah berdepan kesukaran yang sama berat.

“Setiap kawasan mengalami cabaran yang sukar. Insya-Allah, saya akan berusaha melawat kawasan yang mengalami kerosakan besar,” katanya.

Bencana besar yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,154 orang setakat 31 Disember 2025, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 527 kematian, diikuti Sumatera Utara dengan 365 orang, dan Sumatera Barat seramai 262 orang.

BNPB turut melaporkan seramai 165 orang masih hilang, termasuk 31 di Aceh, 60 di Sumatera Utara dan 74 di Sumatera Barat.

“Jumlah orang hilang keseluruhan ialah 165 orang,” kata Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi BNPB, Encik Abdul Muhari, dalam sidang media.

Bencana banjir dan tanah runtuh itu berlaku pada 26 November lalu apabila Taufan Tropika Senyar, fenomena luar biasa di kawasan khatulistiwa, melanda utara Sumatera.

Selain meragut nyawa dan memindahkan lebih 378,000 penduduk.

Bencana itu turut mencetuskan kebimbangan baru mengenai penebangan hutan, dengan kumpulan alam sekitar menyatakan kehilangan hutan berskala besar telah memburukkan kesan bencana tersebut.

Pada malam penutup tirai 2025, Encik Prabowo memilih untuk menyambut ambang tahun baru bersama ratusan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kampung Batu Hula, Tapanuli Selatan.

Tiada pertunjukan bunga api atau sambutan besar diadakan, sebaliknya acara sederhana yang menyaksikan Presiden menonton tayangan filem, menyanyi lagu kebangsaan dan menyaksikan persembahan tarian tradisional bersama mangsa.

Dalam ucapannya kepada penduduk, Encik Prabowo menyampaikan mesej ketabahan dan kebersamaan.

“Kita sedang menghadapi bencana dan banyak cabaran, tetapi kita mesti kekal kuat, ikhlas dan tabah. Yang paling penting, kita mesti bekerjasama dan menghadapi kesukaran ini bersama-sama,” katanya.

Beliau memuji usaha bantuan yang telah dijalankan sejak akhir November dan menyatakan keyakinan terhadap proses pemulihan yang sedang berjalan.

“Di kebanyakan kawasan Sumatera Utara, keadaan sudah menunjukkan peningkatan. Daripada puluhan kampung yang terjejas sebelum ini, kini hanya sekitar lima yang masih terputus hubungan,” katanya.

Encik Prabowo turut meminta mangsa mempercayai pentadbirannya dan memberi jaminan bahawa pemerintah tidak akan meninggalkan mereka.

“Negara tidak akan berpaling daripada rakyatnya,” katanya.

Dalam nada lebih berhati-hati, Encik Prabowo mengingatkan bahawa bencana alam akan sentiasa menjadi ancaman, dan menegaskan keperluan untuk menjaga alam sekitar.

“Sebab itu kita mesti menghormati alam, melindungi dan menjaganya, serta tidak merosakkannya. Kita mesti sentiasa berwaspada kerana alam sering menguji kita,” katanya.

Beliau turut berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar, termasuk menarik balik lesen operasi.

“Syarikat yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan akan kehilangan lesen mereka. Semua sekali,” tegasnya.

Susulan bencana itu, pemerintah telah membatalkan permit penggunaan hutan milik 22 syarikat, termasuk syarikat perladangan sawit dan perlombongan.

“Pada 2026, kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak demi melindungi kepentingan negara, negeri dan rakyat,” kata Encik Prabowo.

Pada pagi Tahun Baru, selepas bermalam di Batang Toru, Encik Prabowo berlepas ke Aceh Tamiang untuk meninjau tapak pembinaan rumah bagi mangsa bencana.

Dana pelaburan negara, Danantara, membiayai pembinaan 600 rumah di seluruh Sumatera, dengan sasaran penyerahan kepada pihak berkuasa tempatan pada 8 Januari.

Dana itu turut merancang untuk membina sehingga 15,000 rumah dalam tempoh tiga bulan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal di tiga wilayah terjejas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg