SPH Logo mobile
Langgan|

Prabowo teruskan lawatan ke China sedang bantahan reda

Prabowo teruskan lawatan ke China sedang bantahan reda

Sep 3, 2025 | 1:38 PM

Prabowo teruskan lawatan ke China sedang bantahan reda

Prabowo Subianto, indonesia, riot
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, terpaksa membatalkan beberapa insentif Anggota Parlimen berikutan bantahan yang disertai dengan keganasan di beberapa wilayah di negaranya. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, melawat China bagi menghadiri perarakan tentera sempena memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 3 September, setelah awalnya membatalkannya ekoran bantahan besar-besaran sejak 25 Ogos.

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu telah digegarkan oleh bantahan bertukar kepada rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang maut.

Rumah beberapa Anggota Parlimen (AP) telah digeledah dan beberapa bangunan pemerintah juga dibakar.

Bantahan itu mulanya dicetuskan oleh kemarahan orang ramai terhadap kadar gaji dan elaun perumahan tinggi yang dinikmati AP negara itu.

Encik Prabowo terpaksa membatalkan beberapa insentif selepas bantahan tersebut.

Menteri Sekretariat Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata pemimpin Indonesia itu telah berlepas ke China pada petang 2 September dan akan kembali sehari kemudian.

“Hari ini, beliau memantau keadaan dan menerima laporan daripada semua pegawai bahawa kehidupan awam secara beransur-ansur telah kembali normal,” kata Encik Prasetyo.

Encik Prabowo dan rakan sejawatan daripada China, Encik Xi Jinping, dijangka bertemu bagi perbincangan lanjut semasa lawatan itu, katanya.

Perhimpunan bantahan di Indonesia telah menjadi lebih reda pada hari-hari kebelakangan ini selepas faedah para AP telah dibatalkan dengan tentera pula dikerahkan ke ibu kota pada 1 September sebagai menunjuk ketegasan pemerintah Indonesia.

Bercakap dalam sidang akhbar di Istana Presiden dan diapit pemimpin pelbagai parti politik pada 31 Ogos, Encik Prabowo berkata beliau telah mengarahkan tentera dan polis mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak.

“Pemimpin di Parlimen bersetuju membatalkan beberapa dasar Parlimen, termasuk jumlah elaun untuk AP dan moratorium perjalanan kerja ke luar negara,” ujar Encik Prabowo.

Di perarakan tentera China itu, Encik Prabowo menyertai lebih daripada 25 pemimpin, termasuk pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, yang menghadiri perarakan pada 3 September yang berpusat di Dataran Tiananmen Beijing.

Encik Xi mengundang Encik Prabowo untuk menyaksikan China mempamerkan kehebatan ketenteraannya, dengan perbarisan tentera terbang lalu dan peralatan pertahanan berteknologi tingginya.

Berjuta-juta rakyat Cina terbunuh semasa perang yang berpanjangan dengan tentera Jepun pada 1930-an dan 1940-an, yang menjadi sebahagian daripada konflik global berikutan serangan Tokyo terhadap Pearl Harbour di Amerika Syarikat pada 1941.

Indonesia mengekalkan dasar luar neutral dengan menjalin hubungan diplomatik yang kuat dengan Washington dan Beijing.

Encik Prabowo juga berjanji untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama pertahanan dengan China. – AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg