Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram makanan percuma Indonesia masuk fasa kritikal susulan kontroversi dan isu tadbir urus
Program makanan percuma Indonesia masuk fasa kritikal susulan kontroversi dan isu tadbir urus
Program makanan percuma Indonesia masuk fasa kritikal susulan kontroversi dan isu tadbir urus
JAKARTA: Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) Indonesia kini memasuki fasa paling mencabar apabila pemerintah memberi tumpuan kepada isu mutu, tadbir urus dan keyakinan awam.
Ini menyusuli pelbagai kontroversi termasuk isu keselamatan makanan dan kes rasuah yang mencetuskan perhatian nasional.
Jurucakap Badan Gizi Nasional (BGN) Indonesia, Cik Dian Fatwa, berkata cabaran sebenar program terbesar pemerintah itu bukan lagi soal peluasan jangkauan, sebaliknya bagaimana memastikan pelaksanaan berjalan secara telus, berkesan dan mampan.
“Melancarkan sebuah program berskala besar memang sukar, tetapi mengekalkan mutu, kebertanggungjawaban dan keyakinan awam jauh lebih sukar,” katanya dalam wacana terbitan akhbar dalam talian Indonesia, Jakarta Globe, pada 16 Jun.
Menurut beliau, banyak kritikan terhadap program MBG sebenarnya berpunca daripada isu sama iaitu tadbir urus.
“Jika semua kontroversi dan tajuk utama diketepikan, sebahagian besar kritikan akhirnya kembali kepada satu isu utama iaitu tadbir urus,” katanya.
Program MBG yang menjadi antara agenda utama pemerintah Presiden Prabowo Subianto sebelum ini berkembang dengan sangat pantas bagi menangani masalah pemakanan melibatkan jutaan kanak-kanak dan keluarga di Indonesia.
Namun, kepantasan itu kini membawa persoalan baharu apabila pemerintah perlu memastikan mutu pelaksanaan dapat dikekalkan dalam keadaan kewangan negara yang semakin mencabar.
Cik Dian berkata BGN kini memasuki fasa baharu yang memberi lebih perhatian kepada keberkesanan operasi berbanding pembukaan lebih banyak prasarana.
“Jangkauan bukan lagi satu-satunya ukuran kejayaan. Mutu, pemantauan dan kebertanggungjawaban kini menjadi sama penting,” katanya.
Menurut beliau, pemerintah kini memberi tumpuan lebih besar kepada golongan paling berisiko seperti wanita hamil, ibu menyusu, kanak-kanak bawah lima tahun serta masyarakat di kawasan pedalaman dan kurang mendapat kemudahan asas.
Pada masa sama, BGN mula meneroka kerjasama dengan syarikat swasta, badan kebajikan, yayasan dan pertubuhan sosial bagi membantu memperluaskan penyampaian bantuan di kawasan sukar diakses.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab memenuhi keperluan pemakanan rakyat tetap terletak di bawah pemerintah.
“Kerjasama ini bertujuan memperkukuh penyaluran perkhidmatan terutama di kawasan yang masih menghadapi cabaran geografi,” katanya.
Beliau turut mengakui beberapa pelarasan dasar terkini memberi kesan kepada syarikat, koperasi dan masyarakat tempatan yang sudah melaburkan sumber, tenaga kerja dan kemudahan bagi menyokong program MBG.
Menurutnya, keyakinan pelabur dan pihak berkepentingan bukan sahaja bergantung kepada dana, malah kepastian terhadap hala tuju dasar pemerintah.
“Tadbir urus yang kukuh bukan sekadar mencegah salah laku. Ia juga mewujudkan kejelasan, ketekalan dan keyakinan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurut Cik Dian, MBG kini bukan lagi sekadar program pemakanan semata-mata kerana ia sudah berkembang menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang lebih besar.
Di sebalik setiap hidangan makanan, tambahnya, terdapat rangkaian panjang melibatkan petani, nelayan, penternak, peniaga pasar, koperasi, perusahaan milik desa, pengendali logistik, pengusaha dapur dan ribuan perusahaan kecil lain.
“Di banyak wilayah Indonesia, MBG kini menjana kegiatan ekonomi yang jauh melangkaui penerima makanan itu sendiri,” katanya.
Program tersebut ujar beliau, kini menyokong satu ekosistem ekonomi yang besar dan sebab itu perdebatan bukan lagi mengenai sama ada MBG perlu diteruskan atau dihentikan.
“Cabaran sekarang ialah bagaimana memperkukuh pelaksanaan sambil mengekalkan perkhidmatan kepada penerima manfaat dan memastikan kegiatan ekonomi yang sudah mula terbentuk terus berkembang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa program berskala besar sememangnya terdedah kepada risiko lebih rumit apabila melibatkan rantaian bekalan lebih panjang, kos besar dan jumlah pihak berkepentingan yang ramai.
Menurut beliau, institusi yang kukuh tidak boleh bergantung semata-mata kepada integriti individu tetapi perlu mempunyai sistem yang mampu mengesan risiko dan membetulkan kelemahan sebelum menjadi krisis besar.
Beliau turut menekankan kepentingan struktur kepimpinan baharu BGN yang disifatkan memiliki gabungan pengalaman dalam pengurusan operasi, logistik berskala besar dan pengawasan sektor awam.
Program MBG yang menjadi antara agenda utama pemerintah Encik Prabowo sebelum ini turut berdepan pelbagai kontroversi termasuk isu keracunan makanan, kelemahan pengawasan pengagihan makanan serta siasatan rasuah yang mencetuskan perhatian besar masyarakat Indonesia.
Kontroversi semakin memuncak selepas pihak berkuasa menahan bekas BGN, Dadan Hindayana, dalam siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan pengurusan dan perolehan program MBG.
Kes berprofil tinggi itu mencetuskan persoalan mengenai ketelusan pengurusan program serta kemampuan institusi terbabit mengendalikan projek berskala besar yang melibatkan dana awam dan rangkaian bekalan makanan di seluruh Indonesia.
Beberapa kes keselamatan makanan yang berlaku di beberapa wilayah turut meningkatkan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kawalan mutu dan pemantauan program tersebut.
Pelantikan Cik Agustina Arumsari, sebagai Timbalan Ketua BGN juga dilihat sebagai usaha memperkukuh aspek tadbir urus, kawalan dalaman dan perlindungan institusi.
Laporan itu muncul ketika pemerintah Indonesia berusaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap program MBG susulan beberapa kontroversi termasuk isu keselamatan makanan dan siasatan rasuah yang membabitkan pengurusan program berkenaan.
Walaupun mengakui pelbagai kesilapan berlaku, Cik Dian berkata apa yang lebih penting ialah sama ada pengalaman tersebut mampu menghasilkan pembaharuan lebih kukuh.
“Apa yang penting sekarang ialah sama ada pengajaran daripada kesilapan ini mampu menghasilkan tadbir urus lebih baik, kebertanggungjawaban lebih jelas dan pelaksanaan lebih berdisiplin,” katanya.
Menurut beliau, transformasi sebenar sesebuah institusi tidak diukur berdasarkan individu yang memegang jawatan tetapi sama ada institusi itu menjadi lebih cekap, lebih bertanggungjawab dan lebih mampu berkhidmat kepada rakyat.
Penganalisis melihat MBG sebagai antara projek sosial dan ekonomi terbesar Indonesia ketika ini kerana ia bukan sahaja menyasarkan isu pemakanan malah, turut mempengaruhi ekonomi tempatan, peluang pekerjaan dan pembangunan masyarakat di pelbagai wilayah negara itu.
Mereka berpendapat kejayaan jangka panjang program tersebut bergantung kepada kemampuan pemerintah memperkukuh pengawasan, meningkatkan ketelusan dan memastikan pengurusan dana dilakukan secara lebih berdisiplin. – Agensi berita.
