JAKARTA: Pejabat Peguam Negara (AGO) telah membuka siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam projek perolehan Chromebook Kementerian Pendidikan bernilai 10 trilion rupiah ($790 juta).
Projek itu dirancang untuk menyokong pendigitalan sekolah di seluruh Indonesia antara 2019 hingga 2023.
Jurucakap AGO, Encik Harli Siregar, berkata pada 26 Mei bahawa perolehan besar-besaran itu melibatkan ribuan komputer riba Chromebook untuk sekolah awam di seluruh negara.
Namun, banyak peranti tersebut didapati tidak berfungsi dengan baik, terutama di kawasan yang kekurangan capaian Internet yang stabil.
“Terdapat petunjuk kuat berlakunya konspirasi dalam proses perolehan ini,” kata Encik Harli dalam satu sidang media di Jakarta.
“Kira-kira 1,000 Chromebook pernah diuji dan menunjukkan prestasi yang buruk, tetapi perolehan itu masih diteruskan,” tambah beliau.
Chromebook sangat bergantung kepada sambungan Internet yang stabil untuk beroperasi dengan baik.
Namun, hal ini menjadi masalah di banyak kawasan pedalaman Indonesia yang kekurangan infrastruktur Internet.
Encik Harli menjelaskan: “Membelanjakan wang rakyat yang begitu besar untuk peranti yang tidak memenuhi keperluan sebenar pelajar adalah sesuatu yang membimbangkan.”
Beliau menambah bahawa wujud kemungkinan berlaku manipulasi dan unsur paksaan dalam proses perolehan tersebut, yang akhirnya mengakibatkan pembaziran besar dana negara.
Oleh itu, AGO kini sedang memanggil beberapa pegawai pemerintah dan wakil syarikat swasta yang terlibat untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan lanjut.
Encik Harli bagaimanapun enggan menamakan individu atau syarikat tertentu yang terlibat pada peringkat ini.
Perolehan ini dilaksanakan semasa Encik Nadiem Makarim menjawat Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Namun, selepas Presiden Prabowo Subianto mengangkat sumpah pada Oktober 2024, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi telah disusun semula menjadi beberapa entiti yang lebih khusus.
Encik Harli menjelaskan bahawa pasukan penyiasat di bawah Timbalan Peguam Negara untuk Jenayah Khas (Jampidsus) sedang melakukan kajian teknikal bagi menyiasat kemungkinan konspirasi antara beberapa pihak dalam projek ini.
“Kajian teknikal ini diarahkan untuk melihat penggunaan komputer riba berasaskan sistem operasi Chrome,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Antara pada 26 Mei.
Pasukan teknikal sebenarnya telah mencadangkan supaya digunakan spesifikasi komputer riba yang menggunakan sistem operasi Windows.
Namun, pada waktu itu, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan menolak hasil kajian tersebut dan menggantikannya dengan kajian baru yang tetap mencadangkan penggunaan sistem operasi Chrome.
Dari sudut perbelanjaan, Ketua Pusat Penerangan Hukum (Kapuspenkum) AGO berkata bahawa perolehan ini melibatkan dana sekitar 9.982 trilion rupiah, yang terdiri daripada 3.582 trilion rupiah dana unit pendidikan (DSP) dan kira-kira 6.399 trilion rupiah daripada dana peruntukan khas (DAK).
Selepas menemui petunjuk tersebut, Jampidsus meningkatkan status kes ini daripada tahap penyelidikan kepada penyiasatan pada 20 Mei.
“Kami akan memastikan siasatan ini dilakukan secara telus dan bertanggungjawab,” tegas Encik Harli. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg