JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto, menyeru anggota Kabinet Merah Putih yang baru dilantik agar segera bersedia melancarkan program utama pentadbirannya.
Dalam mesyuarat pleno pertama yang berlangsung di Istana Negara, Jakarta, pada 23 Oktober, Encik Prabowo dengan tegas menyatakan bahawa mereka yang tidak menyokong daya usaha beliau seharusnya menarik diri daripada pemerintah.
Disertai oleh Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, Encik Prabowo mengarahkan menteri dan pegawai pemerintah agar mempercepat persiapan pelancaran program makanan berkhasiat percuma (MBG) di sekolah seluruh negara menjelang Januari 2025.
“Saya tidak kata ia boleh diselesaikan dalam seminggu, dua minggu atau tiga bulan. Tetapi kita boleh mengira, mengurus, memperuntukkan dana dan menggerakkan sumber. Kita akan capai sasaran yang telah kita tetapkan,” ujar Encik Prabowo.
Beliau turut menekankan kepentingan program makanan berkhasiat itu dalam usaha “menghidupkan kembali Indonesia”.
Encik Prabowo menyatakan keyakinannya bahawa program itu adalah langkah strategik untuk membantu kanak-kanak dan ibu hamil.
Beliau juga memberi amaran bahawa mana-mana pegawai yang tidak menyokong visi tersebut harus segera meninggalkan pentadbiran.
“Saya mempertaruhkan kepimpinan saya untuk program ini. Saya percaya makanan berkhasiat adalah strategik. Jika tidak sokong, sila tinggalkan pentadbiran yang saya pimpin,” tegasnya.
Pada hari sebelumnya, selepas mengangkat sumpah, Encik Prabowo melantik seramai 109 anggota Kabinet, termasuk 48 menteri, 56 timbalan menteri dan lima ketua agensi peringkat kementerian.
Ini menjadikan Kabinet beliau yang terbesar sejak pentadbiran Presiden Sukarno pada 1966.
Komposisi Kabinet itu melibatkan gabungan penyokong setia Encik Prabowo serta beberapa mantan pegawai dari pentadbiran mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang juga merupakan bapa Naib Presiden Encik Gibran.
Langkah Encik Prabowo untuk membentuk Kabinet besar itu mengundang kritikan dan spekulasi, dengan sesetengah pihak mendakwa ia sebagai usaha memberi ganjaran politik kepada penyokong setianya.
Pemerhati juga bimbang bahawa saiz Kabinet yang besar boleh menambah beban kepada belanjawan negara dan memperlambat proses birokrasi.
Encik Prabowo mempertahankan keputusannya, dengan mengatakan bahawa selagi Kabinet itu berfungsi dengan cekap, saiznya “tidak sepatutnya menjadi masalah” bagi negara sebesar Indonesia.
Selain itu, Encik Prabowo juga meminta Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, dan menteri lain mengurangkan kos yang tidak perlu, termasuk mengurangkan kegiatan upacara, perjalanan luar negara dan perhimpunan yang tidak penting.
Beliau menekankan keperluan penggunaan belanjawan negara dengan lebih berkesan.
Di samping itu, Encik Prabowo turut menyeru reformasi birokrasi, dengan memberi arahan kepada menterinya supaya menghapuskan kerenah birokrasi yang melambatkan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita harus jujur bahawa birokrasi kita terkenal dengan sifatnya yang rumit dan lambat. Mereka yang tidak patuh dan tidak bekerja keras, keluarkan mereka segera,” tambah beliau.
Dalam usaha untuk memperkuat semangat berpasukan, Encik Prabowo turut mengumumkan bahawa Kabinet akan mengadakan rahat selama empat hari bermula 24 Oktober di Akademi Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Magelang, Jawa Tengah.
Kegiatan itu akan melibatkan latihan membina pasukan dan kerjasama. Semua anggota Kabinet akan tidur dalam khemah serta menjalani pelbagai aktiviti bagi membangun pasukan.
Encik Prabowo menekankan bahawa kerjasama dan perpaduan adalah penting untuk memastikan kejayaan pentadbirannya dalam lima tahun akan datang.
Pemilihan lokasi di Magelang juga simbolik, memandangkan bandar tersebut adalah tempat bersejarah Pangeran Diponegoro, tokoh Muslim Jawa, berjuang melawan tentera kolonial Belanda antara1825 dengan 1830. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg