Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rampasan wang rasuah sawit 13 trilion rupiah dikembali kepada negara

Oct 21, 2025 | 1:19 PM
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (tengah), berbincang dengan beberapa pegawai kanan termasuk Peguam Negara Sanitiar Burhanuddin (dua dari kanan); Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin (tiga dari kiri) dan Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa (kiri), di sisi longgokan wang kertas rupiah Indonesia bernilai bersamaan lebih AS$800 juta ($1.04 bilion) di bangunan Pejabat Peguam Negara, semasa majlis penyerahan aset daripada kes rasuah kemudahan eksport minyak sawit mentah (CPO) di Jakarta pada 20 Oktober.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (tengah), berbincang dengan beberapa pegawai kanan termasuk Peguam Negara Sanitiar Burhanuddin (dua dari kanan); Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin (tiga dari kiri) dan Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa (kiri), di sisi longgokan wang kertas rupiah Indonesia bernilai bersamaan lebih AS$800 juta ($1.04 bilion) di bangunan Pejabat Peguam Negara, semasa majlis penyerahan aset daripada kes rasuah kemudahan eksport minyak sawit mentah (CPO) di Jakarta pada 20 Oktober. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan undang-undang akan terus mengatasi kepentingan perniagaan yang korup selepas pemerintah secara rasmi menerima semula 13.2 trilion rupiah ($1.06 bilion) hasil rampasan daripada kes rasuah eksport minyak sawit mentah (CPO) berprofil tinggi melibatkan tiga syarikat gergasi, Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group.

Berucap di Pejabat Peguam negara (AGO), Jakarta Pusat, pada 20 Oktober, Encik Prabowo menyifatkan kes rasuah berkenaan sebagai bentuk “sabotaj ekonomi” yang menggugat kepentingan negara dan menjejas kemajuan nasional.

“Kesalahan mereka bukan kecil. Ini bukan sekadar soal wang, ia soal maruah negara.

“Jika perniagaan tamak fikir boleh menipu negara besar seperti Indonesia, sudah tiba masanya mereka tahu undang-undang lebih kuat daripada mereka,” tegas beliau.

Upacara penyerahan wang rampasan disaksikan oleh Encik Prabowo sendiri, bersama Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa; dan Peguam Negara, Encik Sanitiar Burhanuddin.

Daripada jumlah keseluruhan, 2.4 trilion rupiah dipamerkan dalam bentuk tunai di dewan AGO sebagai lambang ketegasan negara menentang rasuah korporat.

Menurut Encik Burhanuddin, jumlah yang dipulangkan masih belum penuh, dengan sekitar 4 trilion rupiah lagi akan dibayar secara ansuran oleh pihak syarikat.

“Kita beri kelonggaran pembayaran secara berperingkat, tetapi mereka wajib menunaikan tanggungjawab.

“Jika gagal, aset seperti tanah, ladang sawit atau bangunan syarikat boleh disita,” katanya.

Dalam mesyuarat Kabinet selepas upacara itu, Encik Prabowo mengarahkan sebahagian dana rampasan tersebut disalurkan kepada Lembaga Pengurusan Dana Pendidikan (LPDP) untuk memperluas peluang biasiswa kepada pelajar tempatan.

“Daripada 13 trilion rupiah yang diterima hari ini, mungkin sebahagiannya boleh digunakan untuk biasiswa masa depan anak-anak kita,” ujar Encik Prabowo.

“Wang yang hampir hilang ini sepatutnya boleh membina lebih 8,000 sekolah dan membantu lima juta rakyat.

“Kita akan pastikan hasil rampasan dikembalikan untuk rakyat,” tambah Encik Prabowo.

Kes ini berpunca daripada pelanggaran larangan eksport CPO yang dikenakan pemerintah pada 2022 di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo untuk menstabilkan harga minyak masak dalam negeri.

Ketiga-tiga syarikat tersebut didapati mengeluarkan eksport secara haram, menyebabkan kerugian negara dianggarkan mencecah 17 trilion rupiah.

Selepas proses rayuan yang panjang, Mahkamah Agung Indonesia akhirnya mengarahkan syarikat itu membayar semula kerugian negara dengan Wilmar Group membayar 11.8 trilion rupiah; Musim Mas Group 1.8 trilion rupiah; dan Permata Hijau Group 937 bilion rupiah.

“Kita mesti menghantar mesej jelas bahawa tiada sesiapa, walaupun syarikat besar, boleh mengkhianati rakyat,” kata Encik Prabowo.

Dengan nada tegas dan langkah nyata, Encik Prabowo sekali lagi menegaskan iltizamnya bahawa “negara tidak akan tunduk kepada kerakusan”.

Langkah berani Encik Prabowo itu dipuji oleh pakar antirasuah yang menilai kes berkenaan sebagai antara skandal ekonomi terbesar dalam sejarah Indonesia.

Encik Bagus Pradana daripada Transparensi Antarabangsa Indonesia (TII) menegaskan kejayaan memulihkan aset perlu diikuti reformasi menyeluruh.

“Upacara serah wang ini simbolik, tetapi pembaharuan struktur jauh lebih penting termasuk ketelusan, penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan pembaikan peraturan,” katanya.

Encik Zaenur Rohman dari Pusat Kajian Antirasuah Universiti Gadjah Mada (Pukat UGM) pula menekankan bahawa pemulihan harus meliputi kesan bukan kewangan, termasuk pemulihan alam sekitar akibat kegiatan haram industri sawit.

“Aset yang dirampas hanya dikembalikan sebagai hasil bukan cukai tanpa digunakan untuk membaiki kerosakan alam sekitar.

“Ini mesti diperbetulkan agar keadilan benar-benar dicapai,” jelasnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg