Rangsangan Ramadan 12.83 trilion rupiah pacu ekon positif
Rangsangan Ramadan 12.83 trilion rupiah pacu ekon positif
Bulan puasa, Syawal dijangka tingkat sekitar 0.25 hingga 0.3 peratusan mata kepada pertumbuhan ekonomi
JAKARTA: Indonesia sekali lagi mempertaruh rentak Ramadan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi awal 2026.
Pemerintah melancarkan pakej rangsangan bernilai 12.83 trilion rupiah ($968 juta), dengan harapan lonjakan perbelanjaan sempena Ramadan dan Aidilfitri mampu memperkukuh pertumbuhan suku pertama.
Namun, persoalan utama kekal: Adakah rangsangan itu benar-benar mampu memberikan kesan “positif” yang mampan kepada ekonomi, atau sekadar menjadi penampan sementara dalam suasana kuasa beli yang semakin tertekan?
Ramadan secara tradisinya merupakan tempoh penggunaan tertinggi di Indonesia.
Kegiatan berbuka puasa, pembelian pakaian baharu dan tradisi mudik atau pulang ke kampung menjelang Aidilfitri menyumbang kepada lonjakan perbelanjaan isi rumah.
Data rasmi menunjukkan perbelanjaan isi rumah mencecah 248.1 trilion rupiah sepanjang Ramadan 2025, mencerminkan peranan signifikan penggunaan isi rumah dalam kitaran ekonomi bermusim.
Dalam struktur ekonomi Indonesia yang bernilai kira-kira AS$1.5 trilion ($1.9 trilion), komponen penggunaan dalam negara merupakan penyumbang terbesar kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP), sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka pendek dan penstabil kegiatan ekonomi keseluruhan.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, menjelaskan bahawa pakej rangsangan itu bertujuan meningkatkan mobiliti dan mengekalkan kuasa beli.
“Sasaran kita adalah untuk merangsang ekonomi kerana suku pertama amat penting,” katanya.
Beliau menambah bahawa program itu diharap dapat “meningkatkan mobiliti dan mengekalkan kuasa beli rakyat agar memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi nasional”.
Antara langkah utama termasuk subsidi perjalanan sebanyak 911.16 bilion rupiah; diskaun 30 peratus tambang kereta api dan pengangkutan laut; potongan penuh tambang feri; serta sehingga 18 peratus bagi tiket penerbangan dalam negara kelas ekonomi antara 14 dengan 29 Mac.
Pemerintah turut melaksanakan pengaturan kerja fleksibel bagi penjawat awam dari 16 hingga 27 Mac untuk mengurangkan kesesakan ketika musim mudik.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah, bantuan makanan disediakan dalam bentuk 10 kilogram beras dan dua liter minyak masak sebulan kepada sekitar 35.04 juta keluarga penerima manfaat, dengan anggaran kos 11.92 trilion rupiah.
Namun, rangsangan itu dilaksanakan dalam suasana inflasi makanan yang meningkat.
Harga daging lembu kini sekitar 140,000 rupiah sekilogram, meningkat daripada 130,000 rupiah sebulan lalu.
Harga cili merah besar pula melonjak 7.34 peratus dalam tempoh seminggu.
Seorang pengguna di Jakarta, Cik Tini, menggambarkan realiti tersebut dengan jelas.
“Dulu saya beli dua hingga tiga kilogram daging. Sekarang satu kilogram sudah cukup supaya ada baki untuk bahan lain,” katanya.
Beliau menambah: “Kalau boleh harga turun, tetapi setiap Ramadan memang akan naik.”
Kenyataan itu mencerminkan hakikat peningkatan mobiliti tidak semestinya diterjemah kepada peningkatan perbelanjaan sebenar jika harga makanan terus meningkat.
Ahli ekonomi melihat pakej itu sebagai langkah jangka pendek.
Encik Rizal Taufikurahman, dari Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef) menyifatkan rangsangan tersebut sebagai sokongan bermusim.
“Rangsangan ini pada asasnya menyokong permintaan bermusim, bukan pemacu pertumbuhan struktur,” katanya.
Menurut beliau, pengurangan kos mobiliti dan keperluan asas meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah secara sementara, tetapi kesannya terhad kepada tempoh tiga hingga enam minggu.
Encik Yusuf Rendy Manilet dari Pusat Reformasi Ekonomi (Core) Indonesia pula menegaskan bahawa rangsangan Ramadan tahun lalu (2025) lebih berkesan kerana melibatkan diskaun tarif elektrik.
“Kira-kira 20 peratus perbelanjaan isi rumah digunakan untuk membayar bil elektrik. Apabila ada diskaun, lebihan wang boleh dibelanjakan untuk keperluan lain,” katanya.
Namun begitu, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2025 hanya merekodkan 4.87 peratus, meskipun pelbagai langkah rangsangan telah dilaksanakan.
Encik Yusuf menegaskan bahawa perbelanjaan pemerintah yang perlahan pada suku pertama turut menjejas kesannya.
“Perbelanjaan pemerintah lazimnya perlahan pada awal tahun dan hanya meningkat pada suku berikutnya,” katanya.
Encik Mohammad Faisal dari Core Indonesia pula berpendapat potongan tambang sahaja tidak cukup untuk mendorong golongan berpendapatan rendah pulang ke kampung.
“Sebelum membuat keputusan untuk mudik, mereka bukan sahaja melihat kos pengangkutan, malah juga kos penginapan dan pemberian duit Raya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kelas menengah mungkin memilih untuk tidak pulang sekiranya telah melancong pada cuti hujung tahun atau pada Tahun Baharu Cina.
Encik Rizal menegaskan, kelembapan kuasa beli berpunca daripada faktor pendapatan sebenar.
“Beberapa petunjuk menyaksikan isi rumah mula mengurangkan perbelanjaan. Bahagian pendapatan untuk simpanan dan bayaran hutang meningkat, manakala penggunaan menurun,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa peningkatan pekerjaan tidak formal dengan daya pengeluaran rendah menyebabkan gaji tidak stabil.
“Rangsangan ini berkesan sebagai pelindung sosial, tetapi tidak cukup kuat untuk meningkatkan penggunaan agregat kelas menengah yang sebenarnya menyumbang paling besar kepada GDP,” tegasnya.
Namun, tidak semua penganalisis bersikap pesimis.
Encik Faisal Rachman daripada Permata Bank menganggarkan Ramadan dan Aidilfitri boleh menyumbang tambahan 0.25 hingga 0.3 mata peratus kepada pertumbuhan.
“Kami menganggarkan Ramadan dan Aidilfitri boleh menambah sekitar 0.25 hingga 0.3 peratusan mata kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, sektor makanan dan minuman, restoran, pengangkutan serta riadah dijangka mendapat manfaat terbesar.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa inflasi makanan perlu dipantau rapi.
“Kenaikan inflasi, khususnya komoditi makanan, perlu diawasi kerana ia boleh mengurangkan kuasa beli,” katanya.
Rangsangan Ramadan itu berfungsi sebagai penampan sosial dan pemangkin mobiliti.
Ia mungkin mampu mengekalkan rentak pertumbuhan suku pertama sekitar 4.9 hingga 5.1 peratus, tetapi sasaran sehingga 6 peratus dilihat mencabar.
Langkah itu boleh dilihat sebagai campur tangan fiskal kontra-kitaran bersifat jangka pendek, yang bertujuan menyokong permintaan dalam negara ketika tekanan luaran dan dalaman wujud.
Namun, tanpa pembaikan struktur seperti peningkatan daya pengeluaran, kestabilan pendapatan dan reformasi pasaran buruh, kesan rangsangan bermusim itu kekal terhad.
Seperti yang dirumuskan Encik Rizal, “Rangsangan ini berkesan sebagai pelindung sosial, tetapi bukan pemacu pertumbuhan jangka panjang”.
Ramadan mungkin terus menjadi nadi ekonomi bermusim Indonesia.
“Tetapi persoalannya bukan sekadar sama ada ia boleh merangsang pertumbuhan, sebaliknya sejauh manakah ia mampu mengubah asas ekonomi yang lebih mendalam, ujarnya. – Agensi berita.

