JAKARTA: Kekurangan bahan api telah melanda beberapa kawasan di seluruh wilayah Riau dalam beberapa hari kebelakangan ini, mencetuskan barisan panjang di stesen minyak apabila penduduk bergegas untuk mendapatkan bekalan.

Laporan pertama mengenai kekurangan bekalan muncul pada 30 April, hanya empat hari sebelum syarikat minyak dan gas milik negara, Pertamina, menaikkan harga beberapa produk bahan api yang tidak bersubsidi pada 4 Mei.

Kenaikan harga itu berlaku di tengah konflik yang berterusan di Timur Tengah dan sekatan ekonomi yang terus mengganggu pasaran minyak sejagat.

Di seluruh wilayah itu, barisan motosikal, trak dan kereta terbentuk di hampir setiap stesen minyak, dengan keadaan kerap memanjang sehingga ke jalan raya utama dan menyebabkan gangguan lalu lintas.

Kios bahan api kecil di tepi jalan turut menyaksikan permintaan yang melonjak.

Di Jalan Purwodadi di kawasan Panam, sebagai contoh, sebuah kios kekal tutup selama dua hari selepas bekalan bahan apinya habis sepenuhnya.

“Dua hari lalu, 100 liter habis terjual hanya dalam masa sejam, orang ramai bergegas untuk membelinya,” kata pemilik kios itu yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ardi, pada 3 Mei.

Seorang penduduk Pekanbaru, Encik Subhan Sakti, berkata beliau bergelut untuk mendapatkan bahan api Pertalite bersubsidi untuk keretanya selama tiga hari lalu.

“Motosikal masih boleh mendapat bahan api bersubsidi kerana mereka hanya memerlukan jumlah yang kecil.

“Tetapi untuk kereta, ia amat sukar, barisan panjang dan hampir tidak bergerak. Saya terpaksa memandu ke stesen di pinggir bandar dan menunggu selama sejam sehingga 11 malam.

“Jiran saya hanya berjaya mengisi minyak selepas tengah malam,” katanya kepada akhbar, The Jakarta Post.

Encik Subhan menambah, pemandu malah beratur di stesen minyak yang sudah kehabisan bekalan dan sanggup menunggu berjam-jam lamanya dengan harapan bekalan baharu dari Pertamina akan tiba. 

Menurutnya, ramai yang tidak mempunyai pilihan selain bertahan dalam barisan panjang di bawah panas matahari yang menyengat.

Ia masih lebih baik berbanding membeli bahan api daripada penjual di tepi jalan, yang biasanya mengenakan harga jauh lebih tinggi daripada stesen minyak rasmi.

Seorang lagi penduduk Pekanbaru, Cik Dewi Junaita, berkata beliau ikut beratur selepas melihat laporan media sosial yang menunjukkan beberapa stesen minyak di seluruh bandar itu kehabisan bahan api.

“Saya mengisi Pertalite bersubsidi di stesen yang tidak jauh dari rumah saya, dan barisannya jauh lebih panjang daripada biasa.

“Motosikal dan kereta memanjang hingga ke jalan utama. Malah pembeli Pertamax bukan bersubsidi pun terpaksa menunggu dalam barisan yang panjang,” ujarnya.

Beliau menambah, penjual bahan api di tepi jalan juga semakin sukar ditemui.

“Walaupun ada, Pertalite dijual pada harga sekitar 14,000 rupiah ($1.03) seliter, lebih kurang 40 peratus lebih tinggi daripada stesen minyak rasmi,” katanya.

Cik Dewi turut menggesa pihak berkuasa agar bertindak pantas menangani kekurangan itu, memberi amaran ia boleh memberi kesan ekonomi yang lebih luas, termasuk kenaikan harga barangan asas.

“Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku sekarang.

“Kadang-kadang terasa ironi tinggal di Riau. Ia dikenali sebagai salah satu kawasan pengeluar minyak terbesar Indonesia, namun, penduduknya bergelut hanya untuk mendapatkan bahan api,” kata beliau.

Ketua Agensi Tenaga dan Sumber Mineral Riau, Encik Ismon Diondo Simatupang, berkata pejabatnya telah menyelaras dengan Pertamina untuk menangani kekurangan bahan api yang dilaporkan di serata wilayah itu.

“Pertamina telah mengesahkan bekalan bahan api di Riau kekal dalam keadaan selamat.

“Orang ramai digesa agar kekal tenang dan elak membeli secara panik.

“Sila beli bahan api mengikut keperluan sebenar supaya pengagihan kekal setara dan kita tidak melihat barisan yang tidak perlu di stesen minyak,” tambahnya. – Agensi berita.