Topik diikuti
Pergi ke BHkuPetronas: Bekalan bahan api Malaysia terjamin hingga Jun
Petronas: Bekalan bahan api Malaysia terjamin hingga Jun
Petronas: Bekalan bahan api Malaysia terjamin hingga Jun
KUALA LUMPUR: Bekalan bahan api di seluruh stesen Petronas di Malaysia kini terjamin sehingga akhir Jun, satu lanjutan daripada jaminan sebelumnya hingga akhir Mei.
Petronas, dalam kenyataan 15 April, menyatakan ia sentiasa gigih mengurus rantaian bekalan agar stok minyak mencukupi di semua stesen, di tengah-tengah krisis tenaga global berpunca daripada konflik Timur Tengah.
“Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara, melalui syarikat awamnya, Petronas Dagangan Bhd.
“Selebihnya disalurkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” ujar Petronas, seperti dilaporkan Berita Harian Malaysia.
Pada masa sama, syarikat minyak dan gas Malaysia itu mengulangi janji untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai untuk semua rakyat.
“Orang ramai diseru membeli bahan api secara berhemah, mengikut keperluan harian, dan mengelak pembelian panik,” nasihatnya.
Menurut Petronas, penggunaan berhemah akan memastikan akses berterusan kepada bekalan bahan api untuk semua.
Sebelum ini, pada 1 April, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Petronas sedang membantu kerajaan menjamin bekalan minyak dan gas mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei.
Sebagai sebahagian usaha mengurangkan penggunaan bahan api, kerajaan Malaysia menguatkuasakan dasar bekerja dari rumah bagi kira-kira 200,000 penjawat awam bermula 15 April.
Serentak itu, kerajaan turut menurunkan kuota petrol bersubsidi bagi setiap warga Malaysia yang layak, daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Pada 14 April, Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan akan mempercepat penstrukturan semula ekonomi negara melalui peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, khususnya biodiesel.
Ini adalah langkah jangka sederhana untuk menangani impak krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan sehingga 18 bulan.
Encik Akmal menjelaskan, pendekatan ini penting untuk menjamin sumber tenaga domestik yang lebih kukuh, di samping membina daya tahan jangka panjang negara.
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada dasarnya bersetuju, biodiesel adalah antara sumber biobahan api alternatif yang paling praktikal dan sedia dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kerajaan perlu memilih langkah yang pantas digerakkan, memberi kesan langsung, dan berpaksikan keupayaan domestik sedia ada.
“Biodiesel memenuhi keperluan itu kerana ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang kian tidak menentu,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global pada 15 April.
Beliau menambah, kedudukan semasa negara turut menyokong usaha ini, dengan pengeluaran biodiesel Malaysia pada 2025 mencecah 975,207 tan metrik, berbanding kapasiti pengeluaran sebanyak 2.36 juta tan metrik.
