Rumah bekas menteri Indonesia digeledah dalam siasatan rasuah sawit
Rumah bekas menteri Indonesia digeledah dalam siasatan rasuah sawit
JAKARTA: Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO) telah menggeledah kediaman mantan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Cik Siti Nurbaya Bakar, di Jakarta sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berkaitan tadbir urus sektor perladangan dan industri minyak sawit sepanjang tempoh 2015 hingga 2024.
Jurucakap AGO, Encik Anang Supriatna, berkata penggeledahan itu dilakukan pada 28 Januari dan 29 Januari lalu di enam lokasi yang dipercayai berkait dengan kes berkenaan, termasuk kediaman peribadi mantan menteri tersebut serta sebuah rumah milik seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“Penggeledahan itu dilakukan minggu lalu. Lokasi yang terlibat termasuk kediaman mantan menteri SN (Siti Nurbaya) dan sebuah rumah milik anggota DPR,” katanya kepada The Jakarta Post pada 1 Februari.
Bagaimanapun, Encik Anang tidak mendedahkan identiti ahli Parlimen tersebut mahupun empat lokasi lain yang turut diserbu.
Cik Siti, yang merupakan anggota lama Parti NasDem, berkhidmat selama dua penggal sebagai menteri di bawah pentadbiran mantan presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dari 2014 hingga 2024.
Sepanjang tempoh itu, beliau berulang kali menegaskan komitmennya untuk mengimbangi perlindungan alam sekitar dengan usaha pemerintah menarik pelaburan.
Pengarah Penyiasatan di Pejabat Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas, Encik Syarief Sulaeman Nahdi, berkata siasatan masih berada di peringkat awal dan tiada suspek dinamakan setakat ini.
Namun beliau mengesahkan pihaknya merancang memanggil Cik Siti bagi memberi keterangan sebagai saksi.
“Kami akan jadualkan pemeriksaan itu kemudian,” kata Encik Syarief kepada wartawan tanpa menetapkan tarikh tertentu.
Menurut beliau, penyiasatan tersebut telah bermula sejak 2025 dan setakat ini melibatkan antara 10 hingga 20 saksi.
Dalam penggeledahan yang dijalankan, penyiasat merampas beberapa dokumen serta peranti elektronik yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
Sumber penguat kuasa undang-undang yang mengetahui siasatan itu memberitahu Tempo bahawa bahan yang dirampas termasuk bukti aliran wang bernilai ratusan bilion rupiah kepada beberapa pegawai kementerian.
“Pendakwa menemui bukti transaksi rasuah bernilai ratusan bilion rupiah yang melibatkan pegawai tertentu di kementerian,” kata sumber itu.
Menurut sumber sama, skim tersebut didakwa melibatkan sogokan kepada pegawai bagi meluluskan penukaran status hutan lindung kepada hutan pengeluaran untuk kepentingan syarikat tertentu.
Sebuah syarikat proksi dipercayai digunakan sebagai saluran untuk menyalurkan bayaran kepada beberapa pegawai kementerian.
Usaha pihak media untuk mendapatkan reaksi daripada Cik Siti setakat ini tidak berhasil.
Beberapa pemimpin Parti NasDem, termasuk setiausaha agungnya, juga belum memberikan sebarang maklum balas.
Seorang pemimpin parti, Teuku Taufiqulhadi, berkata beliau tidak mengetahui mengenai penggeledahan itu, manakala seorang lagi pemimpin NasDem, Cik Irma Suryani enggan mengulas.
Siasatan ini berlangsung ketika Presiden Prabowo Subianto berikrar untuk memperketat penguatkuasaan dalam sektor minyak sawit.
Indonesia, sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia, terus berdepan masalah tadbir urus, termasuk pengawasan lemah dan kewujudan ladang haram.
Pada awal Januari, Encik Prabowo berkata pemerintah mungkin merampas sehingga lima juta hektar ladang sawit yang beroperasi secara haram di kawasan hutan pada 2026, susulan perampasan 4.1 juta hektar ladang haram pada 2025. – Agensi berita.

